Kertas Putih Pelan MHIT Asas

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1715 pada Khamis, 22 Januari 2026
22 Jan 2026 Notis Umum

Salah satu teras strategik utama dalam strategi RESET ialah pembangunan pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan (medical and health insurance/takaful, MHIT) asas. Pelan MHIT asas ialah pelan insurans dan takaful kesihatan berbentuk sukarela yang diseragamkan serta berasaskan nilai, mampan dan mudah difahami.

Kertas Putih ini menggariskan perincian mengenai pelan MHIT asas, yang dibangunkan dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan (Ministry of Finance, MOF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kertas Putih ini dibangunkan untuk mencapai objektif dasar awam yang berikut:

  • Membolehkan lebih banyak rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan kewangan tahap asas untuk menghadapi perbelanjaan penjagaan kesihatan penting dan berimpak tinggi
  • Menyalurkan perbelanjaan penjagaan kesihatan swasta dengan lebih cekap bagi melengkapi secara lebih baik akses sejagat kepada perkhidmatan kesihatan awam
  • Mempercepat kemajuan ke arah penjagaan kesihatan berasaskan nilai

Pelan ini direka untuk memberikan perlindungan yang bermakna kepada individu yang mahukan perlindungan penjagaan kesihatan swasta, serta bagi mereka yang mencari pilihan tambahan disebabkan oleh pelarasan premium atau perubahan pada keadaan kewangan mereka. Pembangunan pelan MHIT asas ini bertujuan mengimbangi kemampuan dengan perlindungan sepanjang hayat, di samping mengekalkan ruang persaingan antara syarikat insurans dan pengendali takaful (insurers and takaful operators, ITO) untuk menawarkan produk yang lebih menyeluruh serta memenuhi keperluan dan segmen pasaran yang berbeza.

Dengan menetapkan garis asas yang lazim dan boleh diakses, bagi perlindungan dan penetapan harga premium serta amalan pengunderaitan dan tuntutan, pelan ini dijangka memperkukuh penawaran produk MHIT semasa oleh ITO dan meningkatkan keyakinan terhadap pasaran insurans dan takaful kesihatan swasta, menghimpunkan risiko secara lebih menyeluruh serta mengurangkan perbelanjaan secara langsung (out-of-pocket expenses).

Reka bentuk produk telah mengambil kira maklum balas dan input daripada lebih 60 libat urus dengan pihak berkepentingan utama dan kumpulan pengguna serta analisis terperinci ke atas set data yang tersedia bagi memastikan produk ini selaras dengan matlamat pembaharuan dan keperluan pasaran.

Yang penting, pelan MHIT asas ini tidak menggantikan, bahkan menjadi pelengkap kepada sistem penjagaan kesihatan awam yang akan terus menyediakan Perlindungan Kesihatan Sejagat untuk semua rakyat Malaysia. Malah, baru-baru ini Kerajaan telah meningkatkan belanjawan penjagaan kesihatan awam bagi memperkukuh dan mengembangkan perkhidmatan. Pelan MHIT asas direka bentuk untuk memberikan pilihan kepada pesakit. Dengan memastikan perlindungan swasta mampu milik, lebih banyak rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan swasta, lantas memperkukuh peranan pelengkap antara sektor awam dengan sektor swasta.

BNM dan KKM sedang bekerjasama rapat dengan industri insurans dan takaful serta persatuan yang mewakili sektor penjagaan kesihatan swasta untuk memuktamadkan perincian pelaksanaan dan operasi. Pelan MHIT asas dijangka tersedia untuk orang ramai mulai awal tahun 2027. Untuk maklumat yang lebih lanjut, layari bnm.gov.my/MHIT

Rujuk juga:


Bank Negara Malaysia
22 Januari 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?