Gaji Kehidupan Wajar: Bukan Sekadar Menampung Keperluan Asas

Pertama Kali Diterbitkan Dalam Laporan Tahunan 2017

Pengenalan

Konsep taraf hidup ‘minimum yang boleh diterima’ melangkaui kemampuan untuk menampung keperluan asas, seperti makanan, pakaian, dan tempat berlindung[1]. Taraf hidup ini harus merangkumi keupayaan untuk berinteraksi dalam masyarakat secara bermakna, peluang untuk pembangunan diri dan keluarga, dan kebebasan daripada tekanan kewangan yang teruk. Pada masa yang sama, taraf hidup ini harus mencerminkan keperluan dan bukannya kemahuan. Oleh itu, taraf hidup ini tidak mengambil kira kos gaya hidup, yang merupakan perbelanjaan untuk memenuhi keinginan taraf hidup idaman (Rajah 1).

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, banyak pekerja yang bergaji rendah di beberapa negara mengalami kesukaran untuk mencapai taraf hidup minimum yang boleh diterima oleh masyarakat setempat. Perkembangan ini telah mendorong pelaksanaan gaji kehidupan wajar (the living wage), iaitu tahap gaji yang mampu menanggung taraf hidup tersebut. Rencana ini akan menerangkan motivasi untuk memperkenalkan gaji kehidupan wajar, anggaran aras gaji kehidupan wajar yang sesuai bagi Kuala Lumpur, pengalaman antarabangsa yang menerima pakai gaji kehidupan wajar, dan impak potensi terhadap ekonomi, majikan, dan pekerja. Gaji kehidupan wajar ialah istilah yang digunakan dalam pengajian untuk menerangkan tahap pendapatan yang diperlukan oleh isi rumah agar mampu memperoleh taraf hidup minimum yang boleh diterima. Secara praktiknya, taraf hidup ini boleh dicapai melalui pelbagai sumber pendapatan selain gaji, seperti manfaat kerja bukan gaji dan bantuan sosial. Bagi memudahkan perbincangan, rencana ini akan menggunakan istilah ‘gaji kehidupan wajar’ untuk membawa makna pendapatan daripada semua sumber; iaitu gaji, manfaat, dan juga pendapatan daripada sumber lain.

Pada tahun 2016, keluarga yang terdiri daripada dua orang dewasa bekerja dan dua kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) perlu membuat hampir empat pekerjaan sepenuh masa yang membayar gaji minimum untuk mencapai gaji kehidupan wajar (Glasmeier dan Nadeau, 2017). Pada tahun 2017, lebih satu perlima daripada pekerja di United Kingdom (UK) masih berpendapatan di bawah gaji kehidupan wajar (IHS Markit, 2017).

Di Malaysia, purata pendapatan bulanan isi rumah dalam kumpulan pendapatan 40% terendah telah menunjukkan peningkatan yang ketara sebanyak 6% setahun antara tahun 2014 dengan tahun 2016. Namun begitu, pertumbuhan 6% ini dari segi amaun tidaklah banyak kerana asas yang rendah. Dalam nilai mutlak, pendapatan bulanan bagi kumpulan ini meningkat daripada RM2,537 kepada RM2,848, yang bersamaan dengan peningkatan purata yang kecil kira-kira RM150 setahun berbanding dengan kumpulan pendapatan lain[2]. Selepas mengambil kira kenaikan kos sara hidup, isi rumah dalam kumpulan pendapatan 40% terendah mengalami pertumbuhan dalam pendapatan sebenar sebanyak 3.8%. Bagi sesetengah isi rumah, terutamanya yang mempunyai tanggungan tambahan, peningkatan pendapatan yang kecil ini mungkin mencukupi untuk menampung kenaikan harga keperluan asas tetapi tidak dapat mencapai taraf hidup minimum yang boleh diterima[3].

Memandangkan Malaysia semakin hampir untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, sudah sampai masanya negara menanam hasrat supaya rakyat sekurang-kurangnya dapat mencapai taraf hidup minimum yang boleh diterima. Peruntukan gaji kehidupan wajar merupakan satu langkah ke arah matlamat tersebut. Dengan menggunakan gaji kehidupan wajar ini sebagai penanda aras untuk menilai kecukupan gaji semasa dan bantuan sosial, pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa gaji kehidupan wajar berpotensi untuk memberi maklumat, mencabar, dan menambah baik dasar ke arah mencapai taraf hidup minimum yang boleh diterima. Oleh itu, pertimbangan yang besar diperlukan untuk mengira aras gaji kehidupan wajar yang sesuai.

Motivasi gaji kehidupan wajar

Pelbagai ketidaksempurnaan pasaran, seperti kuasa pasaran yang tidak seimbang dan kekangan mobiliti buruh, boleh merendahkan gaji dengan memihak kepada majikan. Sokongan terhadap gaji kehidupan wajar adalah sangat kuat semasa Revolusi Perindustrian British pada abad ke-18, sebagai tindak balas kepada gaji yang rendah dan keadaan kerja yang buruk untuk buruh kasar. Tuntutan terhadap gaji kehidupan wajar sejak dua dekad yang lalu mencerminkan usaha yang diperbaharui untuk membolehkan para pekerja mampu memperoleh taraf hidup minimum yang boleh diterima. Ini berlaku dalam keadaan sejumlah besar pekerja sepenuh masa yang dibayar gaji yang rendah memohon bantuan sosial (Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organization, ILO), 2014). Tumpuan kekayaan yang meningkat dalam kalangan mereka yang berpendapatan tinggi dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang teguh telah meluaskan jurang ketidaksamaan dalam banyak negara maju. Dalam negara ini, ketidaksamaan pendapatan itu menjadi salah satu faktor utama yang mendorong kepada perlunya satu rangka kerja gaji kehidupan wajar.

Masyarakat moden mengakui bahawa taraf hidup minimum yang boleh diterima bukanlah hanya sekadar mampu memenuhi keperluan asas, tetapi juga harus menyediakan peluang untuk turut serta dalam masyarakat dari segi sosial dan perlindungan kewangan. Dari segi sosial, tahap minimum yang boleh diterima termasuk kemampuan untuk menziarah keluarga dan sahabat handai semasa musim perayaan, dan berupaya membeli hadiah sekali-sekala untuk ahli keluarga, misalnya semasa sambutan hari jadi atau berziarah. Di samping itu, beban kewangan tidak seharusnya menjadi punca tekanan yang berterusan. Rajah 2 merumuskan beberapa motivasi yang menyokong pelaksanaan gaji kehidupan wajar di beberapa negara.

Selain membolehkan pekerja mendapat taraf hidup yang minimum yang boleh diterima, gaji kehidupan wajar juga boleh memberi kesan positif kepada ekonomi yang lebih meluas. Ini termasuk pengurangan dalam kadar pusing ganti pekerja dan peningkatan semangat dan produktiviti pekerja[4].

Perbezaan antara gaji kehidupan wajar, gaji minimum, dan pendapatan idaman

Pada praktiknya, gaji kehidupan wajar berbeza daripada gaji minimum dalam beberapa aspek. Pertama, gaji kehidupan wajar lazimnya bukanlah satu keperluan berkanun kepada ekonomi, tidak seperti gaji minimum[5]. Kedua, gaji kehidupan wajar tidak hanya merujuk kepada aras ganjaran minimum, tetapi juga taraf hidup minimum yang boleh diterima (ILO, 2014). Maka, kadar gaji kehidupan wajar biasanya lebih tinggi daripada kadar gaji minimum, terutamanya jika kadar gaji minimum jarang dikemas kini selaras dengan peningkatan kos sara hidup. Ketiga, penentuan gaji kehidupan wajar adalah bersandarkan terutamanya pada kos sara hidup, manakala gaji minimum memberi pertimbangan kepada faktor tambahan, seperti kesannya kepada guna tenaga dan pewujudan pekerjaan (ILO, 2014) kerana gaji minimum merupakan suatu keperluan perundangan.

Dari segi kemampuan mencapai taraf hidup tertentu, gaji kehidupan wajar adalah bertujuan untuk mengekalkan taraf hidup minimum yang diterima oleh masyarakat, bukan sekadar memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan tempat berlindung. Pendapatan idaman adalah lebih daripada itu: pendapatan idaman dapat memenuhi gaya hidup melebihi tahap minimum yang boleh diterima oleh masyarakat, termasuk perbelanjaan untuk membeli alat teknologi terkini atau melancong ke luar negara.

Menganggarkan gaji kehidupan wajar yang wajar di Kuala Lumpur

Salah satu proses penting dalam membentuk rangka kerja gaji kehidupan wajar adalah dengan menganggarkan satu aras gaji yang mewakili taraf hidup minimum yang boleh diterima. Walaupun pelbagai kaedah boleh digunakan untuk menganggar gaji kehidupan wajar, kaedah-kaedah ini biasanya mengikuti pendekatan standard seperti yang digambarkan dalam carta aliran (Rajah 3). Langkah pertama adalah untuk menentukan sama ada terdapat variasi yang ketara dalam harga dan taraf hidup merentas lokasi dan komposisi isi rumah, yang boleh dijadikan faktor untuk mengira anggaran yang berbeza bagi gaji kehidupan wajar. Langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan satu bakul barangan dan perkhidmatan yang mewakili taraf hidup minimum yang boleh diterima oleh masyarakat umum. Biasanya maklumat diambil daripada standard keperluan asas yang diiktiraf secara umum, pendapat pakar, maklum balas orang ramai, dan data tentang perbelanjaan isi rumah. Disebabkan keperluan isi rumah yang pelbagai, sesi interaksi dengan isi rumah daripada latar belakang yang berlainan adalah mustahak bagi menentukan item yang dianggap sebagai keperluan dan bagi membezakannya daripada item yang dianggap sebagai idaman. Interaksi dengan isi rumah lazimnya dijalankan melalui perbincangan kumpulan fokus (focus group discussions), seperti yang dilakukan secara meluas di UK untuk 11 jenis isi rumah (Bradshaw et. al., 2008).

Langkah seterusnya adalah untuk mengira jumlah kos bagi bakul barangan dan perkhidmatan tersebut berdasarkan aras harga semasa. Statistik harga rasmi biasanya digunakan untuk tujuan tersebut. Anggaran ini dan andaian asas akan disahkan melalui perbincangan kumpulan fokus. Akhir sekali, anggaran gaji kehidupan wajar dikemas kini secara berkala untuk mengambil kira kadar inflasi. Anggaran tersebut juga akan dikaji semula untuk mempertimbangkan perubahan dalam norma-norma sosial, memandangkan tahap pembandaran yang semakin meningkat boleh mempengaruhi komposisi bakul barangan dan perkhidmatan isi rumah dengan ketara. Sebagai contoh, isi rumah di UK baru-baru ini telah menyatakan betapa sukarnya untuk tinggal berhampiran dengan tempat kerja mereka kerana pilihan perumahan yang terhad, menyebabkan peningkatan dalam kos perjalanan ke tempat kerja dan untuk aktiviti sosial yang lain (Davis, Hill, Hirsch dan Padley, 2016).

Bagi mendapatkan anggaran awal gaji kehidupan wajar di Kuala Lumpur pada tahun 2016, pendekatan yang standard digunakan untuk tiga jenis isi rumah: dewasa bujang, pasangan tanpa anak, dan pasangan dengan dua orang anak. Pertama, suatu bakul barangan dan perkhidmatan dibentuk yang mencerminkan corak penggunaan purata bagi setiap jenis isi rumah di Kuala Lumpur. Kedua, kos bakul barangan dan perkhidmatan ini dianggar dengan menggunakan data yang sedia ada daripada pelbagai sumber, seperti Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), dan Pusat Maklumat Harta Nasional (NAPIC). Seterusnya, wakil daripada tiga jenis isi rumah dirujuk melalui perbincangan kumpulan fokus untuk mengenal pasti bakul barangan dan perkhidmatan yang mencerminkan dengan lebih tepat taraf hidup minimum yang boleh diterima oleh mereka. Mereka juga diminta untuk menganggarkan belanjawan yang diperlukan untuk mendapatkan bakul barangan dan perkhidmatan tersebut. Anggaran dalaman disahkan dengan maklum balas daripada perbincangan kumpulan fokus.

Jadual 1 membentangkan anggaran gaji kehidupan wajar di Kuala Lumpur yang dikira berdasarkan andaian tertentu dan aras harga pada tahun 2016. Anggaran ini adalah antara RM2,700 dengan RM6,500 sebulan[6]. Bakul barangan dan perkhidmatan tersebut termasuk item yang mencerminkan pembelian biasa isi rumah di Kuala Lumpur, yang disahkan melalui perbincangan kumpulan fokus. Andaian yang dibuat adalah seperti berikut:

  • Makanan, perumahan, dan pengangkutan merupakan bahagian perbelanjaan terbesar dalam bakul barangan dan perkhidmatan bagi ketiga-tiga jenis isi rumah ini;

  • Disebabkan oleh gaya hidup yang sibuk di bandar raya, isi rumah diandaikan lebih kerap makan di luar rumah, di kedai yang bukan mewah. Kekerapan makan di luar rumah menurun apabila saiz keluarga bertambah besar memandangkan kosnya yang lebih tinggi;

  • Isi rumah dewasa bujang diandaikan lebih banyak menggunakan pengangkutan awam, manakala isi rumah pasangan diandaikan memiliki kereta keluaran tempatan mampu milik[7];

  • Peruntukan juga disediakan untuk keperluan rekreasi, seperti peralatan sukan dan menonton wayang, satu percutian dalam negeri yang tidak mahal setiap tahun, serta perjalanan dan keraian pada musim perayaan;

  • Anggaran juga merangkumi caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai pendapatan yang perlu dibayar, dan juga simpanan yang boleh digunakan untuk memenuhi perbelanjaan kecemasan, termasuk bil rawatan kesihatan yang tidak dijangka; dan

  • Jumlah minimum diperuntukkan bagi pendidikan dan penjagaan kesihatan kerana perkhidmatan ini disediakan hampir percuma oleh Kerajaan.

Terdapat beberapa kaveat penting dalam anggaran ini. Anggaran ini adalah anggaran awal dan tertakluk pada semakan semula apabila andaian asas dan anggaran kos diperbaharui. Bakul barangan dan perkhidmatan yang dibentuk dalam rencana ini adalah berasaskan maklum balas daripada perbincangan kumpulan fokus yang dijalankan di Kuala Lumpur pada tahun 2016 oleh Bank Negara Malaysia. Anggaran ini mungkin akan jauh berbeza bagi kawasan lain di Malaysia disebabkan variasi corak perbelanjaan dan harga, yang perlu disahkan melalui perbincangan kumpulan fokus tambahan dengan isi rumah yang menetap di kawasan berkenaan. Sebagai contoh, isi rumah bandar mempunyai akses yang lebih baik kepada pengangkutan awam untuk memenuhi keperluan minimum pengangkutan mereka, sementara isi rumah di luar bandar mungkin perlu memiliki kenderaan persendirian. Dari segi variasi kos mengikut lokasi, yang paling ketara ialah kos perumahan (sama ada kos rumah yang didiami oleh pemilik atau sewa) yang kemungkinan lebih murah di kawasan luar bandar dan kawasan kurang pembandaran. Anggaran gaji kehidupan wajar di Kuala Lumpur juga mungkin berubah dari masa ke masa disebabkan kadar inflasi dan perubahan gaya hidup, dan hanya akan kekal relevan jika bakul barangan dan perkhidmatan dikemas kini secara berkala.

Anggaran gaji kehidupan wajar di Kuala Lumpur untuk ketiga-tiga jenis isi rumah yang dipilih adalah di bawah pendapatan median di Kuala Lumpur sebanyak RM9,073[8]. Seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 4, sehingga 27% isi rumah di Kuala Lumpur berpendapatan di bawah gaji kehidupan wajar. Bahagian isi rumah yang berpendapatan di bawah gaji kehidupan wajar yang dianggarkan pada tahun 2016 adalah lebih besar dalam kalangan isi rumah dewasa bujang dan isi rumah pasangan dengan dua orang anak, berbanding isi rumah pasangan tanpa anak. Penemuan bagi isi rumah dewasa bujang adalah selaras dengan fakta bahawa graduan dengan ijazah pertama atau diploma memperoleh secara purata, gaji permulaan masing-masing sebanyak RM2,207 dan RM1,346 sebulan[9]. Dalam kalangan isi rumah berpendapatan di bawah gaji kehidupan wajar, hampir 70% terdiri daripada isi rumah yang hanya mempunyai seorang ahli keluarga yang bekerja. Mereka yang berpendapatan di bawah gaji kehidupan wajar kebanyakannya lulusan sekolah menengah dengan pekerjaan berkemahiran rendah hingga pertengahan, manakala mereka yang berpendapatan di atas gaji kehidupan wajar kebanyakannya graduan pengajian tinggi dengan pekerjaan berkemahiran tinggi (Rajah 5). Sesungguhnya, gaji bulanan median pada tahun 2016 untuk pengurus dan profesional di Malaysia – masing-masing RM5,500 dan RM4,450 – jauh melebihi anggaran gaji kehidupan wajar untuk isi rumah dewasa bujang (Rajah 6). Penemuan ini menekankan kepentingan mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia yang dilengkapi dengan kecekapan yang diperlukan untuk pekerjaan berpendapatan tinggi.

Pengalaman antarabangsa dalam melaksanakan gaji kehidupan wajar

Gerakan gaji kehidupan wajar kontemporari biasanya diterajui oleh organisasi kesatuan sivil, yang terdiri daripada kesatuan sekerja, kumpulan berasaskan masyarakat dan kepercayaan, akademik, dan majikan (Heery, Hann dan Nash, 2017). Mereka juga merupakan pihak yang lazimnya menganggar kadar gaji kehidupan wajar. Institusi-institusi formal juga boleh mengawasi anggaran ini, misalnya di Eropah, Suruhanjaya Eropah (European Commission, EC) membiayai projek untuk menghasilkan anggaran belanjawan rujukan yang diperlukan untuk mencapai taraf hidup yang boleh diterima[10].

Di Kanada, New Zealand, dan UK, organisasi kesatuan sivil memainkan peranan aktif dalam menyokong majikan di sektor awam dan majikan yang besar di sektor swasta untuk secara sukarela membayar gaji kehidupan wajar. Sebagai balasan, mereka menerima akreditasi dalam bentuk plak, tanda dagangan Living Wage, atau penyenaraian nama syarikat di laman sesawang Living Wage. Di AS, gaji kehidupan wajar dimulakan oleh sektor awam, dengan ordinan diluluskan di lebih 140 bandar dan daerah, dan disasarkan kepada pekerja perniagaan swasta yang mempunyai kontrak perkhidmatan dengan kerajaan tempatan. Oleh itu, gaji kehidupan wajar ini tidak meliputi pekerja berpendapatan rendah yang berada di luar bidang kuasa ordinan tersebut. Walau bagaimanapun, penguatkuasaan ordinan gaji kehidupan wajar di AS dikatakan lemah (Luce, 2004)[11]. Malah di beberapa bandar, ordinan ini akhirnya dimansuhkan (Holzer, 2008)[12]. Beberapa kerajaan tempatan di Korea Selatan juga telah mewujudkan ordinan gaji kehidupan wajar untuk pekerjanya dan pekerja organisasi yang dibiayai oleh kerajaan tempatan, sama seperti di AS. Walaupun terdapat usaha untuk menganggarkan gaji kehidupan wajar terutama di bandar raya, desakan untuk gaji kehidupan wajar bagi pekerja sektor swasta di Asia tidak begitu meluas seperti di Kanada, New Zealand, dan UK[13].

Kesan makroekonomi dan pengagihan daripada pelaksanaan gaji kehidupan wajar

Berbeza dengan gaji minimum, pelaksanaan gaji kehidupan wajar tidak begitu meluas dan sebahagian besarnya terbatas kepada beberapa negara maju. Kajian empirikal berdasarkan bandar-bandar di AS[14] mendapati bahawa pembayaran gaji kehidupan wajar memberikan manfaat kepada pekerja dan majikan[15]. Kesan kepada guna tenaga juga nampaknya lebih sederhana daripada ramalan teori lantai gaji pengikat (binding wage floor)[16].

Walau bagaimanapun, kesimpulan daripada kajian-kajian ini tidak boleh diterima pakai secara bulat-bulat. Kesan makroekonomi mungkin berbeza mengikut negara disebabkan oleh perbezaan dari segi ciri pasaran pekerja dan persekitaran ekonomi semasa. Sebagai contoh, pembayaran gaji kehidupan wajar adalah lebih mudah semasa ekonomi sedang berkembang, apabila kurang desakan untuk majikan mengurangkan kos tenaga kerja.

Selain itu, gaji kehidupan wajar hanya akan berkesan sekiranya gaji tersebut ditetapkan pada aras yang realistik dan mampan. Justeru itu, pengiraan anggaran gaji kehidupan wajar secara teliti sangat penting supaya dapat mengimbangi antara memastikan pekerja mampu mencapai taraf hidup minimum, dan majikan berupaya untuk membayar gaji yang sepadan dengan produktiviti pekerja. Menetapkan kadar gaji kehidupan wajar yang terlalu tinggi boleh mengakibatkan majikan menyalurkan kos gaji tambahan kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Tekanan gaji ke atas majikan juga boleh meningkat sekiranya pekerja yang bergaji tinggi menuntut untuk mengekalkan perbezaan yang sama antara gaji mereka dengan pekerja berpendapatan rendah seperti sebelum gaji kehidupan wajar dilaksanakan. Manfaat gaji kehidupan wajar mungkin menurun jika tekanan gaji membawa kepada peningkatan inflasi dan kos sara hidup yang lebih cepat.

Tambahan pula, gaji kehidupan wajar secara tidak langsung boleh memudaratkan golongan yang disasarkan dalam jangka masa terdekat[17]. Sebagai contoh, majikan boleh bertindak balas terhadap gaji kehidupan wajar dengan mengguna khidmat pekerja yang lebih mahir dengan memberhentikan pekerja berkemahiran rendah, yang mungkin merupakan kumpulan pekerja yang berpendapatan di bawah gaji kehidupan wajar, sebelum mereka dapat menaikkan kemahiran diri (Hirsch dan Valadez, 2017). Walau bagaimanapun, persekitaran pertumbuhan yang kukuh dapat menampung permintaan tenaga kerja dan mengurangkan kemungkinan majikan memberhentikan pekerja yang berkemahiran rendah.

Perlunya penambahbaikan produktiviti yang sepadan

Kemungkinan terhasilnya kesan buruk daripada pelaksanaan gaji kehidupan wajar memberi penekanan bahawa peningkatan yang sepadan dalam produktiviti dan pergerakan ke arah tenaga kerja berkemahiran tinggi adalah penting. Penambahbaikan produktiviti dan output bernilai tambah yang lebih tinggi menjadikan majikan lebih mampu untuk membayar gaji kehidupan wajar, dan seterusnya membolehkan mereka terus membayar gaji kehidupan wajar untuk jangka panjang. Ekonomi yang mempunyai produktiviti tinggi dan bernilai tambah tinggi akan menggalakkan persekitaran kondusif yang dapat mengurangkan risiko pemberhentian dan penggantian tenaga kerja.

Ekonomi Malaysia sedang menghadapi cabaran pertumbuhan produktiviti yang sederhana berbanding dengan negara saingannya. Berdasarkan data daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa, antara tahun 2011 dengan 2017, pertumbuhan KDNK Malaysia bagi setiap orang bekerja – ukuran untuk produktiviti tenaga kerja – hanyalah 1.7%, kurang separuh daripada pertumbuhan produktiviti tenaga kerja purata dalam ekonomi berpendapatan pertengahan-tinggi (3.8%)[18]. Pertumbuhan produktiviti lemah yang berterusan boleh menurunkan pertumbuhan gaji, yang akhirnya boleh membantut kemampuan isi rumah untuk mencapai sekurang-kurangnya taraf hidup minimum yang boleh diterima.

Langkah ke arah pertumbuhan gaji yang didorong oleh produktiviti bergantung pada sokongan yang meluas daripada semua pihak. Kerajaan boleh memupuk persekitaran yang kondusif kepada majikan untuk meningkatkan produktiviti dengan memastikan adanya sokongan institusi yang baik, kawal selia yang minimum terhadap aktiviti pelaburan produktif, dan latihan dan pendidikan peringkat tinggi yang mampu dibayar. Majikan boleh melatih pekerja sedia ada dan memberikan insentif kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran mereka. Semangat yang lebih tinggi dan kadar pusing ganti pekerja yang lebih rendah yang dijana oleh gaji kehidupan wajar boleh mencetuskan kitaran bermanfaat, iaitu gaji yang lebih tinggi akan mendorong produktiviti yang lebih tinggi, begitu juga sebaliknya, produktiviti yang tinggi boleh menghasilkan kenaikan gaji. Pekerja juga harus sedar akan kepentingan kemajuan diri untuk mencapai aras gaji yang lebih tinggi yang dapat mengekalkan taraf hidup minimum yang boleh diterima, dan seterusnya mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran diri.

Kesimpulan

Memandangkan Malaysia sedang mengorak langkah ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang progresif, semua segmen masyarakat harus meraih manfaat dan tidak ketinggalan dalam proses tersebut. Dengan itu, penting bagi Malaysia untuk mengatasi cabaran pertumbuhan produktiviti yang sederhana, dan berusaha ke arah mewujudkan pekerjaan yang berproduktiviti tinggi serta bergaji tinggi yang mampu mencapai taraf hidup minimum yang boleh diterima. Gaji kehidupan wajar boleh menjadi instrumen yang berpotensi untuk memberi maklumat, mencabar serta menambah baik dasar ke arah itu.

Sekiranya gaji kehidupan wajar berjaya dilaksanakan, manfaatnya dapat dinikmati oleh pekerja dan majikan, dengan kesan buruk yang terhad terhadap ekonomi. Ini bergantung pada beberapa prasyarat. Anggaran gaji kehidupan wajar mestilah sesuai dan cukup munasabah untuk mendorong majikan supaya membayar gaji yang berpatutan kepada pekerja. Gaji kehidupan wajar juga perlu diiringi dengan produktiviti yang lebih tinggi, dan ini memerlukan usaha bersama daripada majikan, pekerja, kesatuan sivil, dan sektor awam.

Rujukan

Bradshaw, Jonathan, Sue Middleton, Abigail Davis, Nina Oldfield, Noel Smith, Linda Cusworth, and Julie Williams, “A Minimum Income Standard for Britain: What People Think,” 2008.

Brenner, Mark and Stephanie Luce, “Living Wage Laws in Practice,” Political Economy Research Institute, 2005.

Davis, Abigail, Katherine Hill, Donald Hirsch, and Matt Padley, A Minimum Income Standard for the UK in 2016, Joseph Rowntree Foundation, 2016.

Department of Statistics, Malaysia, Report of Household Expenditure Survey 2014, 2015.

———, Report of Household Expenditure Survey 2016, 2017.

———, Report of Household Income and Basic Amenities Survey 2016, 2017.

Fairris, David, “The Impact of Living Wages on Employers: A Control Group Analysis of the Los Angeles Ordinance,” Industrial Relations: A Journal of Economy and Society, 2005, 44.

Glasmeier, Amy K. and Carey A. Nadeau, “Results from the 2016 Data Update,” Retrieved from http://livingwage.mit.edu, 2017.

Heery, Edmund, Deborah Hann, and David Nash, “The Living Wage campaign in the UK,” Employee Relations, 2017, 39 (6), 800–814.

Hirsch, Donald and Laura Valadez, The Living Wage, Agenda Publishing, 2017.

Holzer, Harry J., “Living Wage Laws: How Much Do (Can) They Matter?,” IZA Discussion Papers 3781, Institute for the Study of Labour (IZA), 2008.

IHS Markit, “Living Wage Research for KPMG - 2017 Report,” Technical Report, KPMG, 2017.

International Labour Organization, “General Survey on Minimum Wage Systems,” International Labour Conference 103rd Session, 2014.

Lemos, Sara, “A Survey of the Effects of the Minimum Wage on Prices,” Journal of Economic Surveys, 2008, 22 (1), 187–212.

Lester, T. William, “The Impact of Living Wage Laws on Urban Economic Development Patterns and the Local Business Climate: Evidence From California Cities,” Economic Development Quarterly, 2011, 25 (3), 237–254.

Living Wage Aotearoa New Zealand, http://www.livingwage.org.nz/. Accessed: 2 January, 2018.

Living Wage Canada, http://www.livingwagecanada.ca/. Accessed: 2 January, 2018.

Living Wage Foundation United Kingdom, http://www.livingwage.org.uk/. Accessed: 2 January, 2018.

London Economics, “An Independent Study of the Business Benefits of Implementing a Living Wage Policy in London,” Final Report for GLA Economics, 2009.

Luce, S., Fighting for a Living Wage, Cornell University Press, 2004.

Neumark, David and Scott Adams, “Do Living Wage Ordinances Reduce Urban Poverty?,” Journal of Human Resources, 2003, 38 (3).

Reich, Michael, Peter Hall, and Ken Jacobs, “Living Wage Policies at the San Francisco Airport: Impacts on Workers and Businesses,” Industrial Relations: A Journal of Economy and Society, 2005, 44 (1), 106–138.

Sokol, Martin, Jane Wills, Jeremy Anderson, Marg Buckley, Yara Evans, Claire Frew, and Paula Hamilton, “The Impact of Improved Pay and Conditions on Low-Paid Urban Workers,” The Case of the Royal London Hospital, Queen Mary College, London, 2006.

Wadsworth, Jonathan, “Did the National Minimum Wage Affect UK Prices?,” Fiscal Studies, 2010, 31 (1), 81–120.

Nota

[1] Bank Dunia menghitung garis kemiskinan global berdasarkan kos makanan, pakaian, dan tempat tinggal yang asas.

[2] Isi rumah dalam kumpulan pendapatan 40% pertengahan dan 20% teratas masing-masing mengalami peningkatan purata dalam pendapatan bulanan sebanyak RM420 setahun dan RM892 setahun. Sumber: Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016, Jabatan Perangkaan Malaysia.

[3] Sebagai contoh, peningkatan dalam pendapatan mungkin tidak dapat menampung peningkatan dalam perbelanjaan berikutan pengembangan saiz keluarga.

[4] Beberapa kajian di AS menunjukkan kadar pusing ganti pekerja syarikat jatuh dengan ketara berikutan pelaksanaan gaji kehidupan wajar yang menghasilkan peningkatan produktiviti (Brenner dan Luce, 2005; Reich, Hall dan Jacobs, 2005; Fairris, 2005). Satu kajian di AS juga mendapati bahawa bayaran gaji kehidupan wajar meningkatkan semangat pekerja dan merangsang produktiviti (Brenner dan Luce, 2005).

[5] Kerajaan UK memperkenalkan Gaji Kehidupan Wajar Kebangsaan (National Living Wage) yang wajib, iaitu kadar gaji minimum yang lebih tinggi untuk pekerja berusia 25 tahun ke atas. Kadar Gaji Kehidupan Wajar Kebangsaan adalah lebih rendah daripada anggaran Kadar Gaji Kehidupan Wajar Sebenar yang dihitung oleh Living Wage Foundation UK.

[6] Isi rumah yang mempunyai lebih daripada dua orang diandaikan berkongsi beberapa perbelanjaan, seperti utiliti. Oleh yang demikian, anggaran gaji kehidupan wajar untuk isi rumah yang lebih besar bukanlah hasil pendaraban anggaran bagi isi rumah dewasa bujang.

[7] Kereta keluaran tempatan mampu milik biasanya kecil dan direka untuk mempunyai kos operasi yang rendah. Contoh termasuk Perodua Axia.

[8] Sumber: Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016, Jabatan Perangkaan Malaysia.

[9] Sumber: Kementerian Pendidikan Tinggi dan anggaran Bank Negara Malaysia.

[10] Maklumat lanjut boleh didapati di Rangkaian Belanjawan Rujukan Eropah (European Reference Budgets Network) (http://www.referencebudgets.eu/).

[11] Undang-undang negeri dan persekutuan tidak memerlukan majikan memberi butiran terperinci tentang masa bekerja dan gaji kepada kerajaan.

[12] Sebagai contoh, ordinan gaji kehidupan wajar di Omaha, Nebraska telah dibatalkan pada bulan Ogos 2001 selepas pemilihan majoriti ahli majlis baharu yang komited untuk memansuhkan undang-undang ini (Luce, 2004).

[13] Berikutan peningkatan perdagangan antarabangsa, inisiatif beretika di negara pengimport telah menggalakkan bayaran gaji kehidupan wajar bagi pekerja pakaian di negara pengeksport di Asia (Hirsch dan Valadez, 2017).

[14] Undang-undang gaji kehidupan wajar yang tidak berjaya di beberapa bandar di AS juga memberikan kumpulan kawalan atau fakta bertentangan untuk anggaran kesan undang-undang gaji kehidupan wajar.

[15] Lihat Brenner dan Luce (2005), Reich et al. (2003), dan Sokol et al. (2006).

[16] Lihat Brenner dan Luce (2005), Lester (2011) dan London Economics (2009). Teori meramalkan bahawa lantai gaji yang melebihi aras gaji pasaran akan menyebabkan pemberhentian pekerja. Walau bagaimanapun, ramalan ini mengandaikan bahawa semua pekerja adalah sama dan mempunyai produktiviti yang tetap, dan majikan hanya boleh bergerak balas dengan mengurangkan bilangan pekerja. Di samping itu, ramalan itu juga bergantung pada andaian bahawa aras gaji sedia ada berada pada keseimbangan. Akan tetapi, jika aras gaji semasa berada di bawah tahap keseimbangan disebabkan ketidaksempurnaan pasaran pekerja misalnya, mewajibkan aras gaji yang lebih tinggi boleh meningkatkan guna tenaga.

[17] Lihat sebagai contoh, Neumark dan Adams (2003).

[18] Untuk perbandingan antarabangsa, komponen KDNK bagi ukuran ini ialah KDNK yang ditukar kepada dolar antarabangsa malar 2011 menggunakan kadar pariti kuasa beli. Anggaran pertumbuhan produktiviti tenaga kerja purata pada tahun 2011 - 2017 hampir dengan purata yang berasaskan data produktiviti tenaga kerja yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (2.3%).


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?