Di Sebalik Angka Rasmi: Inflasi dari Perspektif Isi Rumah

Pertama Kali Diterbitkan Dalam Laporan Tahunan 2025

01 Nov 2026

Pengenalan

Inflasi di Malaysia telah menurun ke paras terendah dalam tempoh lima tahun. Pada tahun 2025, inflasi keseluruhan, yang diukur sebagai pertumbuhan tahun ke tahun dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), mencatatkan purata sebanyak 1.4%.[1] Namun begitu, kos sara hidup yang tinggi masih menjadi kebimbangan utama bagi sebahagian besar isi rumah. Hal ini mencerminkan perbezaan antara ukuran inflasi dalam statistik rasmi berbanding dengan pengalaman harian orang ramai. Rencana ini akan mengupas sebab pengalaman yang dirasakan berbeza daripada angka inflasi keseluruhan, suatu corak pengalaman yang dilihat di Malaysia dan banyak negara lain di seluruh dunia.

Inflasi lazimnya dilihat melalui perspektif yang mencerminkan pengalaman atau pandangan peribadi

Tajuk utama media dan perbualan harian berkenaan harga barang sering memaparkan pengalaman peribadi terutamanya berkenaan dengan harga sayuran biasa seperti sawi atau makanan harian seperti nasi lemak dan roti canai. Pemerhatian seharian ini secara semula jadi membentuk persepsi ramai rakyat Malaysia mengenai inflasi.

Bukti daripada seluruh dunia, termasuk Malaysia, menunjukkan masyarakat sering beranggapan bahawa kadar inflasi lebih tinggi daripada angka rasmi yang dilaporkan. Keadaan ini lebih ketara selepas tempoh kenaikan harga yang mendadak, seperti yang berlaku selepas pandemik COVID-19 (Rajah 1) (Weber dll. (2021); Anesti dll. (2024)). Hal ini wajar kerana isi rumah merasai perubahan harga tersebut secara langsung dalam perbelanjaan harian mereka.

Isi rumah cenderung untuk membentuk tanggapan mengenai inflasi dan perubahan harga melalui dua cara utama.

Pertama, tanggapan isi rumah mengenai harga sebahagian besarnya dipengaruhi oleh barangan yang sering dibeli, seperti makanan ruji dan minuman. Kecenderungan ini, yang juga dikenali sebagai bias kekerapan, bermaksud barangan yang lazim dibeli memberikan kesan yang lebih besar terhadap tanggapan mereka mengenai inflasi. Bagi mencerminkan realiti ini dengan lebih baik, pakar ekonomi menggunakan penunjuk seperti Indeks Harga Harian (Everyday Price Index, EPI), yang memperuntukkan wajaran yang lebih besar kepada barangan yang sering dibeli dalam IHP. Dengan menekankan pembelian seperti ini, EPI merekodkan perubahan harga yang lebih mencerminkan pengalaman harian isi rumah.

Kedua, tanggapan isi rumah juga dibentuk oleh cara perubahan harga yang diingati. Kenaikan harga cenderung meninggalkan kesan yang lebih mendalam dan berkekalan berbanding penurunan harga, meskipun apabila kedua-duanya berlaku. Corak tingkah laku ini, yang dikenali sebagai bias ingatan, direkodkan melalui Indeks Harga Tanggapan (Perceived Price Index, PePI). PePI adalah sama seperti EPI tetapi hanya merangkumi barangan yang telah mencatatkan kenaikan harga dan pada masa yang sama mengecualikan barangan yang telah mengalami penurunan harga.[2] Oleh itu, PePI lazimnya menunjukkan kadar inflasi yang lebih tinggi berbanding IHP dan EPI, lantas mencerminkan tanggapan bahawa kenaikan harga meninggalkan kesan yang lebih ketara kepada isi rumah.

Trend data terkini menggambarkan situasi ini dengan jelas. Harga barangan harian seperti makanan segar, petrol dan utiliti telah mencatatkan penurunan, disokong oleh harga komoditi global yang lebih rendah serta pembaharuan dasar baru-baru ini (Jadual 1).[3] Hasilnya, EPI telah jatuh ke bawah paras inflasi keseluruhan. Walaupun begitu, PePI kekal tinggi (Rajah 2). Hal ini menunjukkan banyak isi rumah masih beranggapan bahawa inflasi adalah tinggi kerana kenaikan harga yang berlaku sebelum ini lebih menonjol berbanding penurunan harga yang dicatatkan sejak kebelakangan ini.

Jadi, mengapakah kita masih bergantung pada IHP?

IHP direka bentuk untuk mengukur inflasi keseluruhan bagi seluruh ekonomi. IHP dibina berdasarkan kumpulan barangan dan perkhidmatan secara meluas serta mewakili corak perbelanjaan isi rumah biasa. Bagi mencerminkan gambaran menyeluruh ini, IHP bukan sahaja merangkumi keperluan harian, tetapi juga barangan yang jarang dibeli, seperti komputer dan peralatan rumah.

Disebabkan liputan yang meluas ini serta penggunaan pendekatan yang konsisten merentas negara, IHP memberikan ukuran inflasi yang paling lengkap dan dapat dibandingkan pada peringkat antarabangsa. Inilah sebabnya IHP masih digunakan sebagai penunjuk utama untuk menilai trend inflasi dan menjadi rujukan dalam pertimbangan dasar.

Pada masa yang sama, untuk mendapatkan pemahaman yang lebih menyeluruh berkenaan inflasi seperti yang dirasai oleh isi rumah, sesetengah pakar ekonomi turut meneliti EPI dan PePI. Setiap penunjuk ini menyerlahkan pandangan yang berbeza mengenai pengalaman masyarakat tentang perubahan harga dalam kehidupan seharian. Apabila digabungkan, IHP, EPI dan PePI menyediakan gambaran yang lebih komprehensif dan terperinci kerana kesemua penunjuk ini mengimbangkan pengalaman isi rumah dengan perspektif ekonomi yang lebih menyeluruh.

Inflasi mengukur pertumbuhan harga dan bukannya tahap harga

Inflasi mengukur kepantasan kenaikan harga yang berlaku dan bukannya betapa tinggi tahap harga tersebut. Banyak orang menilai inflasi dengan membandingkan harga pada hari ini dengan harga dahulu, kadangkala dari beberapa tahun lalu. Apabila perbelanjaan harian dirasakan tinggi, masyarakat berharap supaya harga dapat kembali ke tahap biasa sebelumnya. Tahap harga lampau ini menjadi rujukan bagi isi rumah untuk menilai sama ada kuasa beli mereka bertambah baik atau semakin lemah.

Namun demikian, penurunan harga ke tahap sebelumnya bermaksud berlakunya deflasi. Meskipun deflasi kelihatan menarik pada awalnya, terutamanya apabila kos sara hidup dirasakan tinggi, deflasi boleh menimbulkan masalah yang lebih rumit dalam ekonomi. Sekiranya masyarakat mengharapkan penurunan harga yang berterusan, mereka mungkin menangguhkan perbelanjaan dengan harapan memperoleh harga yang lebih rendah pada masa hadapan. Penangguhan perbelanjaan secara meluas akan melemahkan permintaan, mengurangkan pendapatan perniagaan dan seterusnya menyebabkan kehilangan pekerjaan serta penangguhan pelaburan, yang akhirnya akan mencetuskan kitaran aktiviti ekonomi yang lebih lemah (Gambar Rajah 1).

Harga memainkan peranan penting dalam ekonomi. Harga memberikan isyarat mengenai perubahan dalam penawaran dan permintaan untuk membolehkan peruntukan sumber yang lebih cekap. Dalam sesetengah keadaan, kenaikan harga adalah lumrah dan suatu keperluan dalam proses ini. Sebagai contoh, apabila permintaan terhadap sesuatu produk melebihi penawaran sedia ada, kenaikan harga berlaku sehingga suatu tahap yang pembeli sanggup membayar harga barangan yang dipersetujui oleh penjual. Keadaan ini dapat dilihat semasa pandemik COVID-19 apabila permintaan global terhadap sarung tangan getah jauh melebihi bekalan sedia ada dan menyebabkan kenaikan harga lebih dua kali ganda. Dalam sesetengah situasi lain, perubahan harga mungkin sebahagiannya mencerminkan kualiti atau ciri produk yang lebih baik. Contohnya, mendapat telefon bimbit yang mempunyai kamera yang lebih canggih atau jangka hayat bateri yang lebih lama. Dalam situasi ini, kenaikan harga bukan sahaja disebabkan oleh kos yang lebih tinggi, tetapi juga kerana kualiti produk tersebut ditambah baik.

Bagi sesetengah barangan keperluan asas, Kerajaan ada kalanya akan menetapkan had harga melalui subsidi atau kawalan harga bagi mengurangkan tekanan harga jangka pendek. Walau bagaimanapun, langkah sedemikian akan menyebabkan Kerajaan menanggung kos yang tinggi. Selain itu, sekiranya kawalan harga dilaksanakan untuk jangka masa yang terlalu lama, keherotan penawaran dan permintaan boleh berlaku. Sebagai contoh, dalam kes kawalan harga, pengeluar mungkin menghadapi kesukaran untuk mengekalkan keuntungan apabila kos pengeluaran sesuatu produk meningkat melebihi harga jualan yang ditetapkan. Akibatnya, mereka mungkin akan mengurangkan pengeluaran atau mengalihkan tumpuan pengeluaran ke pasaran eksport yang menawarkan harga lebih tinggi. Keadaan in seterusnya mungkin menyebabkan kekurangan bekalan yang lazimnya dikenali sebagai fenomena “rak kosong”.

Kuasa beli bergantung pada harga dan juga pendapatan

Sebagai bank pusat, salah satu matlamat utama Bank Negara Malaysia (BNM) adalah untuk memastikan kadar inflasi yang rendah dan stabil. Perkara ini penting kerana harga yang stabil dan dapat dijangka membolehkan isi rumah dan perniagaan merancang perbelanjaan, simpanan dan pelaburan mereka dengan lebih baik. Hal ini seterusnya akan membantu menyokong aktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

Walau bagaimanapun, pemeliharaan kuasa beli isi rumah bukan sahaja bergantung pada harga tetapi juga pada pendapatan. Yang penting, apabila kenaikan harga berlaku secara perlahan dan boleh dijangka, isi rumah dapat mengekalkan kuasa beli mereka selagi pendapatan meningkat seiring dengan harga. Dalam keadaan demikian, inflasi yang stabil memberi masa untuk penyelarasan pendapatan, sekali gus membantu isi rumah menghadapi harga yang lebih tinggi serta merancang perbelanjaan dengan lebih yakin.

Perkembangan terkini di Malaysia membantu menggambarkan dinamik ini. Pada tahun 2025, harga keseluruhan meningkat sebanyak 1.4% manakala upah nominal bagi setiap pekerja meningkat sebanyak 1.7%,[4] didorong oleh sokongan dasar dan kegiatan ekonomi yang kukuh. Namun demikian, tinjauan yang lebih terperinci terhadap perkembangan tahap upah dan harga sejak sebelum pandemik menunjukkan sebab sebilangan besar isi rumah masih berasa terbeban. Dari tahun 2019 hingga 2024, IHP keseluruhan meningkat sebanyak 9.3%, manakala upah nominal bagi setiap pekerja hanya meningkat sebanyak 7.2%. Dengan kata lain, pekerja perlu bekerja lebih lama untuk mampu membeli jumlah barangan yang sama. Perkara ini jelas dapat dilihat daripada segi makanan: apabila harga makanan meningkat lebih pantas berbanding pendapatan pada tahun-tahun kebelakangan ini, isi rumah kini perlu bekerja lebih lama hanya untuk menampung perbelanjaan makanan harian lazim mereka (Rajah 3).

Langkah-langkah pendapatan terkini seperti semakan terhadap gaji minimum[5] telah membantu meringankan beban lebih lima juta pekerja di Malaysia. Namun, untuk jangka masa lebih panjang, pembaharuan struktur yang lebih mendalam perlu dilaksanakan untuk menangani punca kelembapan pertumbuhan pendapatan di Malaysia.

Pertama, lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi perlu diwujudkan. Pada tahun 2025, pekerjaan berkemahiran tinggi cuma merangkumi 26% daripada jawatan baharu yang diwujudkan, lebih rendah berbanding purata 30% dalam tempoh lima tahun (2020–2024). Penurunan ini mencerminkan peralihan Malaysia yang perlahan daripada industri bernilai tambah rendah kepada bernilai tambah tinggi, kadar penerapan teknologi yang perlahan dan pelaburan penyelidikan dan pembangunan (research and development, R&D) yang rendah. Bagi menangani jurang ini, sangat penting untuk melakukan pembaharuan dasar yang menggalakkan penaikan taraf pengindustrian serta menyokong peralihan syarikat kepada pengeluaran yang lebih kompleks dan bernilai tinggi. Sehubungan dengan itu, inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Masterplan, NIMP 2030) dan Aspirasi Pelaburan Nasional (National Investment Aspirations, NIA) bertujuan menarik pelaburan berkualiti lebih tinggi, menggalakkan pengeluaran intensif teknologi dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.

Pada masa yang sama, pembaharuan dari segi penawaran juga penting untuk memastikan tenaga kerja dapat memenuhi permintaan kemahiran yang semakin tinggi. Akses pekerja kepada pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi terus terhad ekoran ketidaksepadanan kemahiran yang berlarutan serta sokongan yang terhad untuk meningkatkan kemahiran dan latihan semula. Oleh itu, penambahbaikan sistem pendidikan dan latihan, pengukuhan hubungan industri serta memperluas peluang pembelajaran sepanjang hayat akan menjadi sangat penting.

Secara keseluruhan, agenda pembaharuan yang menyeluruh diperlukan untuk menangani jurang yang berpanjangan dalam pasaran pekerja, meningkatkan produktiviti serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik.[6] Tanpa usaha untuk menangani perkara asas ini, pertumbuhan pendapatan akan terus ketinggalan berbanding kenaikan harga dan menyebabkan kemerosotan taraf kehidupan untuk jangka panjang.[7]

Kesimpulan: Persepsi dan Dasar

Kesimpulannya, inflasi bukan sekadar angka. Pengalaman isi rumah membentuk tanggapan dan jangkaan terhadap inflasi, sekali gus mempengaruhi keputusan ekonomi yang utama seperti perbelanjaan, simpanan dan jangkaan pendapatan. Semua hal ini seterusnya mempengaruhi tingkah laku syarikat dalam proses penetapan harga serta mewujudkan kesan limpahan yang lebih meluas terhadap ekonomi. Apabila jangkaan bahawa inflasi adalah tinggi tersebar luas, jangkaan tersebut juga boleh mempengaruhi inflasi itu sendiri. Dalam kes ekstrem, sekiranya masyarakat menjangkakan harga akan meningkat lebih pantas daripada biasa, tingkah laku mereka boleh menyebabkan inflasi tinggi yang berlarutan dan meluas.[8]

Langkah utama yang digunakan oleh BNM dalam usaha mencapai kadar inflasi yang rendah dan stabil ialah dasar monetari. Apabila inflasi tinggi, BNM akan melaraskan dasar monetari untuk menguruskan permintaan keseluruhan dalam ekonomi, sekali gus memperlahankan kadar kenaikan harga. Matlamatnya adalah untuk memastikan kadar inflasi yang rendah dan stabil, bukannya mewujudkan persekitaran deflasi yang boleh menjejaskan ekonomi. Walau bagaimanapun, dasar monetari sahaja tidak mampu memelihara kuasa beli kerana kesejahteraan isi rumah juga dipengaruhi oleh pertumbuhan pendapatan, produktiviti serta trend kos sara hidup yang lebih luas.

Walaupun inflasi berada pada tahap sederhana, banyak isi rumah terus bergelut dengan kos sara hidup yang lebih tinggi dalam keadaan pertumbuhan pendapatan yang perlahan. Bagi memastikan taraf hidup yang lebih baik dan mengukuhkan kuasa beli, pertumbuhan pendapatan hendaklah melebihi kenaikan harga. Apabila perbelanjaan meningkat lebih pantas daripada pendapatan, kenaikan harga yang kecil pun mungkin dirasakan besar oleh isi rumah, sekali gus membentuk tanggapan tentang kos sara hidup serta pandangan terhadap keadaan ekonomi secara keseluruhan.

Akhirnya, pengukuhan kuasa beli isi rumah memerlukan strategi dasar yang menyeluruh dan terselaras. Hal ini memerlukan dasar monetari yang dilengkapi dengan sokongan fiskal bersasar untuk kumpulan yang mudah terjejas serta pelaksanaan pembaharuan struktur yang meningkatkan pendapatan dan produktiviti. Dengan menangani kedua-dua aspek harga dan pendapatan, pembuat dasar dapat memelihara kuasa beli serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk tempoh jangka panjang.

Rujukan

Anesti, N., Esady, V., & Naylor, M. (2024). Food Prices Matter Most: Sensitive Household Inflation Expectations. Bank of England.

Bank Negara Malaysia (2017). Inflasi: Persepsi dan Realitinya, rencana dalam Buletin Suku Tahunan BNM, Suku Pertama 2017.

Bank Negara Malaysia (2018). Inflasi, Kos Sara Hidup dan Upah Kehidupan Wajar, rencana dalam Laporan Tahunan 2018 BNM.

Bank Negara Malaysia (2024). Membendung Inflasi, Mengurangkan Kos: Perspektif Dasar, rencana dalam Laporan Tahunan 2024 BNM.

Bank Negara Malaysia (2025). Mengekalkan Enjin Pertumbuhan: Evolusi Pemacu yang Mendorong Pertumbuhan Penggunaan Swasta di Malaysia, rencana dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 BNM.

D’Acunto, F., De Fiore, F., Sandri, D. & Weber, M. (2025). A global survey of household perceptions and expectations. BIS Quarterly Review, September, Bank for International Settlements. Rujuk https://www.bis.org/publ/qtrpdf/r_qt2509.pdf.

D’Acunto, F., Malmendier, U. & Weber, M. (2021). Exposure to grocery prices and inflation expectations. Journal of Political Economy, 129(5), pp. 1615–1639.

De Fiore, F., Sandri, D. & Yetman, J. (2023). Household perceptions and expectations in the wake of the inflation surge: Survey evidence. BIS Bulletin No. 104. Basel: Bank for International Settlements. Rujuk https://www.bis.org/publ/bisbull104.pdf.

Jabatan Perangkaan Malaysia (2019 & 2024). Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah.

Nota

[1] Inflasi diukur melalui Indeks Harga Pengguna (IHP), yang diterbitkan setiap bulan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana “Inflasi, Kos Sara Hidup dan Upah Kehidupan Wajar” dalam Laporan Tahunan 2018 BNM.

[2] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana “Inflasi: Persepsi dan Realitinya” dalam Buletin Suku Tahunan BNM, Suku Pertama 2017.

[3] Sebagai contoh, dasar-dasar yang merangkumi rasionalisasi subsidi bahan api di bawah BUDI95 dan semakan tarif elektrik.

[4] Upah nominal bagi setiap pekerja merujuk upah pekerja dalam industri perkilangan dan perkhidmatan sektor swasta.

[5] Pada tahun 2025, gaji minimum Malaysia dinaikkan kepada RM1,700 daripada RM1,500.

[6] Setakat ini, usaha berterusan oleh Kerajaan untuk mengukuhkan pendidikan dan pembangunan kemahiran termasuk pembaharuan pada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (technical and vocational education and training, TVET) serta pengembangan inisiatif latihan berasaskan industri.

[7] Untuk maklumat lanjut berkenaan dasar yang menerangkan cabaran pasaran pekerja dan pertumbuhan upah, sila rujuk rencana “Mengekalkan Enjin Pertumbuhan: Evolusi Pemacu yang Mendorong Pertumbuhan Penggunaan Swasta di Malaysia” dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 BNM dan rencana “Membendung Inflasi, Mengurangkan Kos: Perspektif Dasar” dalam Laporan Tahunan 2024 BNM.

[8] Semasa pembukaan semula ekonomi selepas pandemik, banyak pihak menjangkakan kenaikan harga yang lebih pantas berbanding biasa disebabkan situasi permintaan terpendam dan gangguan bekalan. Seterusnya, perniagaan mampu menaikkan harga tanpa kehilangan pelanggan. Situasi ini telah menyumbang kepada inflasi yang meluas yang paras tertingginya ialah 4.7% pada bulan Ogos 2022.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?