Kod Tatalaku Pembekal

1. Prakata

Bank Negara Malaysia (BNM) komited terhadap standard integriti dan kecemerlangan tertinggi dalam menggalakkan kestabilan sistem kewangan dan monetari, serta memelihara kesejahteraan negara. Dalam melaksanakan mandatnya, BNM tertakluk kepada tadbir urus yang kukuh dan standard etika yang tinggi dalam urusannya dengan pembekal. BNM menjalankan aktiviti perniagaannya dengan penuh integriti serta mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Kod Tatakelakuan Pembekal (SCOC) menggariskan jangkaan BNM berhubung standard amalan perniagaan, etika, dan tatakelakuan profesional yang ditetapkan bagi semua pembekal yang terlibat dalam penyediaan barangan dan perkhidmatan kepada BNM. SCOC ini terpakai kepada semua pembekal dan mana-mana pihak yang dilantik oleh mereka dalam apa jua kapasiti untuk membekalkan barangan atau melaksanakan sebahagian daripada perkhidmatan tersebut, termasuklah pekerja, ejen, pembekal, dan subkontraktor mereka (‘wakil mereka’).

SCOC ini akan disemak secara berkala bagi memastikan ia kekal terkini dan relevan. Sebarang pertanyaan berkaitan SCOC ini boleh diajukan kepada supplier.support@bnm.gov.my. SCOC ini menggantikan mana-mana versi terdahulu Kod Tatakelakuan Vendor (VCOC) yang pernah dikeluarkan oleh BNM.

2. Prinsip Utama

BNM menjangkakan pembekal mematuhi prinsip-prinsip berikut:

  1. mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang terpakai di negara-negara tempat ia beroperasi;

  2. mematuhi dasar dan keperluan BNM yang berkaitan;

  3. melindungi kerahsiaan maklumat, termasuk data peribadi, serta memastikan maklumat tersebut tidak didedahkan kepada pihak yang tidak dibenarkan; dan

  4. menjunjung standard integriti dan etika perniagaan yang tertinggi.

Pelaksanaan Keperluan Kami

BNM menyedari kepelbagaian pembekalnya dan menjangkakan pendekatan yang berbeza dalam pelaksanaan SCOC ini. Oleh itu, bergantung pada sifat dan nilai kontrak, BNM mungkin menetapkan keperluan dan kawalan khusus sebagai bukti bagaimana prinsip-prinsip utama kami dilaksanakan. Keperluan ini, jika ada, akan dinyatakan di dalam kontrak.

3. Jangkaan terhadap Tingkah Laku Beretika dan Integriti

BNM komited terhadap standard integriti dan etika perniagaan yang tertinggi. Bagi mengekalkan komitmen ini, BNM menetapkan agar pembekalnya mematuhi standard-standard berikut:

3.1. Pematuhan terhadap Undang-undang dan Peraturan yang Berkuat Kuasa

  1. Pembekal hendaklah mematuhi semua undang-undang, peraturan, dan ketentuan yang berkuat kuasa di negara masing-masing serta di negara tempat mereka beroperasi semasa menjalankan urusan perniagaan dengan BNM.

  2. Pembekal hendaklah mendapatkan semua lesen dan permit yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti yang telah dikontrakkan oleh BNM kepada mereka.

3.2. Pematuhan terhadap Dasar dan Keperluan BNM

  1. Pembekal hendaklah mematuhi dasar keselamatan BNM, termasuk keselamatan maklumat (data pelanggan, dokumen perniagaan), keselamatan fizikal (akses ke bangunan, sistem pengawasan, kakitangan keselamatan, dan kawalan-kawalan lain bagi mencegah akses tanpa kebenaran atau kecurian), keselamatan kakitangan (semakan latar belakang dan pelepasan keselamatan), serta keperluan keselamatan siber yang terpakai bagi urusan perniagaan dengan BNM.

3.3. Anti-Rasuah dan Anti-Penyelewengan

  1. BNM mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap rasuah, penyelewengan, dan amalan perniagaan yang tidak beretika.

  2. Pembekal hendaklah menjunjung standard integriti yang tertinggi dalam semua interaksi perniagaan dengan BNM.

  3. Pembekal tidak boleh terlibat dalam sebarang bentuk rasuah komersial, dan tidak boleh secara langsung atau tidak langsung menawarkan, meminta, atau menerima sebarang bentuk rasuah atau sesuatu yang bernilai bagi tujuan memperoleh manfaat, kelebihan yang tidak wajar, atau pengaruh untuk diri mereka sendiri, BNM (termasuk kakitangan BNM, personel pengurusan utama, atau ahli keluarga terdekat mereka), mahupun mana-mana pihak ketiga.

3.4. Mengurus Konflik Kepentingan

  1. Pembekal hendaklah segera mendedahkan kepada BNM sebaik sahaja mereka menyedari sebarang konflik kepentingan, serta menguruskan sebarang konflik kepentingan—sama ada yang nyata, berpotensi, atau dianggap wujud—yang timbul daripada obligasi kontrak untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada BNM.

  2. Pembekal hendaklah mengambil langkah proaktif untuk mengisytiharkan dan menguruskan sebarang konflik kepentingan—sama ada yang nyata, berpotensi, atau dianggap wujud—yang timbul daripada hubungan mereka, atau hubungan pemegang saham utama, ahli lembaga pengarah, atau pengurusan kanan mereka (termasuk ahli keluarga terdekat mereka), dengan kakitangan BNM, personel pengurusan utama BNM, atau ahli keluarga terdekat pihak-pihak tersebut.[1]

  3. Pembekal tidak boleh dikaitkan, atau terlibat dalam apa jua cara—sama ada secara langsung atau tidak langsung—dengan penyediaan reka bentuk, spesifikasi, atau dokumen lain yang digunakan sebagai sebahagian daripada proses pemilihan perolehan, di mana pembekal tersebut turut mengemukakan cadangan.

3.5. Pemberian Hadiah atau Layanan

  1. Pembekal tidak boleh menawarkan, meminta, atau menerima sebarang bentuk rasuah, hadiah, layanan, atau apa-apa perkara yang bernilai bagi tujuan memperoleh kelebihan atau pengaruh yang tidak wajar—sama ada untuk diri mereka sendiri, BNM (termasuk kakitangan BNM, personel pengurusan utama BNM, atau ahli keluarga terdekat mereka), mahupun mana-mana pihak ketiga.

3.6. Pembentukan Kartel atau Penetapan Harga

  1. Pembekal tidak boleh membentuk kartel atau terlibat dalam penetapan harga, manipulasi bidaan, atau amalan lain yang bertujuan memanipulasi harga atau keputusan bidaan dengan cara yang menjejaskan persaingan yang adil.

3.7. Salah Nyataan

  1. Pembekal tidak boleh memberikan gambaran yang salah mengenai keupayaan mereka kepada BNM semata-mata untuk mendapatkan kontrak perolehan dengan BNM.

  • Dalam mendapatkan kontrak dengan organisasi lain, pembekal dilarang memberikan gambaran yang salah mengenai keupayaan mereka dalam membekalkan barangan/perkhidmatan kepada BNM.

4. Jangkaan Perlindungan Aset dan Harta Intelek

4.1. Kewajipan Kerahsiaan dan Perlindungan Data

  1. Pembekal hendaklah mematuhi semua undang-undang yang terpakai serta dasar BNM mengenai perlindungan data, termasuk data peribadi.

  2. Pembekal hendaklah menjaga kerahsiaan semua maklumat yang berkaitan dengan perniagaan dan hal ehwal BNM yang tidak tersedia secara umum kepada orang ramai.

  3. Pembekal tidak boleh mendedahkan atau berkongsi sebarang maklumat sulit dengan pihak ketiga di luar keperluan yang ditetapkan dalam perjanjian dengan BNM, tanpa mendapatkan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada BNM, melainkan jika dikehendaki oleh undang-undang.

  4. Pembekal hendaklah mengekalkan kerahsiaan maklumat walaupun selepas penamatan atau tamatnya hubungan kontrak dengan BNM.

  5. Pembekal hendaklah memastikan bahawa mereka mempunyai sistem, dasar, dan kawalan yang sewajarnya untuk melindungi maklumat sulit BNM serta mencegah sebarang kebocoran maklumat.

  6. Pembekal tidak boleh mengakses persekitaran dan infrastruktur teknologi maklumat BNM serta memindahkan sebarang maklumat tanpa mendapatkan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada BNM.

  7. Pembekal tidak boleh menggunakan atau cuba menggunakan maklumat yang diperoleh berhubung dengan perjanjian dengan BNM untuk mendapatkan keuntungan kewangan atau bukan kewangan, atau bagi apa-apa tujuan lain selain daripada tujuan asal maklumat tersebut diberikan.

4.2. Perlindungan Harta Intelek

  1. Pembekal hendaklah mematuhi hak harta intelek (IP) BNM dan semua pihak ketiga yang lain. Pembekal hendaklah menguruskan semua pemindahan tersebut, sama ada kepada atau daripada BNM, dengan cara yang melindungi hak harta intelek BNM.

BNM memandang serius pelanggaran terhadap harta inteleknya dan akan mengambil tindakan undang-undang untuk melindungi hak harta intelek tersebut.

  • Pembekal hendaklah menggunakan perisian dan teknologi maklumat yang diperoleh dan dilesenkan secara sah semasa menyediakan perkhidmatan kepada BNM. Perisian dan teknologi maklumat tersebut mestilah digunakan selaras dengan terma penggunaan atau lesennya.

  • Pembekal hendaklah mematuhi dasar dan prosedur maklumat serta keselamatan BNM bagi memastikan pemeliharaan dan perlindungan kerahsiaan, keselamatan, dan privasi aset serta maklumat BNM.

  • Sekiranya pembekal atau wakil mereka diberi kebenaran untuk menggunakan sumber BNM seperti sistem dan e-mel, mereka hendaklah memastikan sumber tersebut digunakan semata-mata untuk urusan rasmi BNM. BNM melarang keras pembekal daripada menggunakan sumber BNM bagi sebarang tindakan yang tidak dibenarkan, menyalahi undang-undang, atau berniat jahat.

  • Pembekal tidak boleh melakukan plagiat terhadap maklumat daripada BNM atau sumber lain semasa menyediakan perkhidmatan kepada BNM, dan hendaklah memberikan petikan atau rujukan yang sewajarnya mengenai sumber maklumat tersebut bagi mengelakkan isu berkaitan plagiat.

4.3. Sekatan terhadap Penerbitan Bahan dan Penggunaan Nama, Logo, atau Penjenamaan BNM

  1. Pembekal tidak boleh menerbitkan maklumat atau bahan sulit BNM dalam apa jua bentuk tanpa mendapatkan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada BNM. Jika kelulusan awal untuk penerbitan telah diperoleh, pembekal hendaklah memberikan petikan dan rujukan yang sewajarnya kepada BNM bagi bahan/kandungan yang dimiliki oleh BNM.

  2. Pembekal tidak boleh menggunakan atau merujuk kepada nama, logo, atau penjenamaan BNM dalam apa jua bentuk dan untuk sebarang tujuan tanpa mendapatkan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada BNM.

4.4. Sekatan terhadap Pembuatan Pernyataan Awam dan Pemberian Rujukan

  1. Pembekal tidak dibenarkan menyebarkan sebarang pernyataan awam mengenai apa-apa perkara yang berkaitan dengan perniagaan atau hal ehwal BNM.

  2. Atas permintaan pembekal dan berdasarkan kes demi kes, tertakluk kepada budi bicara serta kelulusan bertulis BNM, BNM boleh memberikan rujukan kepada pembekal atau wakil mereka.


5. Jangkaan terhadap Keselamatan Siber dan Keselamatan Fizikal

5.1. Keselamatan Siber

Dalam menyediakan fungsi atau perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat yang melibatkan penghantaran, pemprosesan, penyimpanan, atau pengendalian maklumat sulit—termasuk perisian pengkomputeran awan, serta penyedia perkhidmatan platform dan infrastruktur—BNM menjangkakan pembekalnya untuk:

  1. Melaksanakan langkah-langkah perlindungan data dan keselamatan siber yang mantap bagi menjamin keselamatan maklumat sensitif. Ini termasuk langkah-langkah untuk mencegah pelanggaran data, melindungi daripada ancaman siber, dan memastikan pemulihan data sekiranya berlaku pelanggaran.

  2. Menyediakan latihan yang sewajarnya kepada pekerja dan subkontraktor mereka, memastikan pematuhan mereka terhadap keperluan berkaitan privasi data dan keselamatan siber, serta mengamalkan amalan keselamatan yang sesuai.

  3. Melindungi sebarang data atau maklumat yang diperoleh daripada BNM, atau sistem BNM yang telah diberikan akses kepada pembekal, daripada akses atau pelanggaran yang tidak dibenarkan, penyalahgunaan, dan perisian hasad (malware), serta mengekalkan tahap kerahsiaan, integriti, dan ketersediaan yang tinggi.

  4. Mengehadkan akses kepada sistem BNM hanya kepada pengguna yang dibenarkan dan menarik balik akses tersebut dengan segera apabila ia tidak lagi diperlukan.

  5. Menjalankan penilaian kerentanan yang mencukupi, yang merangkumi sekurang-kurangnya inventori aset terkini, ujian penembusan, pengurusan tampalan (patch management), dan perancangan bagi aset yang sudah usang.

  6. Mengekalkan gambar rajah rangkaian yang terkini dengan kelulusan BNM bagi sebarang perubahan, mengasingkan persekitaran web, aplikasi, dan pangkalan data, menggunakan protokol komunikasi yang selamat untuk rangkaian wayarles, serta melaksanakan dan menyemak secara berkala tembok api (firewall) dan sistem pencegahan pencerobohan.

  7. Memastikan sistem diperkukuh (hardened) dan menyediakan jejak audit bagi setiap aktiviti, menyemak log audit keselamatan secara berkala, serta menangani ancaman dengan segera.

  8. Menyediakan Pelan Tindak Balas Insiden (Incident Response Plan - IRP) yang sewajarnya dan mendokumentasikan prosedur khusus yang mengawal tindakan balas terhadap insiden keselamatan.

  9. Mendapatkan kelulusan BNM sebelum melaksanakan perkhidmatan awan (cloud services) serta memastikan kawalan keselamatan fizikal dan persekitaran bagi infrastruktur awan, aplikasi, dan data.

5.2. Keselamatan Fizikal dan Akses

  1. Pembekal dan wakil mereka hendaklah mematuhi dasar dan prosedur keselamatan BNM semasa beroperasi di mana-mana premis BNM.

  2. Pembekal hendaklah menyediakan maklumat yang mencukupi bagi membolehkan BNM menjalankan tapisan keselamatan terhadap wakil mereka, serta mematuhi semua permintaan yang munasabah bagi mendapatkan dokumen atau maklumat lanjut.

  3. Pembekal dan wakil mereka hendaklah mempamerkan pas keselamatan BNM semasa berada di premis BNM. Pembekal hanya dibenarkan mengakses kawasan yang telah diberi kebenaran kepada mereka dan yang diperlukan untuk pelaksanaan kerja atau perkhidmatan mereka.


6. Jangkaan terhadap Budaya dan Tingkah Laku di Tempat Kerja

6.1. Budaya dan Tingkah Laku Profesional di Tempat Kerja

  1. Pembekal dan wakil mereka hendaklah berkelakuan dan berpakaian secara profesional semasa berurusan dengan BNM dan semasa berada di premis BNM.

  2. BNM tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang penyalahgunaan bahan terlarang di premisnya atau semasa pelaksanaan kewajipan kontrak pembekal.

  3. Pembekal hendaklah menggunakan infrastruktur dan kemudahan BNM secara bertanggungjawab, serta sentiasa mengelakkan pembaziran dan kerosakan terhadap aset BNM.

6.2. Kesihatan dan Keselamatan

  1. Pembekal hendaklah mematuhi semua undang-undang dan peraturan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja yang berkenaan.

  2. Pembekal hendaklah mengambil segala langkah berjaga-jaga yang munasabah untuk menjaga kesihatan dan keselamatan semua pekerja, pekerja lain, serta orang awam semasa melaksanakan perkhidmatan untuk BNM.

  3. Pembekal hendaklah berusaha sedaya upaya untuk memastikan diri mereka dan wakil mereka tidak terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia, buruh paksa atau buruh secara tidak sukarela, buruh kanak-kanak, atau amalan perhambaan moden yang lain.


7. Jangkaan terhadap Alam Sekitar dan Kelestarian

BNM komited untuk terus mengurangkan jejak karbon dalam operasinya sendiri bagi menyokong komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang tahun 2050. Dalam memenuhi komitmen ini, BNM menjangkakan pembekalnya untuk:

7.1 Mematuhi semua undang-undang dan peraturan alam sekitar semasa menjalankan aktiviti perniagaan.

7.2 Mengekalkan dan mengemas kini semua kelulusan, permit, dan pendaftaran alam sekitar yang diperlukan.

7.3 Mempunyai pelan penambahbaikan berterusan untuk melaksanakan teknologi dan proses mesra alam yang mengurangkan jejak alam sekitar.

7.4 Mengamalkan penggunaan sumber—seperti air dan tenaga—secara cekap dan bertanggungjawab bagi mengurangkan penggunaan, meminimumkan kesan terhadap alam sekitar, serta menyokong pengurangan pelepasan GHG.


8. Jangkaan terhadap Kelangsungan Perniagaan

8.1 Pembekal hendaklah mewujudkan pelan kesinambungan perniagaan yang berkesan, yang setimpal dengan tahap kepentingan perkhidmatan mereka kepada BNM. Pelan-pelan ini hendaklah merangkumi penilaian risiko, prosedur pemulihan bencana, dan pelan kontingensi.

8.2 Pembekal hendaklah mengenal pasti, menilai, dan mengurangkan risiko yang boleh mengganggu operasi mereka serta penyampaian barangan/perkhidmatan kepada BNM. Ini termasuk risiko yang berkaitan dengan bencana alam, gangguan rantaian bekalan, ancaman keselamatan siber, dan gangguan perniagaan lain yang mungkin berlaku.

8.3 Pembekal hendaklah menyelenggara dan menguji Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) secara berkala, termasuk Pelan Pemulihan Bencana (DRP) serta kemudahan sandaran yang berkaitan, bagi memastikan kesinambungan perniagaan sekiranya berlaku bencana.

8.4 Pembekal hendaklah melaporkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan kesinambungan perniagaan mereka dan berpotensi memberi kesan kepada BNM, termasuk butiran insiden tersebut, penilaian impak, serta tindakan pemulihan yang dicadangkan.


9. Hak BNM

BNM mengekalkan hak-hak berikut bagi memastikan dan menguatkuasakan pematuhan pembekal terhadap SCOC ini:

9.1. Pemilihan dan Penilaian Pembekal

  1. BNM akan menilai pematuhan pembekal terhadap SCOC semasa proses pemilihan, pendaftaran masuk (onboarding), atau pada bila-bila masa sepanjang hubungan mereka dengan BNM. Penilaian ini mungkin merangkumi penilaian berkala bagi memastikan pematuhan yang berterusan.

  2. Pembekal mungkin perlu mengesahkan pematuhan terhadap SCOC ini dan mengemukakan dokumentasi yang berkaitan, jika diperlukan.

  3. BNM boleh, dari semasa ke semasa, meminta pembekalnya untuk memberikan pengesahan pematuhan terhadap SCOC dan menjangkakan pembekal untuk bertindak balas dengan segera terhadap sebarang permintaan maklumat daripada BNM.

  4. Tahap aktiviti usaha wajar (due diligence) yang dijalankan oleh BNM berhubung dengan pematuhan pembekal terhadap SCOC akan ditentukan berdasarkan nilai, skop, dan risiko perolehan tersebut.

9.2. Audit dan Tindakan Pembetulan

  1. Bergantung pada jenis barangan/perkhidmatan yang dibekalkan kepada BNM, BNM mungkin meminta pembekal untuk melengkapkan penilaian berasaskan bukti atau membenarkan audit di tapak bagi memantau pematuhan.

  2. Jika perlu, BNM boleh meminta pembekal untuk mengambil tindakan pembetulan khusus bagi menangani isu pematuhan. BNM menjangkakan pembekal untuk bekerjasama dengan BNM dalam sebarang siasatan yang mungkin dijalankan, serta memberikan maklumat yang berkaitan bagi memudahkan siasatan BNM terhadap dakwaan tingkah laku yang tidak wajar atau tidak beretika yang melibatkan pekerja BNM atau wakil pembekal.

  3. BNM menjangkakan pembekal untuk menangani dengan segera sebarang pelanggaran atau salah laku—yang boleh membawa kepada tindakan pengurusan akibat (consequence management) oleh BNM—serta mengambil langkah pemulihan sebagaimana yang dikehendaki oleh BNM.

9.3. Pelanggaran dan Penamatan

  1. Pembekal hendaklah memastikan pematuhan terhadap SCOC ini dan melaporkan sebarang pelanggaran kepada BNM.

  2. BNM berhak untuk mengambil tindakan terhadap pembekalnya sekiranya berlaku pelanggaran SCOC.

  3. Sekiranya berlaku ketidakpatuhan, BNM boleh memberi peluang kepada pembekal untuk memberikan maklum balas berserta cadangan tindakan pembetulan, melainkan pelanggaran tersebut adalah serius atau tidak dapat diperbaiki, atau melibatkan pelanggaran undang-undang atau peraturan.

  4. BNM boleh menghendaki pembekal untuk menggantikan mana-mana wakil yang melanggar SCOC atau berkelakuan dengan cara yang menyalahi undang-undang atau tidak selaras dengan SCOC. Wakil pengganti mestilah mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang setara atau lebih baik, serta perlu dipersetujui secara bertulis oleh BNM.

  5. Sebagaimana yang diperuntukkan dalam perjanjian kontrak, sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang atau peraturan, BNM boleh menggantung atau menamatkan hubungan dengan pembekal tersebut dan boleh melaporkan perkara itu kepada Pihak Berkuasa Penguatkuasaan Undang-undang yang berkaitan.

9.4. Keutamaan Peruntukan

  1. SCOC ini tidak bertujuan untuk, dan tidak, mengatasi mana-mana undang-undang atau peraturan yang terpakai, atau sebarang terma dan syarat kontrak antara BNM dan pembekalnya.

  2. Sekiranya terdapat percanggahan antara SCOC ini dengan mana-mana undang-undang atau peraturan yang terpakai, atau terma dan syarat kontrak yang ditandatangani antara BNM dan pembekal, maka undang-undang atau peraturan yang terpakai, atau terma dan syarat kontrak tersebut, akan diguna pakai.

  3. Jangkaan yang digariskan dalam SCOC ini tidak mengatasi atau mengubah kewajipan undang-undang atau kewajipan kontrak lain pembekal.

9.5. Semakan atau Perubahan kepada SCOC

BNM berhak untuk menyemak atau mengubah keperluan dalam SCOC ini.


10. Pendedahan Salah Laku dan Pelaporan Potensi Pelanggaran

10.1 BNM berusaha untuk menjalankan urusannya dengan integriti, kecekapan, dan profesionalisme, di samping mencapai tahap keberkesanan dan kecemerlangan yang tertinggi. Bagi mendukung aspirasi ini, BNM mesti mengesan dan menangani salah laku. Salah satu cara untuk mengesannya adalah melalui pemberi maklumat (whistleblower).

10.2 Bagi sebarang pendedahan mengenai salah laku atau pelanggaran (sama ada yang berpotensi berlaku atau telah berlaku) terhadap SCOC ini, pembekal boleh membuat laporan secara sulit kepada mana-mana individu yang ditetapkan melalui saluran komunikasi seperti yang terdapat pada pautan ini: /whistleblowing-policy.

10.3 Segala maklumat akan dikendalikan dengan penuh berhati-hati. Identiti pihak yang membuat laporan atau pemberi maklumat akan sentiasa dirahsiakan dengan ketat.

10.4 BNM akan menilai semua perkara yang dibangkitkan dan menjalankan siasatan yang sewajarnya. Dalam kes-kes tertentu, BNM mungkin melaporkan pelanggaran yang mencurigakan itu kepada Pihak Berkuasa Penguatkuasaan Undang-undang yang berkaitan.

10.5 BNM tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan balas oleh pekerja, pembekal, atau wakilnya terhadap mana-mana individu yang melaporkan, dengan niat baik, mengenai tingkah laku yang mencurigakan atau kemungkinan berlakunya pelanggaran terhadap SCOC ini.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?