Bukan Sekadar Harga Minyak: Konflik Geopolitik dan Implikasinya terhadap Risiko Kestabilan Kewangan
Oktober 2026
Konflik di Timur Tengah telah menjadi salah satu punca utama risiko yang boleh menjejaskan prospek ekonomi dan kewangan global. Gangguan bekalan komoditi dan laluan perdagangan strategik telah meningkatkan kos tenaga, logistik dan input lain. Gangguan tersebut juga telah menambah tekanan terhadap bekalan serta meningkatkan volatiliti dalam pasaran kewangan global. Bagi Malaysia, kesan limpahan konflik ini boleh menjadi ketara memandangkan tahap integrasi ekonomi negara yang tinggi dengan perdagangan dan pasaran kewangan global.
Walau bagaimanapun, implikasi terhadap kestabilan kewangan domestik setakat ini kekal terkawal. Prestasi bayaran balik pinjaman secara amnya kekal kukuh, dengan tekanan tertumpu pada segmen perniagaan yang terpilih. Bank-bank menghadapi sedikit tekanan menaik terhadap kos pendanaan, namun keadaan mudah tunai kekal menyokong. Bank-bank, penanggung insurans dan pengendali takaful terus mengekalkan penampan kewangan yang kukuh bagi memastikan pengantaraan kewangan berjalan lancar. Pada masa yang sama, pasaran kewangan domestik yang mendalam serta asas pelabur yang pelbagai membantu membendung penularan volatiliti luaran.
Kesan konflik disalurkan terutamanya melalui saluran tidak langsung
Sistem kewangan Malaysia mempunyai dedahan langsung yang terhad kepada Timur Tengah. Oleh itu, kesan konflik disalurkan terutamanya melalui ekonomi benar serta pasaran kewangan global, dan bukannya melalui dedahan kredit atau pendanaan secara langsung. Kos input dan logistik yang lebih tinggi, gangguan bekalan serta permintaan yang lebih lemah boleh memberikan tekanan pada margin perniagaan dan menjejaskan prestasi kewangan, manakala inflasi yang meningkat boleh menghakis kuasa beli sebenar isi rumah. Tekanan ini seterusnya boleh melemahkan keupayaan peminjam untuk membayar balik hutang, sementara ketidakpastian yang ketara boleh mempengaruhi keputusan penggunaan, simpanan dan pelaburan. Sentimen penghindaran risiko juga boleh mendorong penyusunan semula portfolio dan volatiliti aliran modal, sekali gus mempengaruhi penilaian aset, kadar hasil bon, kadar pertukaran dan mudah tunai pasaran. Secara keseluruhan, semua kesan ini boleh menyebabkan keadaan kredit dan pendanaan menjadi lebih ketat. Kesan terhadap institusi kewangan akhirnya boleh terzahir melalui kos kredit dan kos tuntutan yang lebih tinggi, kerugian penilaian, tekanan pendanaan dan mudah tunai serta perolehan dan penjanaan modal yang lebih lemah.
Kejutan yang berpunca daripada konflik ini tidak berlaku secara berasingan, sebaliknya terjadi seiring dengan perkembangan ekonomi dan kewangan global yang lain. Implikasinya terhadap kestabilan kewangan domestik bergantung pada bagaimana gabungan kejutan ini berinteraksi dengan kelemahan sedia ada. Setakat ini, risiko peningkatan tekanan kewangan akibat interaksi tersebut kekal terhad, manakala dengan sistem kewangan terus menyerap kejutan berkenaan dengan tahap daya tahan yang tinggi.
Keadaan kewangan perniagaan secara amnya kekal stabil, meskipun daya tahan berbeza mengikut sektor dan saiz syarikat
Keadaan perniagaan secara keseluruhan kekal stabil, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, eksport barangan elektrik dan elektronik yang kukuh serta aktiviti pelaburan yang berterusan. Walau bagaimanapun, hasil libat urus dengan hasil libat urus Bank Negara Malaysia (BNM) dengan sektor perniagaan menunjukkan bahawa sesetengah syarikat berdepan dengan kos input dan logistik yang lebih tinggi, bayaran yang tertangguh serta tempoh penukaran tunai yang lebih panjang. Cabaran ini lebih ketara dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang lazimnya mempunyai margin yang lebih kecil, penampan mudah tunai yang lebih rendah dan keupayaan yang lebih terhad berbanding syarikat besar untuk mempelbagaikan pembekal atau menyerap kenaikan kos. Kesan tersebut khususnya ketara dalam sektor perdagangan borong dan runcit, pembinaan serta segmen perkilangan terpilih. Sesetengah syarikat dalam sektor-sektor ini mengalami penurunan penampan tunai dan semakin bergantung pada pembiayaan jangka pendek serta pembiayaan modal kerja. Dalam sektor perkilangan asas berkaitan sumber, kenaikan harga input seperti baja dan komoditi berkaitan petrokimia telah menambah tekanan kos. Namun begitu, kebanyakan syarikat terus dapat memperoleh bekalan penting, walaupun pada harga yang lebih tinggi.
Perniagaan turut mengambil langkah untuk mengurangkan tekanan ini, dengan cara meningkatkan kecekapan kos, mempelbagaikan pembekal dan sumber bekalan, menyesuaikan rancangan pengeluaran dan inventori, serta memperkukuh pengurusan aliran tunai. Langkah-langkah penyesuaian tersebut setakat ini telah membantu membendung kesan tekanan terhadap kedudukan kewangan syarikat dan mengekalkan keupayaan syarikat untuk membayar balik hutang.
Kualiti keseluruhan peminjaman perniagaan kekal kukuh. Setakat bulan Jun 2026, nisbah pinjaman perniagaan terjejas berada pada 2.8%, manakala bahagian pinjaman yang dikelaskan sebagai mempunyai peningkatan risiko kredit (pinjaman Tahap 2) kekal di bawah purata tempoh terdekatnya (Rajah 1). Namun begitu, tekanan bayaran balik pinjaman telah muncul dalam segmen terpilih, termasuk PKS dalam sektor pengangkutan, perdagangan borong dan runcit serta perkilangan asas berkaitan sumber (Rajah 2). Perkembangan ini menunjukkan kemungkinan wujudnya risiko kredit terpendam dalam kalangan syarikat terpilih yang mengalami tekanan mudah tunai yang berterusan. Oleh itu, pemantauan berterusan pada peringkat peminjam dan sektor kekal penting.


Keadaan kredit terus menyokong perniagaan yang berdaya maju
Pinjaman perniagaan terkumpul berkembang pada kadar tahunan sebanyak 7.3% pada bulan Jun 2026, berbanding dengan purata pertumbuhan sebanyak 4.1% antara tahun 2022 hingga 2025, disokong oleh pembiayaan modal kerja (Rajah 3).
Berikutan konflik ini dijangka berlarutan, bank-bank lebih berhemat dalam menilai peminjam dalam sektor yang terjejas, di samping mengekalkan amalan pengunderaitan dan pengambilan risiko yang berdisiplin. Semua langkah ini mencerminkan penilaian semula risiko, bukannya pengetatan kredit yang meluas. Bank-bank juga terus berhubung secara proaktif dengan peminjam dan menyediakan bantuan bersasar kepada golongan yang menghadapi kesukaran kewangan sementara.[1] Melengkapi usaha ini, program Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS BNM turut membantu menyokong keupayaan perniagaan yang terjejas untuk membayar balik hutang dan mengakses pembiayaan. Mengekalkan keseimbangan antara menyokong perniagaan berdaya maju dengan menguruskan risiko kredit adalah penting. Pengembangan pembiayaan perniagaan dan modal kerja yang berterusan menunjukkan bahawa pengantaraan kredit kekal berjalan lancar meskipun bank-bank menyesuaikan penilaian risiko mereka berikutan ketidakpastian yang meningkat.

Kedudukan kewangan isi rumah secara amnya kekal kukuh
Kedudukan kewangan isi rumah secara amnya kekal berdaya tahan, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang stabil. Langkah-langkah dasar dalam negeri seperti perluasan bantuan tunai kerajaan dan subsidi bahan api yang berterusan turut membantu mengehadkan kesan pindahan kenaikan kos global terhadap harga pengguna dalam negeri. Langkah ini sekali gus memelihara kuasa beli isi rumah dan keupayaan mereka untuk membayar balik hutang.
Kualiti pinjaman isi rumah secara amnya kekal stabil. Berdasarkan penunjuk tempoh bulan tertunggak (months-in-arrears, MIA), nisbah MIA 2 dan MIA 3 yang menunjukkan tekanan bayaran balik yang lebih serius meningkat sedikit, manakala nisbah MIA 1 menurun dengan ketara dalam tempoh yang sama (Rajah 4). Hal ini menunjukkan bahawa tiada peningkatan yang meluas dalam kesukaran pembayaran balik yang baharu dalam kalangan isi rumah. Peningkatan nisbah MIA 2 dan MIA 3 berlaku merentas semua kumpulan pendapatan, namun lebih ketara dalam kalangan peminjam berpendapatan rendah yang lazimnya mempunyai penampan yang lebih terhad. Permintaan terhadap bantuan bayaran balik pinjaman juga secara amnya kekal stabil, dengan dedahan di bawah bantuan bayaran balik pinjaman bank-bank dan Program Pengurusan Kredit AKPK mencakupi 1.8% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (Mac 2026: 1.8%).
Secara keseluruhan, semua penunjuk ini menunjukkan bahawa konflik di Timur Tengah setakat ini tidak memberikan kesan ketara terhadap keupayaan sektor isi rumah untuk membayar balik hutang.

Pada masa hadapan, penunjuk peringkat mikro menunjukkan bahawa kebanyakan peminjam isi rumah berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi kemungkinan kejutan. Setakat bulan Jun 2026, median nisbah khidmat hutang berada pada 32.1% (Mac 2026: 32.2%), manakala median nisbah hutang kepada pendapatan, yang mengukur tahap hutang peminjam, kekal stabil pada 1.28 kali pendapatan kasar (Mac 2026: 1.29 kali).
Pasaran kewangan domestik kekal teratur dalam keadaan volatiliti luaran[2]
Ketegangan geopolitik yang semakin meningkat serta jangkaan yang berubah-ubah terhadap dasar monetari AS telah menyumbang kepada perubahan dalam sentimen risiko global dan volatiliti yang berterusan dalam pasaran kewangan. Perkembangan ini mendorong pelabur bukan pemastautin mengimbangi semula portfolio merentas pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia. Kedudukan pelabur bukan pemastautin turut dipengaruhi oleh pengimbangan semula berkaitan indeks dalam pasaran ekuiti Malaysia. Selaras dengan persekitaran luaran yang lebih tidak menentu, Indeks Tekanan Pasaran Kewangan (Financial Market Stress Index, FMSI) mencatatkan purata 9%, melebihi purata 7.4% bagi tahun 2021 hingga 2025. Indeks tersebut menurun daripada paras tertinggi 14.2% yang dicatatkan sebelum persetujuan gencatan senjata selama dua minggu antara AS dengan Iran pada bulan April 2026, namun kemudiannya kekal tinggi berikutan ketidakpastian geopolitik yang berterusan dan kadar hasil bon yang lebih tinggi di ekonomi maju baru-baru ini (Rajah 5). Walau bagaimanapun, pasaran kewangan domestik terus menyerap perkembangan luaran ini dan berfungsi secara teratur. Pasaran pertukaran asing dalam negeri kekal kukuh, disokong oleh aliran dua hala yang seimbang, dengan purata jumlah dagangan pertukaran asing harian sebanyak USD21.9 bilion. Ringgit menurun nilai sebanyak 0.43% berbanding dolar AS sejak awal tahun sehingga kini, meskipun asas ekonomi Malaysia yang kukuh terus memberikan sokongan yang mampan kepada ringgit dalam keadaan pergerakan dolar AS secara keseluruhan.
Kadar hasil bon kerajaan Malaysia meningkat seiring dengan perkembangan kadar hasil bon global. Meskipun terdapat pelarasan portfolio, pemegangan sekuriti kerajaan oleh pelabur bukan pemastautin meningkat sebanyak RM8.1 bilion sejak awal tahun sehingga kini. Perbezaan kadar hasil yang semakin besar antara Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities) dengan bon US Treasury serta jumlah bon kerajaan matang yang berskala besar berpotensi meningkatkan tindak balas aliran portfolio terhadap perkembangan luaran. Namun begitu, pasaran kewangan Malaysia yang mendalam dan asas pelabur yang pelbagai, berserta institusi kewangan domestik yang berdaya tahan, akan terus menyokong keadaan pasaran yang teratur.

Institusi kewangan kekal berdaya tahan, disokong oleh penampan kewangan yang kukuh
Bank-bank kekal berada pada kedudukan yang baik untuk menyerap kesan keadaan ekonomi dan kewangan yang buruk. Nisbah jumlah modal berada pada 17.9% daripada aset berwajaran risiko, iaitu selesa melebihi keperluan pengawalseliaan. Daya tahan ini turut disokong oleh keuntungan yang kukuh dengan pulangan atas ekuiti dan pulangan atas aset masing-masing berada pada 11.5% dan 1.3%. Risiko kredit kekal terkawal, dengan agregat nisbah pinjaman terjejas yang stabil pada 1.4% (Mac 2026: 1.4%) dan bahagian pinjaman Tahap 2 menurun kepada 5.9% (Mac 2026: 6.1%). Bank-bank juga mengekalkan peruntukan yang berhemat dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) pada 124.6%.
Kedudukan mudah tunai dan pendanaan juga kekal berdaya tahan. Agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai dan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih masing-masing berada pada 149.6% dan 114.7%, jauh melebihi paras minimum pengawalseliaan. Jumlah mudah tunai sistem perbankan kekal mencukupi, disokong oleh operasi mudah tunai Bank Negara Malaysia, yang membantu menyediakan penampan yang memadai bagi bank-bank untuk menghadapi kemungkinan kejutan pendanaan dan mudah tunai. Kos pendanaan bagi beberapa instrumen meningkat secara beransur-ansur, sebahagiannya mencerminkan persaingan deposit yang lebih sengit. Hal ini memberikan sedikit tekanan menaik terhadap kos pendanaan bank-bank (Rajah 6), meskipun magnitud kenaikan tersebut kekal terurus. Walau bagaimanapun, perkembangan ini tidak menyebabkan tekanan pendanaan yang meluas atau mengekang keupayaan bank-bank untuk menyokong pengantaraan kredit. Keadaan pendanaan luaran juga kekal menggalakkan, dengan akses kepada pendanaan mata wang asing terus disokong oleh pasaran yang berfungsi dengan baik.

Penanggung insurans dan pengendali takaful kekal berdaya tahan, disokong oleh kedudukan modal yang kukuh. Setakat bulan Jun 2026, nisbah kecukupan modal agregat sektor ini berada pada 225%, jauh melebihi paras minimum pengawalseliaan. Pengalaman tuntutan secara amnya kekal stabil, manakala pertumbuhan perniagaan baharu yang kukuh, pembayaran penyerahan polisi yang rendah serta prestasi pelaburan yang menggalakkan terus menyokong keuntungan. Dedahan perniagaan secara langsung kepada kawasan yang terjejas akibat konflik adalah terhad dan sebahagian besarnya tertumpu pada segmen marin, penerbangan dan berkaitan transit, yang hanya mencakupi 0.4% daripada jumlah premium kasar. Ketersediaan sokongan insurans semula yang berterusan turut mengurangkan risiko yang berpunca daripada dedahan ini. Walau bagaimanapun, konflik yang berlarutan boleh meningkatkan volatiliti tuntutan melalui kenaikan kos pembaikan, penggantian, pengangkutan dan insurans semula. Aliran tunai isi rumah dan perniagaan yang lebih lemah juga boleh menjejaskan keupayaan pemegang polisi sedia ada untuk mengekalkan polisi insurans mereka serta mengurangkan permintaan terhadap perlindungan baharu. Namun begitu, setakat ini semua kesan ini masih belum berlaku.
Risiko kestabilan kewangan kekal terkawal, namun kewaspadaan perlu dikekalkan dalam keadaan ketidakpastian yang berterusan
Konflik di Timur Tengah kekal sebagai sumber ketidakpastian yang ketara. Konflik yang kian memuncak atau berlarutan boleh mengakibatkan kejutan harga komoditi yang lebih besar, gangguan bekalan yang berterusan dan pertumbuhan global yang lebih perlahan. Volatiliti dalam pasaran kewangan global juga boleh kekal tinggi apabila pelabur menilai semula perkembangan geopolitik, prospek harga komoditi dan hala tuju kadar faedah dalam ekonomi utama.
Walau bagaimanapun, bukti setakat ini menunjukkan bahawa risiko terhadap kestabilan kewangan domestik kekal terkawal. Tekanan kewangan tertumpu pada sektor dan segmen peminjam tertentu, manakala kualiti kredit agregat kekal teguh. Pembiayaan terus disalurkan kepada ekonomi benar, dan institusi kewangan mengekalkan penampan modal, mudah tunai dan peruntukan yang utuh.
Ujian tekanan makro yang dijalankan oleh BNM pada awal tahun 2026 kekal relevan kerana senarionya mengambil kira peningkatan penghindaran risiko global akibat perkembangan geopolitik serta tekanan inflasi yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan dan kenaikan harga komoditi.[3] Potensi kesan konflik yang berlarutan atau lebih serius dijangka kekal dalam julat keputusan yang dipertimbangkan menerusi senario tersebut, yang menunjukkan bahawa sistem kewangan terus berdaya tahan walaupun dalam keadaan yang lebih mencabar.
Meskipun sistem kewangan Malaysia kekal berdaya tahan, risiko daripada kejutan selanjutnya masih wujud. Oleh itu, BNM terus berwaspada menerusi pemantauan berterusan terhadap kedudukan mudah tunai perniagaan, trend bayaran balik pinjaman dalam kalangan syarikat dan isi rumah yang mudah terjejas, keadaan pendanaan bank serta potensi kejutan untuk menjadi lebih ketara melalui pasaran kewangan.
Nota
[1] Sejak 1 Julai 2026, BNM telah menambah baik pelaporan dalam CCRIS bagi memastikan peminjam berdaya maju yang menghadapi kesukaran kewangan sementara disebabkan oleh peristiwa di luar kawalan mereka (seperti bencana alam, pandemik dan gangguan geopolitik) tidak begitu terjejas apabila mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar.
[2] Data pasaran kewangan dinilai bagi tempoh antara 1 Mac hingga 21 September 2026, melainkan dinyatakan sebaliknya.
[3] Rujuk bahagian ‘Penilaian Daya Tahan Institusi Kewangan’ dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2025 untuk butiran lanjut berkenaan pelaksanaan ujian tekanan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.