Membendung Inflasi, Mengurangkan Kos: Perspektif Dasar
Pertama Kali Diterbitkan dalam Laporan Tahunan 2024
Walaupun inflasi dan kos sara hidup sering digunakan secara bertukar ganti kerana kedua-duanya memberikan kesan kepada kesejahteraan ekonomi individu, maknanya berbeza

Inflasi dan kos sara hidup merupakan dua konsep ekonomi penting yang memberikan kesan terhadap kehidupan seharian individu dan ekonomi secara keseluruhan. Paras harga merujuk kos keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang dibeli pada masa tertentu. Inflasi[1] pula merujuk kadar perubahan paras harga bagi kumpulan barangan penggunaan tetap yang mewakili purata corak pembelian dalam kalangan isi rumah di Malaysia. Walaupun inflasi tidak semestinya mencerminkan kenaikan harga dari sehari ke sehari, penunjuk ini berguna untuk memahami perubahan harga keseluruhan barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi yang lebih luas. Sebaliknya, kos sara hidup (cost of living, COL)[2] merujuk jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk mengekalkan taraf hidup pada tahap tertentu. Taraf hidup ini berbeza mengikut isi rumah dan bergantung pada tahap pendapatan, cara berbelanja, lokasi dan faktor-faktor lain.
Pendorong Kenaikan Kos Sara Hidup di Malaysia
Kos sara hidup boleh dipengaruhi oleh kenaikan umum pada paras harga, seperti yang diukur oleh inflasi. Pada beberapa tahun kebelakangan ini, kebimbangan berhubung dengan kenaikan kos sara hidup kembali muncul, didorong oleh persekitaran inflasi yang tinggi susulan pembukaan semula ekonomi selepas pandemik. Walaupun inflasi telah semakin sederhana sejak tahun 2023, paras harga barangan dan perkhidmatan kekal tinggi.[3] Hal ini terus menjadi topik wacana awam yang sering mengetengahkan kebimbangan mengenai kemampuan dan perbelanjaan isi rumah.

Selain peningkatan perbelanjaan yang disebabkan oleh harga barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi, kos sara hidup juga merangkumi perspektif pendapatan. Isi rumah akan merasakan tekanan daripada kenaikan kos sara hidup jika pendapatan mereka tidak meningkat pada kadar yang sama dengan harga. Apabila perkara ini berlaku, kuasa beli mereka terhakis dan taraf hidup mereka merosot. Sejak pandemik, pertumbuhan upah tidak seiring dengan kenaikan harga keseluruhan (Rajah 1). Isi rumah berpendapatan rendah lebih mudah terjejas memandangkan mereka lazimnya mempunyai penampan kewangan yang minimum. Selain itu, mereka cenderung membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan mereka untuk makanan.[4] Kenaikan inflasi harga makanan amat membimbangkan kerana keadaan ini menghakis lagi kuasa beli mereka yang sedia rendah. Bagi mengekalkan atau meningkatkan taraf hidup, pertumbuhan pendapatan perlu sepadan atau melebihi inflasi bagi memelihara kuasa beli isi rumah.
Tahukah Anda?
Kadar inflasi purata jangka panjang di Malaysia secara amnya rendah dan stabil, lazimnya sekitar 2% setahun sejak beberapa dekad yang lalu.
Dasar monetari merupakan salah satu alat dasar utama untuk menguruskan inflasi dan membendung kenaikan kos sara hidup
Satu aspek dalam menangani kenaikan kos sara hidup adalah untuk memastikan inflasi kekal rendah dan stabil. Dasar monetari merupakan salah satu alat utama untuk menguruskan inflasi menerusi kesannya terhadap keadaan permintaan keseluruhan. Pada masa yang sama, walaupun menguruskan inflasi merupakan syarat penting untuk membendung kenaikan kos sara hidup, pengurusan inflasi semata-mata tidak mencukupi untuk menangani isu ini sepenuhnya.
Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan dasar monetari dengan menentukan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR). Kadar ini seterusnya mempengaruhi cara bank-bank menetapkan kadar faedah untuk pinjaman, pembiayaan dan deposit. Pada tempoh permintaan kukuh dan inflasi tinggi, BNM menaikkan OPR yang seterusnya menjadikan lebih mahal bagi bank untuk meminjam wang semalaman daripada bank pusat dan antara satu sama lain. Bank-bank kemudiannya akan menaikkan kadar pinjaman untuk perniagaan dan pengguna. Bank juga akan menaikkan kadar deposit untuk mengumpulkan dana. Kesannya, pinjaman menjadi lebih mahal, manakala perniagaan dan isi rumah akan lebih tertarik untuk menambahkan simpanan berikutan pulangan yang lebih tinggi. Kedua-dua faktor ini akan mengurangkan perbelanjaan dan pelaburan secara umum, yang akhirnya mengurangkan permintaan dalam ekonomi. Kegiatan ekonomi akan menjadi perlahan dan mengurangkan tekanan ke atas harga, sekali gus membantu membendung inflasi.[5]
Memandangkan inflasi juga didorong oleh faktor selain permintaan, kebergantungan pada dasar monetari semata-mata tidak mencukupi untuk menangani kenaikan harga. Secara khusus, dasar monetari tidak dapat menangani cabaran yang timbul daripada kejutan penawaran atau perubahan pengawalseliaan yang sering menyebabkan kos pengeluaran yang lebih tinggi dan akhirnya, harga yang lebih tinggi kepada pengguna. Di samping itu, kesan dasar monetari tidak dapat dilihat dengan serta-merta. Mengikut anggaran BNM, kenaikan kadar faedah mungkin mengambil masa hingga dua tahun untuk memberikan kesan sepenuhnya terhadap inflasi. Hasilnya bergantung pada beberapa faktor, termasuk kadar kepantasan bank melaraskan kadar deposit dan pinjaman,[6] sejauh mana pengguna dan perniagaan mengubah perbelanjaan dan sama ada permintaan cukup lemah untuk memperlahankan kenaikan harga. Kelewatan ini bermakna harga mungkin terus naik buat seketika sebelum menjadi stabil dan keadaan ini menimbulkan kesukaran untuk mengehadkan kenaikan kos sara hidup isi rumah. Oleh itu, usaha menangani inflasi memerlukan alat dasar pelengkap yang lain untuk mempengaruhi harga yang ditanggung oleh isi rumah, terutama mereka yang terjejas oleh faktor penawaran.
Apakah penyebab inflasi?
Kejutan permintaan berlaku apabila terdapat peningkatan permintaan yang mendadak untuk barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi.[7] Apabila penawaran dalam ekonomi tidak dapat memenuhi permintaan yang kukuh ini, akan berlaku keadaan yang dikenali sebagai “terlalu banyak wang mengejar terlalu sedikit barangan” (too much money chasing too few goods), seperti yang diungkapkan oleh ahli ekonomi Milton Friedman.[8] Permintaan berlebihan mendorong perniagaan untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan, lantas menyebabkan inflasi. Keadaan ini berlaku selepas pandemik apabila gabungan faktor sokongan dasar Kerajaan[9] yang berterusan dan realisasi permintaan terpendam menyebabkan perbelanjaan isi rumah menjadi lebih tinggi. Kesannya, permintaan meningkat dan seterusnya menyumbang kepada kenaikan inflasi.[10]
Sebaliknya, kejutan penawaran berlaku apabila penawaran barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi berkurang secara mendadak. Keadaan ini boleh disebabkan oleh faktor seperti keadaan cuaca buruk, gangguan bekalan bahan input dan penutupan kilang. Akibatnya, kapasiti pengeluaran terjejas dan kos mungkin meningkat. Sebagai contoh, sekatan eksport di negara pengeksport komoditi utama yang berpunca daripada konfiik ketenteraan Rusia-Ukraine merupakan faktor utama yang mendorong lonjakan harga tenaga dan komoditi makanan global pada tahun 2022.
Perubahan pengawalseliaan seperti cukai, tarif atau keperluan baharu untuk mematuhi dasar alam sekitar yang lebih ketat boleh meningkatkan kos pengeluaran. Lazimnya, perniagaan memindahkan kenaikan kos kepada pengguna dengan mengenakan harga yang lebih tinggi. Sebagai contoh, kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (sales and service tax, SST) pada awal tahun 2024 memberikan tekanan menaik pada harga kebanyakan perkhidmatan bercukai, seperti cukai ke atas bil elektrik isi rumah dengan penggunaan bulanan melebihi 600kWj.[11]
Dasar fiskal boleh melengkapkan dasar monetari untuk menguruskan inflasi dan kos sara hidup
Selain melaksanakan dasar monetari menerusi bank pusat, Kerajaan boleh menggunakan dasar fiskal untuk menguruskan inflasi serta isu kos sara hidup. Dasar fiskal menggunakan perbelanjaan kerajaan dan dasar cukai untuk mempengaruhi keadaan ekonomi seperti permintaan, pertumbuhan dan inflasi. Sama seperti dasar monetari, dasar fiskal bertindak sebagai penstabil kitaran berbalas bagi ekonomi dengan mengimbangi pasang surut kegiatan ekonomi. Apabila permintaan tinggi, Kerajaan boleh mengurangkan perbelanjaannya untuk menurunkan permintaan dan membantu mengurangkan tekanan kenaikan harga. Kerajaan juga boleh menaikkan cukai untuk mengurangkan pendapatan boleh guna, lantas menyebabkan perbelanjaan berkurang dan membantu menstabilkan tekanan harga,[12] sejauh mana pengguna dan perniagaan mengubah perbelanjaan mereka
Tidak seperti dasar monetari yang merupakan alat dasar yang memberikan kesan meluas (blunt tool), dasar fiskal lebih bersasar untuk membantu mengurangkan kos sara hidup bagi kumpulan tertentu. Sebagai contoh, Kerajaan boleh membantu menangani perbelanjaan isi rumah yang semakin meningkat dengan menyediakan subsidi bersasar atau pelepasan cukai untuk isi rumah. Selain itu, apabila berlaku gangguan bekalan akibat peristiwa seperti cuaca buruk yang menyebabkan kenaikan harga secara umum, Kerajaan boleh memberikan bantuan wang tunai kepada isi rumah yang terjejas untuk menambah pendapatan mereka. Sebagai alternatif, bantuan kewangan atau subsidi boleh diberikan kepada perniagaan untuk membantu mereka mengendalikan kos pengeluaran yang lebih tinggi berikutan kejutan penawaran. Hal ini boleh mengurangkan tahap pindahan kos dan seterusnya kenaikan harga kepada pengguna. Walau bagaimanapun, keadaan ini bakal meningkatkan beban fiskal dan mengehadkan pelaburan dalam bidang penting lain seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur. Oleh itu, langkah-langkah ini hendaklah dilaksanakan secara berpada-pada dan sebagai penyelesaian sementara kerana pendekatan ini hanya menangani kesan-kesan dan bukannya punca kebimbangan berhubung dengan kos sara hidup.
Dasar fiskal juga berperanan untuk meningkatkan kapasiti produktif ekonomi. Sebagai contoh, Kerajaan boleh menggalakkan pengeluaran dengan melabur dalam infrastruktur, menawarkan dasar cukai yang menggalakkan untuk sektor tertentu seperti industri pertumbuhan tinggi-bernilai tinggi (high-growth-high-value, HGHV) dan menggalakkan inisiatif penyelidikan dan pembangunan (research and development, R&D). Langkah-langkah ini menjadikan ekonomi lebih berdaya saing dan cekap, lantas membolehkan perniagaan meningkatkan pengeluaran pada kos yang lebih rendah. Akhirnya, perkara ini boleh menyebabkan kadar inflasi yang lebih sederhana.
Kawalan Harga
Terdapat juga langkah-langkah dasar yang bersifat sementara untuk mengawal inflasi dengan menyasarkan sektor atau barangan tertentu dalam kumpulan penggunaan. Kawalan harga, seperti harga siling bagi barangan keperluan, boleh membantu meringankan beban kos sara hidup yang tinggi dengan menjadikan barangan lebih mampu milik untuk isi rumah berpendapatan rendah. Walaupun langkah ini boleh membantu secara langsung untuk jangka pendek, kawalan harga tidak boleh digunakan terlalu lama kerana kaedah ini mengganggu penentuan harga oleh kuasa pasaran. Penetapan harga di bawah paras pasaran sebenar untuk tempoh yang panjang boleh menggalakkan penggunaan yang berlebihan dan tingkah laku pembaziran. Hal ini seterusnya boleh mengakibatkan kekangan penawaran.[13] Membiarkan harga ditentukan oleh permintaan dan penawaran akan menghasilkan harga saksama seiring dengan nilai barangan dan perkhidmatan. Keadaan ini mencerminkan harga yang sanggup dibayar oleh pembeli berbanding dengan harga yang ingin dikenakan oleh penjual. Seterusnya, harga boleh berfungsi sebagai isyarat untuk mendorong pengagihan sumber yang cekap.
Pembaharuan struktur menangani punca tekanan harga yang menjejaskan kos sara hidup
Tekanan harga juga boleh disebabkan oleh struktur pasaran yang meningkatkan kos dan menjadikan ekonomi lebih mudah terjejas akibat kejutan. Sebagai contoh, pasaran yang tidak cekap boleh menyebabkan amalan monopoli dan mengurangkan persaingan. Keadaan ini membolehkan syarikat besar menaikkan harga barangan dan perkhidmatan tanpa meningkatkan kualiti. Dalam hal ini, pembaharuan struktur boleh dilaksanakan untuk melonjakkan produktiviti, meningkatkan persaingan dan mengukuhkan daya tahan ekonomi. Pembaharuan ini melibatkan pelarasan jangka panjang terhadap dasar, institusi dan rangka kerja ekonomi. Matlamat akhirnya adalah untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang teguh serta menggalakkan persaingan, kecekapan dan pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, pembaharuan ini bertujuan memastikan inflasi kekal rendah dan stabil. Dengan menangani kedua-dua faktor kos dan pendapatan, pembaharuan ini akan membantu isi rumah menangani cabaran kos sara hidup pada masa hadapan dengan lebih baik.
Pembaharuan struktur boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk. Satu pendekatan adalah dengan mengurangkan beban pengawalseliaan yang boleh melibatkan pembaharuan sistem cukai dan subsidi, menambah baik perkhidmatan awam dan memudahkan amalan pematuhan. Langkah-langkah tersebut akan memudahkan operasi perniagaan dan mempercepat proses, yang seterusnya meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos untuk menjalankan perniagaan.
Usaha menggalakkan penggunaan teknologi dan R&D juga penting dalam pembaharuan struktur. Dengan menawarkan insentif seperti pelepasan cukai dan pemberian geran, perniagaan boleh melabur dalam teknologi canggih dan kaedah inovatif. Tumpuan yang diberikan kepada teknologi dan R&D membolehkan ekonomi menggunakan sumber yang sedia ada dengan lebih cekap dan menarik pelaburan bernilai tinggi yang meningkatkan produktiviti. Apabila lebih banyak barangan dihasilkan dengan sumber yang sama ataupun kurang, produktiviti yang lebih tinggi ini membolehkan perniagaan menaikkan upah pekerja dan pada masa yang sama mengekalkan harga yang kompetitif.
Selain itu, usaha meningkatkan persaingan juga amat penting bagi kecekapan ekonomi. Dengan mengurangkan halangan perdagangan seperti tarif dan kuota, halangan kemasukan bagi perniagaan akan turut berkurang. Langkah menggalakkan persaingan yang sihat dan mencegah amalan antipersaingan membantu mengekalkan harga yang kompetitif dan memacu inovasi. Bagi pengguna, hal ini bermaksud barangan dan perkhidmatan boleh diperoleh pada harga yang lebih mampu milik dan lebih berkualiti.
Dasar juga harus ditumpukan pada peningkatan pendapatan yang bermakna, lantas membolehkan isi rumah mampu membeli barangan dan perkhidmatan dalam keadaan kenaikan harga
Satu lagi aspek dalam menangani tekanan kos sara hidup adalah dengan menambah pendapatan. Pelaksanaan dasar perindustrian yang strategik dan dipacu inovasi serta pembaharuan pasaran pekerja boleh meningkatkan pendapatan isi rumah menerusi peningkatan produktiviti, pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dan pampasan yang adil. Terdapat beberapa strategi untuk mencapai matlamat ini.[14] Sebagai contoh, inisiatif telah ditumpukan ke arah menggalakkan pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi.[15] Dari segi penawaran pekerja, program pendidikan dan latihan juga boleh dimantapkan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja supaya mereka boleh mengambil peranan yang lebih kompleks dan kerja bernilai tinggi yang membayar gaji yang lebih tinggi. Untuk jangka panjang, pembaharuan pada sistem pendidikan yang menggalakkan lebih banyak pelajar menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (science, technology, engineering, and mathematics, STEM) juga akan membantu memenuhi permintaan pekerja dalam ekonomi bernilai tambah yang tinggi.
Seterusnya, pembaharuan boleh ditumpukan pada usaha meningkatkan fleksibiliti pasaran pekerja dengan melonggarkan undang-undang pekerja yang terbatas dan menggalakkan mobiliti tenaga kerja. Sebagai contoh, meningkatkan keseragaman kemahiran akan membolehkan pergerakan pekerja antara pekerjaan dan industri yang berbeza. Dengan memanfaatkan teknologi, pengaturan kerja juga boleh dijadikan fleksibel untuk menampung keperluan tenaga kerja yang pelbagai dan meningkatkan penyertaan pekerja, terutamanya bagi wanita..[16]
Selanjutnya, usaha mengukuhkan institusi pasaran kerja dan melaksanakan dasar yang menggalakkan pampasan yang adil selaras dengan produktiviti pekerja juga sangat penting. Langkah ini termasuk menambah baik dasar upah yang sedia ada seperti undang-undang gaji minimum dan Sistem Upah Yang Dikaitkan Dengan Produktiviti (ProductivityLinked Wage System). Selain itu, amalan penetapan upah yang lebih telus dan adil boleh digalakkan menerusi perundingan dan rundingan upah secara kolektif bagi meningkatkan keupayaan pendapatan pekerja.
Akhirnya, sistem perlindungan sosial[17] merupakan asas bagi menyediakan jaringan keselamatan untuk kumpulan mudah terjejas yang terkesan akibat kejutan ekonomi. Bantuan kewangan sementara boleh diberikan melalui pindahan tunai secara langsung untuk mengurangkan tekanan kewangan. Program insurans sosial juga amat penting untuk memastikan sokongan pendapatan yang berterusan apabila kos sara hidup meningkat. Memandangkan populasi mudah terjejas cenderung bekerja dalam sektor tidak formal,[18] mereka boleh dilindungi menerusi penyediaan hak undang-undang, manfaat keselamatan sosial dan keselamatan tempat kerja.
Untuk sistem perlindungan sosial membantu orang ramai mengharungi cabaran kos sara hidup dengan berkesan, sistem ini perlu inklusif dan mudah diakses. Data yang tepat mengenai isi rumah diperlukan untuk menyasarkan dan mengagihkan manfaat dengan berkesan. Tambahan lagi, orang ramai harus mempunyai akses kepada pelbagai perkhidmatan untuk risiko kitaran hayat yang berbeza, termasuk sokongan pendapatan serta manfaat kesihatan, pendidikan, perumahan dan pengangguran. Bagi mengelakkan pergantungan yang berlebihan pada manfaat ini, penting untuk memantau penambahbaikan dalam keadaan kewangan penerima manfaat supaya bantuan boleh diberikan pula secara beransur-ansur kepada orang lain yang lebih memerlukannya.
Isi rumah juga boleh menambah baik keadaan kewangan mereka dengan mempelajari cara pengurusan wang yang lebih berkesan dan membuat pilihan perbelanjaan yang lebih baik. Platform seperti Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN)[19] memacu usaha untuk menggalakkan literasi kewangan yang boleh membantu orang ramai menguruskan perbelanjaan dan hutang mereka.[20] Selain itu, jika isi rumah memerlukan bantuan pengurusan kewangan, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK menawarkan perkhidmatan seperti pendidikan kewangan, kaunseling dan khidmat nasihat mengenai pengurusan kewangan serta program pengurusan hutang untuk membantu mereka ke arah kebebasan kewangan.
Kesimpulan
Kos sara hidup merupakan aspek asas dalam kehidupan seharian orang ramai dan penentu penting bagi kesejahteraan secara keseluruhan. Oleh itu, kos sara hidup kekal sebagai kepentingan dasar utama bagi mana-mana kerajaan dalam membentuk keputusan yang disasarkan untuk meningkatkan taraf hidup. Langkah yang lebih langsung, seperti kawalan harga dan subsidi, boleh memberikan kesan yang ketara pada usaha melegakan beban kos dan memastikan harga barangan keperluan kekal stabil. Walau bagaimanapun, langkah-langkah ini perlu digunakan secara berhati-hati kerana melibatkan kos fiskal yang tinggi dan tidak mampan. Selain itu, pendekatan ini boleh menyebabkan gangguan yang menghalang pelarasan harga secara semula jadi dan seterusnya boleh memberikan kesan negatif kepada ekonomi pada jangka panjang. Sehubungan dengan itu, dasar makroekonomi secara kitaran berbalas seperti dasar monetari dan fiskal yang disertai pembaharuan struktur perlu dilaksanakan bersama-sama untuk mengekalkan inflasi pada tahap yang rendah dan stabil. Mencapai kestabilan harga juga merupakan prasyarat untuk mewujudkan keadaan sesuai yang diperlukan untuk pembaharuan struktur berkembang selanjutnya, dan yang paling penting, meningkatkan pendapatan isi rumah. Langkah-langkah ini akan mengambil masa sebelum menghasilkan pengurangan kos sara hidup yang lebih berpanjangan dan berkesan.
Akhirnya, menangani isu-isu ini memerlukan perancangan strategik dengan keseimbangan yang teliti antara matlamat jangka pendek dengan jangka panjang. Hal ini melibatkan dialog yang berterusan dengan pihak berkepentingan utama dan komunikasi yang jelas untuk membina pemahaman dan sokongan orang ramai terhadap manfaat daripada pembaharuan ini. Dengan menyelaraskan dasar monetari dan fiskal dengan pembaharuan struktur, pembuat dasar boleh mewujudkan rangka kerja yang kohesif yang mengekalkan inflasi pada tahap rendah dan stabil serta memastikan kos sara hidup kekal terkawal..
Nota
[1] Inflasi diukur menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (Department of Statistics, Malaysia, DOSM) setiap bulan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana “Inflasi, Kos Sara Hidup dan Gaji Kehidupan Wajar” dalam Laporan Tahunan BNM 2018.
[2] Kos sara hidup boleh diukur menggunakan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang diterbitkan buat kali pertama oleh DOSM pada bulan Disember 2024
[3] Selepas pandemik, kadar inflasi di Malaysia menurun dengan ketara kepada 1.7% pada bulan Januari 2025 daripada paras tertinggi 4.7% pada bulan Ogos 2022.
[4] Berdasarkan Tinjauan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 oleh DOSM, isi rumah B20 membelanjakan 31.1% daripada pendapatan bulanan mereka untuk makanan dan minuman, manakala isi rumah T20 membelanjakan 16.6% daripada pendapatan bulanan mereka untuk kategori yang sama.
[5] Sebaliknya apabila inflasi terlalu rendah, BNM menurunkan OPR, lantas menyebabkan kos pinjaman dan kadar deposit menjadi lebih rendah. Keadaan ini akan menggalakkan perniagaan dan isi rumah untuk berbelanja, lantas meningkatkan permintaan dan akhirnya memberikan tekanan menaik terhadap inflasi. Inflasi yang terlalu rendah sering menandakan permintaan yang lemah dalam ekonomi. Keadaan ini berlaku apabila pengguna dan perniagaan tidak berbelanja atau melabur dengan secukupnya.
[6] Keadaan ini mungkin disebabkan oleh pertumbuhan pendapatan yang pesat berikutan kegiatan ekonomi yang kukuh, kadar faedah yang sangat rendah yang menyebabkan pinjaman berlebihan, terlalu banyak perbelanjaan oleh Kerajaan yang meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan sentimen pengguna yang bertambah baik terhadap ekonomi.
[7] Lebihan wang berlaku apabila bank-bank pusat menurunkan kadar faedah, sekali gus menjadikan pinjaman lebih murah dan meningkatkan bekalan wang, serta apabila perbelanjaan kerajaan menerusi pembiayaan defisit menyuntik dana tambahan ke dalam ekonomi.
[8] Langkah rangsangan Kerajaan termasuk pemindahan wang tunai, subsidi untuk barangan pengguna terpilih dan kawalan harga bermusim.
[9] Inflasi melonjak berikutan pandemik, didorong oleh peningkatan permintaan dan kejutan penawaran. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana “Anatomi Inflasi: Kesan daripada Pandemik yang Berpanjangan” dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari Bank Negara Malaysia 2021.
[10] Berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024, kadar cukai perkhidmatan dinaikkan daripada 6% kepada 8% bagi semua perkhidmatan bercukai kecuali perkhidmatan makanan dan minuman, perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan tempat letak kereta dan perkhidmatan logistik.
[11] Pelarasan ini lebih relevan untuk pinjaman baharu kerana perubahan pada pinjaman sedia ada berlaku dengan serta-merta.
[12] Sebaliknya semasa kemelesetan ekonomi, kerajaan boleh meningkatkan perbelanjaan untuk merangsang permintaan dan kegiatan ekonomi. Kerajaan juga boleh mengenakan cukai yang lebih rendah untuk meningkatkan pendapatan boleh guna, lantas menggalakkan perbelanjaan pengguna dan pelaburan yang lebih besar. Langkah-langkah ini membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan tekanan terhadap perniagaan untuk menurunkan harga. Walaupun harga yang lebih rendah bermanfaat kepada pengguna, keadaan ini juga boleh menyebabkan upah pekerja menjadi lebih rendah dan mengurangkan keuntungan yang bakal diperoleh oleh perniagaan.
[13] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana “Pembaharuan Harga: Dorongan, Kesan dan Langkah-langkah Sokongan” dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2014 dan rencana “Penelitian Semula Kos Sara Hidup: Punca dan Kesannya” dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2021.
[14] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana “Keperluan Pembaharuan Pasaran Pekerja di Malaysia: Cabaran dan Peluang” dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari Bank Negara Malaysia 2023.
[15] Aspirasi Pelaburan Nasional (National Investment Aspirations, NIA) dijangka mewujudkan kira-kira 500,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang. Selain itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (New Industrial Master Plan 2030, NIMP 2030) menyasarkan pewujudan 3.3 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2030, termasuk jawatan dalam sektor bernilai tinggi seperti perkilangan berteknologi tinggi, teknologi dan perkhidmatan.
[16] Pada S4 2024, kadar penyertaan tenaga pekerja wanita (labour force participation rate, LFPR) ialah 56.8%, jauh lebih rendah daripada lelaki iaitu 83.6%.
[17] Sistem perlindungan sosial termasuk jaringan keselamatan sosial, insurans pekerjaan dan dasar pasaran pekerja yang aktif.
[18] Sektor tidak formal merujuk kegiatan ekonomi yang tidak dikawal selia oleh kerajaan dan lazimnya beroperasi di luar rangka kerja undang-undang dan pencukaian formal. Contohnya termasuk penjaja jalanan yang menjual barangan, pembantu rumah yang menyediakan perkhidmatan isi rumah dan tukang yang menghasilkan produk buatan tangan.
[19] TRangkaian Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) merupakan platform antara agensi yang komited untuk meningkatkan literasi kewangan rakyat Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk: www.fenetwork.my.
[20] Berdasarkan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan bagi Tahun 2024 (Financial Capability and Inclusion Demand Side Survey, FCI), Indeks Literasi Kewangan Malaysia (Malaysian Financial Literacy Index, MYFLIC) memberikan gambaran optimistik tentang pengetahuan kewangan. Antara tahun 2018 hingga 2024, komponen pengetahuan kewangan indeks ini meningkat sebanyak 7.3 mata daripada 55.6 kepada 62.9.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.