Kaji Selidik Kesediaan Program Pembiayaan Mikro
Bank Negara Malaysia (BNM) sedang melaksanakan satu program yang bertujuan untuk memahami keperluan pembiayaan usahawan mikro, menilai tahap kesediaan pembiayaan serta mengenal pasti jurang dalam proses kelulusan pembiayaan perniagaan.
Maklum balas daripada usahawan mikro mengenai cabaran yang dihadapi dalam mendapatkan akses kepada pembiayaan perniagaan akan membantu BNM memahami keperluan mereka dengan lebih mendalam. Dapatan kaji selidik ini akan digunakan untuk merangka sesi bimbingan dan khidmat nasihat yang lebih bersasar, sekali gus meningkatkan tahap kesediaan serta peluang permohonan pembiayaan perniagaan diluluskan, termasuk permohonan Skim Pembiayaan Mikro (SPM)[*].
(Selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (Personal Data Protection Act, PDPA), sebarang maklumat peribadi yang dikemukakan akan dilindungi dan diurus mengikut Penyata Privasi Bank Negara Malaysia yang boleh diakses di sini)
Click the following link to start answering the survey questions:
Program Kesediaan Pembiayaan Mikro - Bank Negara Malaysia (BNM)
Objektif utama program ini adalah untuk:
Memberikan panduan kepada peserta tentang langkah-langkah untuk meningkatkan kesediaan kewangan dan peluang mendapatkan pembiayaan perniagaan, termasuk di bawah SPM.
Meningkatkan kesedaran dalam kalangan usahawan mikro mengenai program bimbingan dan khidmat nasihat yang ditawarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) serta rakan strategik lain.
Memberi peserta akses kepada bahan rujukan, alat bantu dan dokumen yang berkaitan untuk memperkukuh permohonan pembiayaan mereka.
Jika anda merupakan usahawan mikro yang berminat untuk memohon pembiayaan perniagaan atau pernah membuat permohonan tetapi tidak berjaya, BNM mengalu-alukan penyertaan anda untuk melengkapkan kaji selidik ini. Setiap maklum balas yang diberikan sangat berharga dalam membantu BNM merangka inisiatif yang lebih berkesan bagi meningkatkan akses usahawan mikro kepada pembiayaan.
[*] SPM merupakan salah satu kemudahan pembiayaan bagi usahawan mikro mendapatkan pinjaman perniagaan hingga RM100,000 tanpa cagaran daripada institusi kewangan peserta (maklumat lanjut mengenai senarai institusi kewangan dan produk SPM yang ditawarkan boleh diakses melalui laman Pembiayaan Mikro.)
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.