Membina Semula Simpanan Persaraan dan Jaringan Keselamatan Kewangan di Malaysia

Pertama Kali Diterbitkan Dalam Tinjauan Ekonomi & Monetari 2022

Pengenalan

Simpanan persaraan yang tidak mencukupi merupakan isu yang kritikal di seluruh dunia. Isu ini dijangka meruncing pada masa hadapan. Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum, WEF) mengunjurkan bahawa simpanan pencen global akan mengalami kekurangan sebanyak USD400 trilion menjelang tahun 2050.[1] Hal ini disebabkan terutamanya oleh jangka hayat yang lebih lama dan nisbah tanggungan yang lebih tinggi.[2] Walaupun jangka hayat yang lebih lama merupakan trend yang positif, bilangan penduduk umur bekerja yang semakin susut meningkatkan tekanan pada sistem perlindungan sosial semasa. Oleh itu, individu yang akan bersara mungkin mendapati lebih sukar untuk memenuhi keperluan mereka selepas bersara.

Malaysia juga berhadapan dengan trend global ini. Tambahan lagi, tahap pendapatan di Malaysia kekal rendah (BNM, 2018) manakala keberhutangan isi rumah[3] adalah secara relatif tinggi. Faktor-faktor ini mengurangkan keupayaan rakyat Malaysia untuk menyimpan. Keadaan ini diburukkan lagi oleh saiz sektor tidak formal yang besar di Malaysia (DOSM, 2020) kerana pekerja sektor ini mempunyai akses yang terhad kepada rangka kerja perlindungan sosial semasa yang kebanyakannya meliputi perlindungan untuk sektor pekerjaan formal.[4] Selanjutnya, beberapa pengeluaran khas simpanan persaraan semasa pandemik COVID-19 telah menyebabkan banyak individu menggunakan simpanan persaraan mereka sebelum masanya. Hal ini meninggalkan kesan jangka panjang terhadap taraf hidup mereka terutamanya dalam keadaan jangka hayat yang semakin meningkat. Jumlah pengeluaran yang besar dilakukan khususnya oleh individu yang lebih muda, iaitu dalam kumpulan umur 26 hingga 40 tahun. Antara tahun 2020 hingga 2022, bahagian ahli kumpulan umur ini yang memenuhi takrifan Simpanan Asas dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)[5] mengalami penurunan yang paling banyak (Rajah 1). Jumlah pengeluaran median bagi kumpulan umur ini berjumlah RM16,400. Keadaan ini menunjukkan terdapat kehilangan simpanan (foregone savings) antara RM24,000 hingga RM94,000[6] atau bersamaan dengan 10% hingga 39% daripada Simpanan Asas semasa, apabila mereka bersara pada umur 60 tahun.[7]

Skala dan kesan pandemik COVID-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini telah mencabar had keupayaan sistem perlindungan sosial semasa di banyak negara, termasuk Malaysia, lantas menyebabkan perlunya sokongan fiskal secara ad hoc bagi menampung keadaan tersebut. Hal ini menekankan betapa mustahaknya campur tangan dasar bagi memastikan perlindungan yang mencukupi bagi rakyat Malaysia pada umur persaraan tanpa membebankan kewangan kerajaan atau meningkatkan kadar caruman peribadi secara ketara dengan mengorbankan pendapatan boleh guna semasa. Rencana ini memberikan tumpuan pada keperluan untuk membina semula simpanan persaraan sebagai sebahagian daripada insurans sosial dan sistem perlindungan sosial secara keseluruhan.[8] Selain itu, rencana ini juga meneliti keadaan rangka kerja simpanan persaraan rakyat Malaysia pada masa kini dan membincangkan beberapa keutamaan jangka pendek yang boleh membantu pelaksanaan reka bentuk sistem insurans sosial yang lebih berkesan untuk Malaysia.

Perbincangan utama rencana ini adalah tentang simpanan persaraan di bawah skim caruman tertakrif, iaitu skim yang diambil oleh kebanyakan pekerja rakyat Malaysia (contohnya skim caruman KWSP). Skim caruman tertakrif menetapkan caruman yang perlu dibuat oleh majikan dan pekerja untuk akaun simpanan persaraan setiap pekerja. Hal ini berbeza daripada skim manfaat tertakrif (contohnya Skim Pencen Penjawat Awam) yang menetapkan jumlah pencen persaraan yang akan diterima oleh seseorang pekerja berdasarkan purata atau gaji akhir yang diterima serta majikan membiayai bayaran pencen sepenuhnya. Di Malaysia, isu yang dihadapi oleh mereka yang berada di bawah liputan skim caruman tertakrif adalah unik dan menjadi lebih buruk semasa pandemik. Walaupun skim manfaat tertakrif menghadapi banyak risiko dan isu yang tersendiri, seperti pencen bulanan yang tidak mencukupi dan kemampanan fiskal, isu-isu ini perlu dianalisis secara berasingan.

Landskap Global Sistem Simpanan Persaraan

Dari segi konsep, kitaran hayat simpanan persaraan individu boleh dibahagikan kepada fasa pengumpulan simpanan (accumulation) dan pengeluaran simpanan (decumulation) (Mitchel & Moore, 1997). Semasa seseorang individu berada dalam umur bekerja (fasa pengumpulan), pendapatan lazimnya melebihi penggunaan yang membolehkan simpanan akruan bersih yang positif (Gambar Rajah 1). Apabila individu bersara atau berhenti kerja, pengeluaran simpanan akan berlaku berikutan kekurangan pendapatan berbanding dengan penggunaan. Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh bekerja, individu mungkin akan mengalami pelbagai kesukaran seperti risiko pengangguran, kesihatan dan kehilangan upaya yang menjejaskan pengumpulan simpanan. Selepas bersara, risiko kesihatan dan kehilangan upaya akan berterusan, manakala jangka hayat yang lebih lama meningkatkan dedahan warga emas kepada risiko simpanan yang tidak mencukupi. Penyertaan dalam mekanisme insurans sosial mengurangkan risiko-risiko ini semasa tempoh bekerja dan selepas bersara. Sebagai contoh, program insurans pengangguran menyediakan penggantian pendapatan untuk individu yang hilang pekerjaan, lantas mengurangkan keperluan untuk menggunakan wang simpanan mereka sekiranya berlaku kecemasan.

Sistem pencen yang diwujudkan di sesebuah negara memainkan peranan penting dalam memastikan pengumpulan simpanan yang mencukupi semasa umur bekerja untuk kegunaan selepas bersara. Pada peringkat global, reka bentuk sistem pencen yang digunakan oleh setiap negara adalah berbeza-beza. Namun begitu, sistem tersebut boleh dihimpunkan mengikut empat kategori utama iaitu sistem proprietari, diubah suai, pascakolonial dan moden. Sistem-sistem ini berbeza dari aspek liputan, aturan caruman dan pendanaan (Jadual 1).

Sistem proprietari dibiayai oleh kerajaan dan memberikan perlindungan kepada penduduk berusia secara meluas melalui sistem pencen ‘pay-as-you-go’ (PAYG) dengan liputan meluas tenaga kerja, lantas memerlukan perbelanjaan fiskal yang besar. PAYG bergantung pada hasil cukai daripada pekerja semasa untuk membiayai pencen bagi penduduk berusia pada satu-satu masa, dan merupakan ciri utama rangka kerja pencen yang telah lama wujud di Jerman dan Perancis. Sistem diubah suai diperkenalkan untuk mengurangkan pergantungan pada sumber fiskal bagi membiayai sistem pencen. Sistem ini menjadi asas bagi sistem pencen di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Pencen yang dibiayai oleh kerajaan dalam sistem ini lazimnya bertujuan menyediakan tahap perlindungan minimum yang dibiayai terutamanya melalui cukai penggajian (payroll tax) atau cukai keselamatan sosial. Dalam sistem ini, skim pencen swasta memainkan peranan penting dalam pengumpulan simpanan persaraan, iaitu kerajaan menetapkan landskap perundangan (contohnya keperluan pendaftaran mandatori) dan memperkenalkan insentif (contohnya caruman padanan). Skim pencen ini mengurangkan halangan ke arah mencapai simpanan persaraan yang mencukupi untuk individu terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah.[10]

Berbeza daripada dua sistem pertama yang bergantung pada pembiayaan kerajaan, sistem pascakolonial dibentuk supaya kerajaan, individu dan majikan mempunyai tanggungjawab bersama dalam membina simpanan persaraan. Sistem ini memandatkan simpanan mandatori oleh individu yang lazimnya diuruskan oleh kumpulan wang simpanan seperti di Singapura dan Malaysia, yang memainkan peranan untuk membina simpanan melalui pelaburan strategik. Akhir sekali, sistem moden menggabungkan ciri-ciri PAYG dan caruman individu, lantas menjadikannya lebih kompleks dari segi aktuari. Sistem ini lazimnya memerlukan kadar caruman yang lebih tinggi dan manfaat pencen dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi dan jangka hayat (International Federation of Pension Funds Administrators, 2021). Sistem moden merupakan sistem yang agak baharu, yang mengekalkan sifat pencen universal seperti sistem proprietari tetapi menawarkan tahap kemampanan yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, pergantungannya pada aktuari yang kompleks menjadikan sistem moden hanya diamalkan di beberapa negara pada masa ini, iaitu Sweden dan China.

Bagi pekerja sektor swasta, sistem pencen sedia ada di Malaysia lebih selari dengan sistem pascakolonial. Secara khususnya, kumpulan pekerja ini berada di bawah skim caruman tertakrif (iaitu simpanan persaraan KWSP). Berbanding dengan pencen asas universal yang menggunakan pembiayaan kerajaan bagi memastikan perlindungan untuk setiap warganegara, sistem pascakolonial yang digunakan di Malaysia mengurangkan kos fiskal dengan membahagikan tanggungjawab antara pekerja, majikan dan kerajaan.[13] Walau bagaimanapun, liputan tahap perlindungan sosial yang minimum oleh sistem ini menjadikannya tidak begitu meluas seperti pencen asas universal. Berlatarkan keadaan ini, pekerja sektor swasta lebih mudah terjejas disebabkan oleh pengumpulan simpanan persaraan yang tidak mencukupi.

Menilai Rangka Kerja Simpanan Persaraan Semasa di Malaysia dalam Sistem Pencen yang Lebih Luas

Keberkesanan sistem pencen dapat dinilai dari segi keluasan dan kedalaman sistem tersebut. Pertama, keluasan menilai sejauh mana sistem pencen menyediakan bentuk sokongan yang berbeza untuk warga emas. Hal ini penting disebabkan oleh kelemahan yang wujud untuk golongan berusia serta campur tangan dasar yang diperlukan mungkin berbeza bagi setiap individu. Sebagai contoh, jika rangka kerja pencen hanya berdasarkan pengeluaran simpanan melalui skim caruman, pekerja berpendapatan rendah dan sektor tidak formal akan lebih berisiko untuk jatuh miskin selepas bersara. Lebih banyak sokongan tambahan diperlukan untuk memenuhi pelbagai keperluan penduduk berusia. Oleh itu, penilaian keluasan sering berpandukan rangka kerja sistem pencen berbilang tonggak Bank Dunia yang terdiri daripada lima bentuk campur tangan. Setiap bentuk campur tangan mempunyai objektif khusus namun saling melengkapi (Jadual 2).

Tonggak pertama ialah Tonggak 0 yang menyediakan tahap asas bantuan pendapatan golongan berusia kepada individu warga emas, lazimnya bertujuan untuk mengurangkan kemiskinan. Tonggak ini sering dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan diberikan melalui bantuan kerajaan (contohnya, pemberian wang tunai). Oleh itu, kemampanan fiskal merupakan satu pertimbangan reka bentuk dasar yang penting dari segi jumlah bantuan dan kelayakan bagi dasar Tonggak 0. Seperti contoh sebelum ini, Tonggak 0 yang mencukupi akan memastikan pekerja berpendapatan rendah dan pekerja sektor tidak formal mempunyai jaringan keselamatan sekiranya simpanan persaraan mereka tidak mencukupi. Tonggak 1 mempunyai dasar yang lebih meluas berbanding dengan dasar Tonggak 0 kerana Tonggak 1 menyediakan penggantian pendapatan asas untuk warga emas. Langkah ini sering dibiayai secara PAYG, yang bermaksud bahawa caruman pekerja semasa membiayai pencen pesara semasa. Satu contoh bagi dasar Tonggak 1 ialah ‘State Pension’ yang disediakan di United Kingdom. Pencen ini dibiayai oleh caruman National Insurance daripada pekerja semasa dan pembayaran pencen adalah berdasarkan caruman individu pada masa lalu. Pencen bagi penjawat awam di Malaysia, iaitu satu bentuk skim manfaat tertakrif, lazimnya dikelaskan di bawah Tonggak 1 (contohnya, Skim Pencen Sektor Awam di Malaysia). Dasar Tonggak 2 pula dibiayai oleh caruman mandatori daripada pendapatan individu itu sendiri, meskipun turut bertindak sebagai mekanisme penggantian pendapatan. Caruman ini dilaburkan sama ada oleh kerajaan atau melalui kumpulan wang simpanan dan pengeluaran boleh dibuat pada umur tertentu (contohnya pada usia 55 tahun untuk simpanan KWSP di Malaysia). Seterusnya, Tonggak 3 melibatkan dasar-dasar dengan penyertaan sukarela yang bertujuan untuk memberikan pendapatan tambahan kepada warga emas melebihi tahap perlindungan yang diberikan oleh Tonggak 1 dan 2. Selain itu, dasar Tonggak 3 juga menyediakan saluran simpanan alternatif bagi individu yang dikecualikan daripada penetapan mandatori Tonggak 2, seperti pekerja tidak formal. Disebabkan sifat Tonggak 3 yang berdasarkan budi bicara, wujud pelbagai skim dan dana yang tersedia untuk pencarum mengikut matlamat simpanan dan toleransi risiko mereka. Akhir sekali, Tonggak 4 meliputi pelbagai mekanisme sokongan bukan kewangan, termasuk sokongan formal seperti penjagaan kesihatan dan sokongan tidak formal seperti sokongan keluarga.

Lima tonggak ini diimbangi secara berbeza mengikut negara dengan bergantung pada sistem pencen yang sedia ada. Secara amnya di Malaysia, wujud kebergantungan yang lebih besar pada simpanan persaraan (Tonggak 2) disebabkan oleh kepentingan sistem pencen pascakolonial bagi pencen pekerja sektor swasta.

Kedua, kedalaman merujuk sama ada asas dan dasar sistem pencen memenuhi ciri-ciri keberkesanan yang diingini. Hal ini dinilai melalui tiga ciri utama: (1) kecukupan, (2) kemampanan dan (3) kesaksamaan.

Sistem pencen Malaysia menunjukkan tahap kecukupan yang berbeza merentas tonggak. Pada masa ini, Tonggak 0 yang bertindak sebagai penanda aras pencen minimum bagi pekerja sektor swasta di Malaysia berada pada tahap yang tidak mencukupi. Sebagai contoh, bantuan Tonggak 0 yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui Bantuan Warga Emas (BWE) berada di bawah paras taraf hidup minimum yang boleh diterima.[14] Disebabkan tahap kecukupan yang rendah bagi Tonggak 0 serta ketiadaan perlindungan Tonggak 1, pesara sektor swasta berisiko untuk menghadapi pelbagai kelemahan jika simpanan persaraan Tonggak 2 mandatori mereka tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup mereka selepas persaraan. Keadaan ini wujud berikutan beberapa kemudahan pengeluaran khas yang diberikan semasa pandemik COVID-19 yang telah mengurangkan kecukupan simpanan Tonggak 2 untuk banyak individu.[15]

Selain itu, kebanyakan rakyat Malaysia tidak dapat mengambil perlindungan pendapatan tambahan kerana skim persaraan swasta[16] di bawah Tonggak 3 kurang mampu dimiliki dan agak sukar diakses. Dasar Tonggak 4 sedikit sebanyak menyediakan beberapa sokongan berikutan penjagaan kesihatan awam universal yang mudah diakses lantas mengurangkan risiko kesihatan bagi penduduk berusia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO), Malaysia mencapai skor 73 dalam indeks liputan perkhidmatan (Service Coverage Index, SCI) perlindungan kesihatan universal 2017, setanding dengan negara-negara seperti Finland (78), Perancis (78) dan Turkiye (74).[17] Meskipun terdedah pada risiko seperti keperluan pembiayaan yang tinggi, tonggak ini secara relatif mencukupi berbanding dengan tonggak-tonggak lain.

Kemampanan sistem pencen swasta Malaysia secara amnya mencukupi. Walau bagaimanapun, hal ini sebahagiannya disebabkan oleh kecukupan yang lebih rendah untuk Tonggak 0 seperti yang dinyatakan di atas. Pada masa ini, program seperti Bantuan Warga Emas mencakupi bahagian yang secara relatif kecil daripada hasil Kerajaan iaitu 0.3%.[18] Kemampanan ini juga disokong oleh pelaksanaan Tonggak 2 yang lebih baik berikutan keupayaan institusi KWSP yang kukuh telah mencatatkan prestasi yang mantap dalam sejarah, meskipun semasa tempoh kemerosotan ekonomi. Pada masa hadapan, dasar simpanan persaraan sukarela (Tonggak 3) boleh menjadi bidang tumpuan untuk mengurangkan pergantungan pada Tonggak 2. Kejayaan Tonggak 3 akan bergantung pada langkah-langkah pelengkap untuk merangsang pendapatan dan mengukuhkan tahap celik kewangan rakyat Malaysia supaya dapat memupuk tabiat simpanan mengikut budi bicara (discretionary savings).

Kesaksamaan dalam sistem pencen swasta Malaysia pada amnya rendah disebabkan oleh jurang dalam liputan. Meskipun pekerja dalam sektor formal kini diberikan perlindungan yang lebih saksama (contohnya insurans pekerjaan) dan akses kepada skim Tonggak 2, peningkatan bahagian pekerja tidak formal di Malaysia[19] memerlukan beberapa campur tangan dasar yang penting dan segera. Kini, liputan skim Tonggak 2 kebanyakannya terhad kepada pekerja yang mempunyai hubungan majikan dan pekerja secara formal. Hal ini menjadikan pekerja sektor tidak formal (contohnya, individu yang bekerja sendiri) sangat terdedah pada risiko kitaran hayat. Keadaan ini diburukkan lagi oleh tahap pemecahan yang tinggi dalam program bantuan wang tunai yang menyebabkan kesilapan dalam pengecualian. Secara amnya, peruntukan minimum perlindungan sosial yang lebih besar[20] akan memastikan sistem pencen yang lebih saksama. Hal ini boleh dicapai melalui penambahbaikan dasar Tonggak 0 secara berterusan. Selain meningkatkan jumlah yang diberikan di bawah Tonggak 0, keberkesanan yang lebih meluas juga boleh dicapai dengan menerapkan elemen kenaikan mobiliti (upward mobility) yang mempertingkatkan keupayaan seseorang meraih pendapatan dalam reka bentuk dasar. Sebagai contoh, program bantuan wang tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah[21] boleh dikaitkan dengan asas perlindungan sosial yang lain[22] seperti dasar pasaran pekerja aktif (active labour market policies, ALMP)[23] untuk menggalakkan kenaikan mobiliti, mempertingkatkan keupayaan benefisiari untuk memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dan menggalakkan keupayaan mengumpulkan simpanan persaraan yang lebih tinggi dalam jangka masa panjang.

Simpanan Hari Tua: Pembaharuan Demi Masa Hadapan yang Lebih Baik

Isu-isu berkaitan simpanan persaraan di Malaysia akan mengambil masa yang lebih lama untuk diatasi memandangkan kebanyakan halangan yang timbul adalah bersifat struktur, seperti upah yang rendah. Seperti yang disarankan terutamanya oleh beberapa agensi pelbagai hala,[24] pembaharuan dasar yang paling berkesan adalah bersifat komprehensif, saling melengkapi serta berkait dengan pelbagai asas perlindungan sosial. Dari segi turutan, pembaharuan yang tertumpu pada kesaksamaan boleh dijadikan tumpuan jangka sederhana, manakala keutamaan segera perlu ditumpukan pada usaha membina semula daya tahan dan kecukupan simpanan persaraan dalam landskap selepas pandemik. Keutamaan segera juga termasuk melaksanakan langkah-langkah pengasingan (ringfencing) dana persaraan dan menambah baik program jaringan keselamatan sedia ada untuk golongan berusia. Langkah-langkah ini perlu diambil seiring dengan penambahbaikan sistem untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dasar yang lebih menyeluruh seperti meningkatkan produktiviti dan merungkai potensi data perlindungan sosial. Semua keutamaan segera ini akan menjadi tumpuan utama dalam bahagian ini.

Pengasingan dana persaraan bagi melanjutkan tempoh pengumpulan dalam usaha memastikan simpanan yang mencukupi

Risiko simpanan persaraan yang tidak mencukupi kini semakin meruncing. Keadaan ini diburukkan lagi oleh pengeluaran simpanan sebelum persaraan secara besar-besaran baru-baru ini. Di Malaysia, simpanan median sebelum pandemik untuk kohort kumpulan umur antara 51 hingga 55 tahun hanya dapat bertahan selama lima tahun[25] selepas mereka membuat pengeluaran pada umur 55 tahun. Walau bagaimanapun, tempoh bertahan simpanan median ini telah berkurang lagi kepada sekitar tiga tahun berikutan pengeluaran simpanan sebelum persaraan semasa pandemik. Bagi lebih memahami kesan hal ini, purata jangka hayat global dijangka meningkat melebihi 77 tahun menjelang tahun 2050 (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 2022). Berdasarkan anggaran ini, seseorang rakyat Malaysia berisiko mengalami kehabisan wang simpanan persaraan 19 tahun sebelum dijangka meninggal dunia. Jurang yang besar antara tempoh median simpanan persaraan bertahan dengan jangka hayat median selepas persaraan menggariskan keperluan segera untuk membina semula penampan simpanan persaraan.

Jurang yang besar antara tempoh median simpanan persaraan bertahan dengan jangka hayat median selepas persaraan menggariskan keperluan segera untuk membina semula penampan simpanan yang menyusut susulan pengeluaran khas semasa pandemik

Berlatarkan persekitaran ini, dasar-dasar untuk mempertingkatkan pengumpulan simpanan melalui pelanjutan fasa pengumpulan perlu segera dilaksanakan. Berdasarkan tanda aras antarabangsa, pengasingan dan pelaburan semula menawarkan potensi penyelesaian. Langkah ini melibatkan pelaburan semula sebahagian daripada simpanan persaraan yang sepatutnya akan dikeluarkan apabila mencapai umur pengeluaran, lantas melanjutkan tempoh pengumpulan simpanan.[26] Sebagai contoh, di Singapura, sebahagian daripada simpanan individu[27] pada usia 55 tahun dipindahkan kepada akaun simpanan persaraan mereka lantas membolehkan simpanan tersebut terus bertambah selama 10 tahun lagi. Di Chile, pesara diberikan pilihan untuk mengeluarkan sepenuhnya atau sebahagian daripada simpanan terkumpul mereka melalui pembelian anuiti. Tindakan ini membolehkan peningkatan baki simpanan berbanding dengan pengeluaran sekali gus. Kedua-dua negara ini telah berjaya mengurangkan risiko kelanjutan usia (longevity risk)[28] (Gambar Rajah 3).

Di Malaysia, pengasingan akan memberikan manfaat yang ketara, khususnya untuk ahli-ahli yang terus mencarum selepas mencapai umur pengeluaran pada 55 tahun. Ahli KWSP yang berumur antara 50 hingga 54 tahun dengan pendapatan pada paras ambang B40 akan mendapat manfaat hingga RM36,800[29] tambahan simpanan jika mereka menangguhkan pengeluaran simpanan dan terus mencarum selama lima tahun lagi hingga umur 60 tahun. Jumlah ini bersamaan dengan 16% daripada Simpanan Asas KWSP dan boleh melanjutkan kecukupan simpanan terkumpul selepas persaraan selama tiga tahun lagi, lantas meningkatkan daya tahan pesara terhadap kejutan ekonomi dan kewangan. Peningkatan kecukupan simpanan juga boleh dicapai dengan meningkatkan kadar caruman. Walau bagaimanapun, langkah ini mungkin lebih mencabar kerana halangan faktor struktur seperti upah yang rendah, atau mengakibatkan kesan yang tidak diingini seperti mengurangkan insentif untuk mengambil pekerja baharu. Dasar ini boleh diteliti pada masa hadapan di samping dasar-dasar untuk mempertingkatkan pendapatan dan insentif bagi majikan untuk memadankan dengan caruman yang lebih tinggi.

Penambahbaikan jaringan keselamatan sosial untuk golongan berusia bagi memastikan peruntukan keperluan asas

Bagi memastikan keperluan asas untuk warga emas disediakan secukupnya, banyak negara telah melaksanakan sokongan dasar dalam bentuk jaringan keselamatan sosial. Lazimnya, sokongan dasar ini dilaksanakan melalui program bantuan tunai bersasar yang bertujuan untuk menyediakan tahap perlindungan minimum bagi golongan berusia yang mudah terjejas. Di Malaysia, kira-kira 19.5% individu berumur 60 tahun ke atas menerima manfaat golongan berusia (Khazanah Research Institute, 2021). Apabila bahagian golongan berusia meningkat (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2016), pergantungan pada langkah-langkah bantuan ini juga akan meningkat. Oleh itu, keutamaan pembaharuan perlu diberikan pada usaha meningkatkan kecukupan dan capaian ini. Kecukupan boleh dipertingkatkan dengan memastikan bantuan-bantuan ini dikaitkan dengan langkah-langkah berhubung dengan taraf hidup. Sebagai contoh, pencen minimum bagi pekerja sektor awam sebanyak RM1,000 sebulan[30] boleh digunakan sebagai penanda aras untuk bantuan wang tunai, sama seperti cara penanda aras ini digunakan oleh KWSP sebagai asas untuk Simpanan Asas. Capaian program boleh diperluas dengan menggabungkan semua bantuan dalam satu program utama (contohnya, Sumbangan Tunai Rahmah), lantas mempermudah akses kepada bantuan ini. Yang penting, langkah untuk mempertingkatkan kecukupan bantuan bagi warga emas juga boleh memberikan manfaat secara tidak langsung kepada mereka yang masih bekerja. Hal ini disebabkan oleh bantuan awam yang lebih meluas akan mengurangkan pergantungan pada sokongan sara hidup daripada ahli keluarga atau anak-anak, lantas membolehkan warga emas meningkatkan penampan simpanan sendiri.

Memanfaatkan produktiviti dan mobiliti sosial golongan berusia untuk meningkatkan pendapatan

Pembaharuan pasaran pekerja dan keselamatan sosial merupakan bidang dasar utama yang menyumbang kepada peningkatan taraf hidup selepas persaraan secara mampan. Khususnya, dasar-dasar yang bertujuan untuk mewujudkan pekerjaan yang sesuai bagi golongan berusia yang ingin bekerja semula perlu dipertimbangkan. Kemajuan Malaysia[31] dalam usaha ini secara relatif perlahan, dengan kadar penyertaan tenaga kerja bagi individu berumur 60 hingga 64 tahun kekal pada kira-kira 40% sejak dua dekad yang lalu (Khazanah Research Institute, 2021). Punca penyertaan yang rendah ini timbul daripada permintaan majikan yang rendah terhadap pekerja yang berusia. Hal ini menyebabkan kekurangan pekerjaan yang sesuai dan boleh menghalang mereka yang berminat daripada kembali bekerja.

Sehubungan dengan itu, dasar-dasar perlu memberikan keutamaan pada menyelesaikan kegagalan pasaran yang telah menghalang golongan berusia yang berminat untuk menyertai tenaga kerja daripada mendapatkan pekerjaan yang sesuai. Langkah-langkah seperti insentif pengambilan pekerja secara kontrak untuk meningkatkan fleksibiliti kerja boleh dilaksanakan. Dalam jangka masa pendek, platform sedia ada seperti myFutureJobs[32] boleh dimanfaatkan segera untuk tujuan padanan pekerjaan bagi golongan berusia. Selain itu, usaha menambah baik ciri-ciri kesalinghubungan serta saling melengkapi bagi program perlindungan sosial seperti ALMP boleh berperanan untuk memudahkan mobiliti sosial dan mempertingkatkan potensi meraih pendapatan sepanjang fasa pengumpulan simpanan.

Merungkai data bagi meningkatkan keberkesanan dasar

Satu lagi bidang yang perlu menjadi tumpuan campur tangan dasar adalah untuk memastikan ketersediaan data perlindungan sosial yang komprehensif, bagi memainkan peranan sebagai pendorong kepada pembaharuan lain. Satu faktor penting yang menjadi punca wujudnya jurang maklumat simpanan persaraan dan jaringan keselamatan kewangan ialah sektor tidak formal yang besar dalam tenaga kerja di Malaysia, berikutan pengaturan dan data keselamatan sosial bergantung pada hubungan formal antara majikan dengan pekerja. Kumpulan tidak formal ini perlu dirangkumkan dalam landskap data perlindungan sosial bagi memastikan dasar-dasar dapat dilaksanakan ke atas kumpulan sasaran. Sebagai permulaan, pendaftaran secara automatik bagi individu berusia 18 tahun dalam pangkalan data KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) boleh diusahakan. Langkah ini sejajar dengan usaha Kerajaan pada masa ini untuk membina pangkalan data perlindungan sosial yang diselaraskan, iaitu Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS).[33]

Pada masa hadapan, maklumat yang lebih komprehensif juga boleh memudahkan campur tangan dasar selain mengurangkan jurang maklumat. Sebagai contoh, jalinan antara data PERKESO dengan data bantuan wang tunai akan membolehkan syarat-syarat bagi bantuan wang tunai tertakluk pada penyertaan dalam program-program pasaran pekerja (contohnya, program peningkatan kemahiran). Tambahan lagi, rangkuman data semua rakyat Malaysia dalam PDPS akan mempertingkatkan keupayaan sasaran dasar perlindungan sosial dan meminimumkan kesilapan pengecualian, terutamanya dalam kalangan golongan yang mudah terjejas.

Kesimpulan

Pembaharuan sistem perlindungan untuk golongan berusia merupakan satu cabaran dasar yang luas dan sangat kompleks bagi Malaysia. Namun begitu, dasar jangka pendek untuk merangsang keberkesanan dasar dan menyokong pengumpulan simpanan persaraan yang dibincangkan dalam rencana ini adalah penting, memerlukan tindakan segera dan mampu dilaksanakan. Dasar ini juga akan merintis jalan ke arah pembaharuan lain dalam usaha mengurangkan pergeseran dalam pasaran pekerja, memperkukuh kemampanan fiskal termasuk pembaharuan dalam hasil dan perbelanjaan awam, serta mempertingkatkan rangka kerja perlindungan sosial secara keseluruhan. Yang penting, penambahbaikan ini bukan pengganti bagi pembaharuan ekonomi jangka panjang yang boleh meningkatkan tahap pendapatan semasa. Pasaran pekerja yang disokong oleh produktiviti yang mantap dan tahap celik kewangan yang tinggi merupakan pelengkap penting untuk sistem persaraan yang lebih baik. Oleh itu, penambahbaikan dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang perlu dilaksanakan serentak bagi memastikan ekonomi dapat terus dikukuhkan dengan sokongan sistem perlindungan sosial yang berkesan.

Rujukan

Amaglobeli, D., Chai, H., Dabla-Norris, E., Dybczak, K., Soto, M., & Tieman, A. F. (2019). The future of saving: The role of pension system design in an aging world. Dipetik daripada IMF Staff Discussion Note.

Actuarial Partners Consulting. (2012). Are we preparing enough for an aging society?

Bank Dunia. (2017). The World Bank Pension Conceptual Framework. Dipetik daripada World Bank Pension Reform Primer.

Bank Dunia. (2020). A silver lining: Productive and inclusive aging for Malaysia.

Bank for International Settlements. (2022). Dipetik daripada BIS Statistics Explorer.

Bank Negara Malaysia. (2018). Adakah pekerja Malaysia dibayar gaji sewajarnya?: Penilaian dari aspek produktiviti dan kesaksamaan. Dipetik daripada Laporan Tahunan 2018.

Bank Negara Malaysia. (2021). Visi perlindungan sosial di Malaysia. Dipetik daripada Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2020.

Bank Negara Malaysia. (2022). Pelan Sektor Kewangan 2022-2026.

Børing, P., & Grøgaard, J.B. (2021). Do older employees have a lower individual productivity potential than younger employees?

Forum Ekonomi Dunia. (2017). We’ll live to 100 – How can we afford it?

Grunewald, A. (2022). Between aspiration and reality: The effect of the French colonial legacy on old-age pension coverage in Africa.

Grunewald, A. (2022). Old-age pensions around the world: Between economic and colonial origins.

Holzmann, R. (2014). Global pension systems and their reform: Worldwide drivers, trends and challenges.

International Federation of Pension Funds Administrators. (2021). The notional defined contributions system: Analysis and international experience.

International Labour Organization. (2018). The ILO multi-pillar pension model: Building equitable and sustainable pension systems. Dipetik daripada ILO Policy Brief.

International Monetary Fund. (2012). Financial impact of longevity risk in the Global Financial Stability Report 2012.

International Monetary Fund. (2022). Why jobs are plentiful while workers are scarce. Dipetik daripada IMF Blogs.

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2016). Dipetik daripada laporan Unjuran Penduduk (Semakan Semula), Malaysia, 2010-2040.

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2020). Laporan Survei Sektor Informal dan Pekerjaan Informal Malaysia.

Jaringan Pendidikan Kewangan. (2019). Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023.

Khazanah Research Institute. (2021). Building resilience towards inclusive social protection reforms.

Lu, B., Pigott, J. & Zheng, B. (2019). The notional and the real in China’s pension reforms.

Moore, J. F. & Mitchel O. S. (1997). Projected retirement wealth and savings adequacy in the health and retirement study.

OECD. (2020). OECD/INFE 2020 International survey of adult financial literacy.

OECD. (2022). Dipetik daripada statistik OECD.

Palmer, E. (2000). The Swedish pension reform model: Framework and issues.

Parlimen Malaysia. (2022). Dipetik daripada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. (2022). World population prospects.

World Health Organization. (2019). Primary health care on the road to universal health coverage: 2019 Global Monitoring Report.

Nota

[1] Forum Ekonomi Dunia (2017). We’ll Live to 100 – How Can We Afford It?.

[2] Nisbah tanggungan merujuk nisbah penduduk yang tidak berada dalam umur bekerja (lebih muda daripada 15 tahun atau lebih tua daripada 64 tahun) berbanding dengan mereka yang berada dalam umur bekerja (15 hingga 64 tahun). Nisbah tanggungan yang lebih tinggi bermakna sesebuah negara mempunyai lebih banyak ‘tanggungan’ (individu pesara atau di bawah umur bekerja) berbanding dengan individu yang bekerja.

[3] Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK di Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau ini, iaitu sebanyak 89.0% pada bulan Disember 2021. Nisbah ini adalah sebanyak 89.3% di Thailand, 69.7% di Singapura dan 17.2% di Indonesia (pada bulan September 2021). Sumber: Pihak berkuasa negara.

[4] Pekerjaan formal secara lazimnya merujuk pekerjaan yang tertakluk pada perundangan negara dan dikenakan cukai pendapatan (lazimnya di bawah perusahaan yang diperbadankan) dengan akses kepada perlindungan sosial dan manfaat pekerjaan.

[5] Simpanan Asas merujuk jumlah minimum simpanan untuk menampung keperluan asas persaraan selama 20 tahun, iaitu mulai umur 55 tahun hingga 75 tahun selaras dengan jangka hayat rakyat Malaysia. Jumlah Simpanan Asas kini adalah sebanyak RM240,000.

[6] Anggaran berdasarkan andaian Bank Negara Malaysia.

[7] Jumlah ini dikira berdasarkan Simpanan Asas seperti yang dikemas kini pada bulan Februari 2019 (RM240,000). Walau bagaimanapun, nilai ambang Simpanan Asas akan meningkat pada masa hadapan kerana disemak secara berkala oleh KWSP.

[8] Secara amnya, perlindungan sosial merangkumi semua dasar awam yang bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada individu daripada kesulitan ekonomi dan sosial. Terdapat tiga jenis dasar di bawah perlindungan sosial, iaitu jaringan keselamatan sosial, insurans sosial dan dasar pasaran pekerja aktif (active labour market policies, ALMP). Sila rujuk rencana “Visi perlindungan sosial di Malaysia” dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari BNM 2020 untuk perbincangan lanjut.

[9] Data untuk bulan April pada setiap tahun.

[10] Satu contoh terbaharu insentif yang digunakan dalam konteks ini termasuk caruman padanan di bawah Secure 2.0 Act yang telah diluluskan sebagai akta di Amerika Syarikat pada bulan Disember 2022, iaitu memberikan caruman yang sepadan kepada penabung berpendapatan rendah.

[11] Contohnya, di China, perlindungan pencen berbeza mengikut kawasan geografi kerana mengambil kira struktur tenaga kerja yang berbeza antara kawasan bandar dan luar bandar.

[12] Cukai penggajian ialah cukai levi atas pendapatan yang lazimnya digunakan untuk membiayai program keselamatan sosial sedia ada seperti program pengangguran atau penjagaan kesihatan.

[13] Meskipun kerajaan lazimnya mempunyai peranan yang lebih kecil dalam pembiayaan pencen di bawah skim caruman tertakrif pascakolonial, kerajaan masih boleh memberikan kemudahan pencen yang mencukupi serta memastikan keberkesanan skim itu. Sebagai contoh, di Malaysia, menerusi skim i-Saraan, Kerajaan menyediakan geran sepadan sebanyak 15% untuk caruman sukarela kepada KWSP yang dibuat oleh individu yang bekerja sendiri. Di negara lain seperti Singapura, kerajaan memberikan bayaran tambahan secara bulanan kepada pesara yang mendapat bayaran anuiti CPF bulanan kurang daripada SGD1300.

[14] Bantuan Warga Emas secara kasar hanya meliputi 40% daripada perbelanjaan bulanan untuk isi rumah dengan sepasang warga emas bagi mencapai taraf hidup minimum yang boleh diterima, dengan andaian kedua-dua individu menerima bantuan tersebut (anggaran berdasarkan Belanjawanku, 2019). Seterusnya, berbanding dengan negara-negara yang mempunyai program bantuan bersasar golongan berusia dengan cara yang sama, tahap kecukupan bantuan golongan berusia adalah rendah dengan hanya 3.7 kali melebihi garis kemiskinan antarabangsa dengan Chile pada 4.7, Brazil pada 5.9 dan Argentina pada 7.7 (Pension Watch Database, 2022).

[15] Menerusi satu siaran akhbar pada tahun 2021, KWSP menyatakan bahawa seramai 6.1 juta ahli mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, dengan 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000. Hal ini terjadi kesan kemudahan pengeluaran khas semasa pandemik.

[16] Di Malaysia, faktor-faktor yang menaikkan kos produk anuiti di bawah skim persaraan swasta termasuk permintaan yang rendah, kos operasi yang tinggi untuk menubuhkan dana anuiti serta risiko pelaburan yang tinggi disebabkan oleh ketidakpastian jangka hayat pemegang insurans (Actuarial Partners Consulting, 2012).

[17] Service Coverage Index (SCI) penjagaan kesihatan universal oleh World Health Organization (WHO) mewakili purata penunjuk sesebuah negara dalam empat bidang perkhidmatan kesihatan yang penting: (1) kesihatan reproduktif, ibu, bayi baru lahir dan kanak-kanak, (2) penyakit berjangkit, (3) penyakit tidak berjangkit serta (4) keupayaan dan akses kepada perkhidmatan. Penunjuk ini berskala antara 0 hingga 100 dan skor yang lebih tinggi menandakan prestasi yang lebih baik. Data terkini yang tersedia mengenai SCI adalah berdasarkan laporan WHO pada tahun 2021, iaitu data yang telah dikemas kini daripada data tahun 2017.

[18] Bahagian perbelanjaan bantuan golongan berusia daripada hasil adalah setanding dengan negara-negara lain, iaitu masing-masing pada 0.4% untuk Thailand dan 0.9% untuk Chile. Sumber: Pihak berkuasa negara dan anggaran Bank Negara Malaysia.

[19] Antara tahun 2019 dan 2021, pekerjaan dalam sektor tidak formal Malaysia meningkat daripada 8.3% kepada 8.6% daripada tenaga kerja.

[20] Perlindungan sosial minimum yang merangkumi akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, sanitasi dan bantuan pendapatan asas untuk semua. Di Malaysia, bantuan pendapatan asas boleh menjadi bidang tumpuan untuk penambahbaikan.

[21] Sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Keluarga Malaysia.

[22] Tiga tonggak perlindungan sosial ialah jaringan keselamatan sosial, insurans sosial dan dasar pasaran pekerja aktif. Ketiga-tiga tonggak ini dibincangkan dengan lebih terperinci dalam rencana “Visi perlindungan sosial di Malaysia” dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari BNM 2020.

[23] ALMP secara amnya ditakrifkan sebagai dasar yang bertujuan untuk mempertingkatkan keupayaan pekerja meraih pendapatan seperti program peningkatan kemahiran dan latihan semula serta perkhidmatan penempatan pekerjaan.

[24] International Labour Organization (ILO) dan Bank Dunia memainkan peranan penting dalam merangsang galakan pembaharuan pencen di pelbagai negara. Setakat bulan Disember 2022, Bank Dunia sedang melaksanakan 42 projek libat urus pencen secara dua hala dengan negara-negara yang mengambil bahagian. ILO pula melaksanakan kajian semula pencen secara berkala di samping menjadi pemudah cara Tripartite Round Table on Pension Trends and Reforms.

[25] Berdasarkan andaian pencen minimum KWSP sebanyak RM1,000 setiap bulan (KWSP, 2021). Nota: Pencarum KWSP boleh membuat pengeluaran penuh atau pengeluaran sebahagian daripada Akaun 1 dan 2 pada umur 55 tahun.

[26] Di Malaysia, Akaun Emas tersedia untuk pesara KWSP yang terus membuat caruman selepas umur 55 tahun. Walaupun akaun ini memberikan manfaat yang paling hampir dengan pengasingan simpanan, manfaat pada kecukupan persaraan adalah lebih rendah kerana jangka hayat simpanan tidak dilanjutkan dengan ketara.

[27] Di Singapura, simpanan persaraan terakru daripada caruman mandatori bagi upah yang diperoleh. Kadar caruman berkanun bagi pekerja dan majikan adalah mengikut peringkat umur seperti yang berikut: 20% dan 17% untuk pekerja berumur 55 tahun ke bawah; 15% dan 14.5% untuk pekerja berumur antara 55 hingga 60 tahun; 9.5% dan 11% untuk pekerja berumur antara 60 hingga 65 tahun; 7% dan 8.5% untuk pekerja berumur antara 65 hingga 70 tahun; serta 5% dan 7.5% untuk pekerja berumur 70 tahun ke atas.

[28] Risiko kelanjutan usia merujuk risiko jangka hayat melebihi jangkaan atau andaian penetapan harga, lantas menyebabkan keperluan aliran tunai dana persaraan yang lebih besar daripada jangkaan.

[29] Mengandaikan simpanan awal sebanyak RM39,000. Jumlah ini bersamaan dengan baki simpanan median yang dicatatkan selepas pandemik untuk ahli KWSP dalam kumpulan umur 51 hingga 55 tahun yang berpendapatan bawah paras ambang pendapatan B40 (Hanya terpakai bagi mereka yang mempunyai data pendapatan).

[30] Pada masa ini, elaun bulanan di bawah Bantuan Warga Emas ialah RM500 sebulan bagi individu berumur 60 tahun ke atas, dalam isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan negara (RM2,208 sebulan).

[31] Sebagai perbandingan, kadar penyertaan tenaga kerja di Mexico dan Colombia bagi golongan berumur 55 hingga 64 tahun pada tahun 2021 masing-masing jauh lebih tinggi pada 63.8% dan 70.7%. Negara-negara ini mempunyai struktur umur penduduk yang serupa dengan Malaysia. OECD Statistics (2021).

[32] MyFutureJobs ialah portal padanan pekerjaan negara yang menyesuaikan data individu (contohnya, pengalaman kerja, kemahiran dan latar belakang pendidikan) dengan kekosongan jawatan sedia ada di Malaysia. Kes penggunaan platform ini adalah lebih luas kerana MyFutureJobs mempunyai jalinan dengan bantuan lain yang berkaitan dengan pasaran pekerjaan seperti subsidi upah (yang dilancarkan semasa COVID-19) serta program latihan dan peningkatan kemahiran.

[33] Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) ialah pangkalan data berpusat yang diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (Implementation Coordination Unit, ICU).


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?