Dana untuk PKS
Objektif kemudahan ini ialah untuk menyediakan akses kepada pembiayaan pada kos yang berpatutan untuk PKS dalam semua sektor ekonomi. Beberapa kemudahan telah diberi dana tambahan dan ditambah baik bagi memberikan bantuan dan menyokong pemulihan, ketahanan dan pertumbuhan PKS. Dana tersebut disalurkan melalui institusi kewangan peserta (IKP), yang terdiri daripada bank perdagangan, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawalselia oleh BNM. Permohonan mesti dikemukakan melalui mana-mana IKP dan kelulusan akan tertakluk kepada penilaian kredit biasa IKP.
Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME Stabilisation Relief Facility, SME SRF) menyokong PKS yang menghadapi tekanan kewangan jangka pendek akibat gangguan dalam perdagangan global dan rantaian bekalan berikutan konflik geopolitik semasa di Asia Barat. SME SRF menyediakan pembiayaan modal kerja untuk membantu PKS yang berdaya maju menstabilkan dan meneruskan operasi perniagaan sepanjang tempoh ketidakpastian yang ketara ini.
Kemudahan ini kekal tersedia hingga 30 Jun 2027 atau sehingga kemudahan ini digunakan sepenuhnya, mana-mana yang lebih awal.
Kemudahan ini bertujuan menyokong perusahaan mikro yang termasuk perusahaan sosial dan penyedia perkhidmatan professional, dan individu Malaysia yang bekerja sendiri seperti pekerja gig (gig workers) yang menggunakan platform digital, dan peserta program iTEKAD. Kemudahan ini adalah untuk modal kerja dan/atau perbelanjaan modal.
Diwujudkan pada bulan Julai 2020 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Kemudahan Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PENJANA Tourism Financing, PTF) merupakan kemudahan bantuan yang dikhususkan untuk menyokong perniagaan dalam sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik.
Kini, BNM telah mengubah hala Kemudahan PTF menjadi kemudahan bukan bantuan, sebagai langkah yang tepat pada masanya untuk menggalakkan PKS yang terlibat dalam sektor berkaitan pelancongan untuk mengembangkan perniagaan dan pelaburan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kemudahan PTF yang ditambah baik memaparkan kriteria kelayakan yang lebih mudah, bagi membolehkan PKS yang terlibat dalam sektor atau aktiviti pelancongan yang disenaraikan di bawah Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 untuk mendapatkan pembiayaan sehingga RM500,000.
Berikutan bencana banjir terdahulu, BNM telah menyediakan pembiayaan bantuan kepada PKS yang terjejas melalui kemudahan khas bantuan bencana.
Pada bulan Ogos 2025, BNM telah mengubah hala dan mengemas kini Kemudahan Bantuan Bencana (Disaster Relief Facility, DRF) kepada Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (Relief and Adaptation Facility, RAFt). Kemudahan ini bertujuan untuk menggalakkan kesiapsiagaan serta meningkatkan daya tahan perniagaan PKS dalam menghadapi risiko banjir yang semakin meningkat di Malaysia.
Melalui RAFt, PKS kini boleh mendapatkan dua jenis sokongan pembiayaan sehingga RM1 juta bagi:
a) Pembiayaan bantuan – tersedia selepas kejadian banjir besar untuk meringankan beban kewangan dan menyokong pemulihan perniagaan;
b) Pembiayaan adaptasi – tersedia pada bila-bila masa untuk membantu PKS melabur dalam langkah perlindungan dan daya tahan terhadap banjir.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.