BNM Mempertingkatkan Fleksibiliti bagi Syarikat Korporat Melalui Pelaksanaan Penuh Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan

12 Jun 2025 Notis Umum

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan aliran dana dua hala dalam pasaran pertukaran asing tempatan, Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pelaksanaan penuh Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (Qualified Resident Investor, QRI) bagi syarikat pemastautin yang layak, berkuat kuasa 1 Julai 2025.

Pelaksanaan ini diperluas berikutan kejayaan program rintis QRI yang diperkenalkan pada bulan April 2024. Sejak mula dilaksanakan, program QRI telah menjana aliran masuk dana berjumlah lebih USD1 bilion daripada syarikat-syarikat peserta ke dalam pasaran kewangan domestik.

Mengenai Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan

  • Pelabur pemastautin yang layak hanya perlu melengkapkan pendaftaran sekali sahaja dengan BNM untuk mendapatkan fleksibiliti QRI bagi melaksanakan aktiviti pelaburan langsung luar negeri pada masa akan datang tanpa perlu mendapatkan kelulusan tambahan terlebih dahulu daripada BNM.
  • Untuk menikmati fleksibiliti tersebut, pelabur pemastautin hendaklah terlebih dahulu membawa balik dan menukarkan perolehan dana mata wang asing yang menepati syarat kepada ringgit setelah Berjaya mendaftar dengan BNM.
  • Pelabur pemastautin yang berkelayakan termasuk syarikat pemastautin yang:
    1. membawa balik dan menukarkan dana perolehan mata wang asing hasil daripada pelaburan luar negeri kepada ringgit; dan
    2. menunjukkan amalan tadbir urus korporat yang baik serta pematuhan kepada dasar pertukaran asing BNM.
  • Program QRI akan tersedia hingga 30 Jun 2028.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui www.bnm.gov.my/fep/flexibilities/qri.

Lihat juga:

  1. Nota Maklumat mengenai program QRI
  2. Soalan Lazim

Bank Negara Malaysia
12 Jun 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?