Pengambilan Deposit Secara Haram

Apakah Pengambilan Deposit Secara Haram?

Pengambilan deposit secara haram ialah perbuatan menerima atau mengambil deposit (contohnya wang atau logam berharga) yang menjanjikan pulangan atau nilai wang tersebut tanpa lesen yang sah di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013.

Di bawah Seksyen 137(1) FSA, adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana orang untuk menerima deposit tanpa lesen.

Terdapat beberapa pengecualian:

  1. Bayaran deposit di bawah kontrak jualan (contohnya, bayaran tempahan kereta)

  2. Deposit cagaran (contohnya, deposit sewa rumah)

  3. Bayaran kepada kerajaan, badan berkanun dan penerbit wang elektronik yang diluluskan


Apakah yang perlu diberi perhatian?

1. Penyalahgunaan nama dan logo Bank Negara Malaysia

Untuk mendapatkan kepercayaan, sesetengah penipu mungkin mengemukakan surat atau sijil yang mendakwa bahawa mereka telah dilesenkan atau diluluskan oleh Bank Negara Malaysia.

2. Tiada dokumentasi yang sewajarnya

Sektor kewangan merupakan industri yang dikawal selia, dengan undang-undang, peraturan dan garis panduan bagi melindungi pengguna kewangan. Berwaspada terhadap firma yang kelihatan “kurang profesional” (contohnya, tidak menyediakan resit atau dokumentasi yang sewajarnya).

3. Pulangan yang terlalu lumayan untuk menjadi kenyataan

Berwaspada terhadap tawaran seperti “pulangan terjamin” atau pulangan yang lebih tinggi daripada biasa tanpa risiko yang besar. Lazimnya, tawaran sedemikian merupakan penipuan.


Bagaimanakah cara untuk melindungi diri anda?

1. Semak laman sesawang BNM

Semua institusi berlesen disenaraikan di laman sesawang kami, termasuk institusi yang menjalankan perniagaan perkhidmatan wang (contohnya, pertukaran wang). Jika anda tidak dapat menemukan perniagaan tersebut di laman sesawang kami, ini bermakna perniagaan tersebut tidak dilesenkan. Jangan berurusan dengan mereka!

Laman Sesawang Bank Negara Malaysia

2. Rujuk Senarai Amaran Pengguna Kewangan kami

Buat semakan terlebih dahulu sebelum menyerahkan wang anda.

Senarai Amaran Pengguna Kewangan

3. Buat keputusan yang termaklum

Ramai penipu akan mewujudkan rasa terdesak secara palsu untuk mendesak anda menyerahkan wang. Ini merupakan tanda amaran. Jangan terburu-buru. Lakukan semakan sewajarnya supaya anda dapat membuat keputusan yang termaklum.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?