Skim Insentif Single Family Office (SFO)
Skim Insentif SFO, yang diterajui oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi pihak Kementerian Kewangan (MOF), bertujuan untuk memposisikan Malaysia sebagai hab pengurusan kekayaan terkemuka bagi pejabat keluarga (family offices).
Bagi melengkapkan Skim Insentif SFO, fleksibiliti dasar pertukaran asing (FEP) yang disasarkan disediakan untuk memudahkan pinjaman mata wang asing luar pesisir dan pelaburan dalam aset mata wang asing yang dijalankan oleh SFO yang ditubuhkan di Zon Kewangan Khas Forest City (FC-SFZ), yang menyokong pergerakan aliran modal yang cekap dalam rangka kerja kawal selia yang jelas.
Butiran fleksibiliti FEP bagi SFO di bawah FC-SFZ
Entiti yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menjalankan aktiviti yang layak di FC-SFZ adalah layak untuk fleksibiliti FEP bagi pinjaman mata wang asing luar pesisir dan pelaburan dalam aset mata wang asing seperti yang dinyatakan di bawah:
Pinjaman mata wang asing luar pesisir¹
Tiada sekatan untuk memperoleh pinjaman mata wang asing daripada institusi kewangan bukan pemastautin (NRFI) dan pihak bukan pemastautin lain yang tidak berkaitan, termasuk melalui penerbitan sekuriti atau sekuriti Islam yang berdenominasi mata wang asing.
Hasil yang diperoleh daripada pinjaman tersebut hendaklah digunakan untuk aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh entiti di FC-SFZ sahaja atau di luar pesisir. Pinjaman semula kepada entiti pemastautin berkaitan di luar FC-SFZ tertakluk kepada had FEP.
Pelaburan dalam aset mata wang asing²
Tiada sekatan untuk melabur sebarang jumlah dalam aset mata wang asing di dalam negara dan luar pesisir menggunakan dana yang bersumberkan bukan pemastautin atau luar pesisir.
Contoh sumber dana yang layak termasuk tetapi tidak terhad kepada:
Pinjaman luar pesisir yang diperoleh daripada bukan pemastautin
Dana yang diuruskan bagi pihak bukan pemastautin yang berasal dari luar pesisir
Dana yang dipulangkan dari luar pesisir oleh pemastautin
Suntikan modal yang diterima daripada bukan pemastautin
¹ Pinjaman mata wang asing luar pesisir tersebut tidak boleh dicagarkan atau dijamin dengan aset ringgit dan pembayaran balik bagi pinjaman tersebut tidak boleh dibiayai menggunakan penukaran ringgit kepada mata wang asing.
² Pelaburan dalam aset mata wang asing yang dijalankan oleh individu atau entiti pemastautin di luar FC-SFZ melalui SFO tertakluk kepada had FEP.
Penyerahan Permohonan
Permohonan untuk memperoleh fleksibiliti FEP bagi SFO di bawah FC-SFZ boleh dikemukakan melalui SC.
Butiran lanjut mengenai Skim Insentif SFO, termasuk proses permohonan, boleh didapati di pautan berikut: Skim Insentif Single Family Office (SFO) - DEVELOPMENT | Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.