Amalan Pasaran

Menggalakkan amalan pasaran yang adil dan bertanggungjawab

Sebagai sebahagian daripada objektif utama kawal selia Bank untuk menggalakkan kestabilan kewangan, Bank berusaha untuk memupuk amalan perniagaan penyedia perkhidmatan kewangan yang adil, bertanggungjawab dan profesional serta untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna perkhidmatan dan produk kewangan. Bank mengawal selia tatakelakuan penyedia perkhidmatan kewangan melalui Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA). Di bawah perundangan ini, penyedia perkhidmatan kewangan dikehendaki mendapat kebenaran untuk menjalankan perniagaan yang dilesenkan, diluluskan atau didaftarkan dan tertakluk kepada piawaian tatakelakuan perniagaan yang dikeluarkan oleh Bank bagi memastikan urusan yang adil dalam interaksi mereka dengan pengguna kewangan.

Berhubung dengan amalan tatakelakuan pasaran, Bank mengawal selia bank berlesen, bank Islam berlesen, penanggung insurans berlesen, pengendali takaful berlesen, institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan, pengeluar yang diluluskan bagi instrumen pembayaran yang ditetapkan, pengeluar yang diluluskan bagi instrumen pembayaran Islam yang ditetapkan, dan perantara kewangan. Perantara kewangan termasuk penasihat kewangan yang diluluskan, penasihat kewangan Islam yang diluluskan, broker insurans yang diluluskan, broker takaful yang diluluskan dan broker wang yang diluluskan. Mana-mana orang yang memenuhi takrif pengguna kewangan sebagaimana yang dinyatakan di bawah FSA, IFSA atau DFIA, termasuk mana-mana orang yang menggunakan, telah menggunakan atau berhasrat untuk menggunakan apa-apa perkhidmatan atau produk kewangan bagi maksud peribadi, domestik atau isi rumah, atau berkaitan dengan perniagaan kecil, secara amnya akan mendapat manfaat daripada skop perlindungan pengguna Bank.

Pada tahun 2019, Bank meningkatkan usaha untuk memupuk piawaian tatakelakuan profesional yang tinggi dalam kalangan penyedia perkhidmatan kewangan dengan memperkenalkan enam prinsip utama mengenai layanan adil terhadap pengguna kewangan. Piawaian ini bertujuan untuk memastikan pengguna kewangan dilayan secara adil pada semua peringkat hubungan mereka dengan penyedia perkhidmatan kewangan. Antara lain, piawaian ini menetapkan jangkaan terhadap lembaga pengarah dan pengurusan kanan penyedia perkhidmatan kewangan untuk menggalakkan budaya di mana kepentingan pengguna kewangan menjadi sebahagian penting daripada operasi perniagaan. Di samping itu, penyedia perkhidmatan kewangan mesti bertindak dengan suci hati dengan memastikan keadilan terma kontrak, menyediakan maklumat produk yang jelas, menawarkan nasihat atau syor yang bersesuaian dengan keperluan dan keadaan kewangan individu, serta melaksanakan penjagaan, kemahiran dan ketekunan yang sewajarnya apabila berurusan dengan pengguna kewangan. Penyedia perkhidmatan kewangan juga bertanggungjawab terhadap tatakelakuan dan tindakan ejen serta wakil mereka.

Penyeliaan dan penguatkuasaan tatakelakuan pasaran

Dalam melindungi kepentingan dan hak pengguna kewangan, Bank menyelia amalan tatakelakuan pasaran penyedia perkhidmatan kewangan dan memulakan tindakan pemulihan atau penguatkuasaan bagi apa-apa pelanggaran keperluan tatakelakuan pasaran. Prinsip-prinsip utama berikut membimbing pendekatan penyeliaan tatakelakuan Bank:

  • Prinsip 1: Hasil yang adil untuk pengguna dan pasaran melalui penilaian isu tatakelakuan mengikut impaknya ke atas kedua-dua pengguna kewangan dan keyakinan pasaran.

  • Prinsip 2: Berpandangan ke hadapan dan bersifat pencegahan dalam mengenal pasti risiko berpotensi serta mengambil tindakan yang berkadaran dengan tahap ketidakpatuhan yang diperhatikan untuk mencegah atau menangani sebarang impak buruk ke atas kepentingan terbaik pengguna kewangan.

  • Prinsip 3: Penilaian penyeliaan yang teguh terhadap isu tatakelakuan bagi memastikan pemulihan yang adil dan tepat pada masanya untuk pengguna kewangan yang terjejas, serta penyelesaian berkesan terhadap punca utama oleh penyedia perkhidmatan kewangan untuk mencegah pelanggaran yang diperhatikan daripada berulang pada masa hadapan.

  • Prinsip 4: Memanfaatkan fungsi pengawasan penyedia perkhidmatan kewangan untuk menyediakan sumber yang mencukupi, serta dasar, proses, kawalan dan tadbir urus yang berkesan bagi memberikan hasil layanan yang adil.

  • Prinsip 5: Penglibatan dan kerjasama yang berkesan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan, seperti persatuan pengguna dan industri, untuk mendapatkan pandangan yang lebih mendalam tentang isu dan cabaran tatakelakuan, serta untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi mempertingkatkan kefahaman pengguna kewangan tentang hak dan tanggungjawab mereka.

Berdasarkan perkara di atas, sebagai sebahagian daripada proses penyeliaan Bank, Bank menjalankan pengawasan makro dan mikro untuk mengenal pasti dan menangani tatakelakuan serta amalan perniagaan penyedia perkhidmatan kewangan yang mungkin menyebabkan kemudaratan kepada pengguna kewangan. Penilaian risiko tatakelakuan Bank adalah penting dalam menentukan jenis dan intensiti aktiviti penyeliaan yang perlu dilaksanakan untuk menyelesaikan sebarang kelemahan yang dikenal pasti. Penilaian ini melibatkan Bank mengenal pasti risiko tatakelakuan yang baru muncul dan utama yang boleh mengakibatkan hasil yang tidak adil kepada pengguna kewangan serta menilai keterukannya, seperti bilangan pelanggan yang terjejas atau yang mungkin terjejas, bagi tujuan pengutamaan dan pengagihan sumber serta aktiviti penyeliaan.

Untuk menyelesaikan isu tatakelakuan yang dikenal pasti, Bank seterusnya mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang tepat pada masanya dan sewajarnya dengan hasil yang diingini seperti berikut:

i. memastikan restitusi yang adil kepada pengguna kewangan yang terjejas;

ii. mempertingkatkan budaya pematuhan dalam penyedia perkhidmatan kewangan;

iii. membetulkan punca utama ketidakpatuhan;

iv. menghapuskan sebarang keuntungan atau manfaat kewangan daripada ketidakpatuhan oleh penyedia perkhidmatan kewangan;

v. berfungsi sebagai pencegahan yang kukuh terhadap sebarang salah laku pada masa hadapan; dan

vi. mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap kualiti, profesionalisme dan tatakelakuan yang adil penyedia perkhidmatan kewangan dalam memenuhi keperluan pengguna kewangan.

Kawal selia dan penyeliaan perantara

Perantara mewakili antara muka penting antara pengguna kewangan dan penyedia perkhidmatan kewangan. Perantara secara amnya memberikan nasihat dan syor mengenai kesesuaian produk kewangan kepada pengguna kewangan serta mendapatkan produk daripada penyedia perkhidmatan kewangan bagi pihak pengguna kewangan. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan perantara bersikap profesional, bertanggungjawab dan adil dalam urusan mereka dengan pengguna kewangan.

Terdapat dua pendekatan berbeza yang diambil oleh Bank dalam mengawal selia perantara. Penasihat kewangan, penasihat kewangan Islam, broker insurans dan takaful, serta broker wang merupakan perantara yang diluluskan oleh Bank, justeru dirujuk sebagai orang yang diluluskan (approved persons), manakala penilai kerugian (loss adjusters) merupakan perantara yang didaftarkan. Pendekatan berbeza yang diguna pakai oleh Bank ke atas orang yang diluluskan dan orang yang didaftarkan mencerminkan risiko sedia ada yang ditimbulkan oleh perantara tersebut. Walau bagaimanapun, Bank menetapkan keperluan prudensial dan tatakelakuan perniagaan ke atas semua perantara.

Peraturan yang dikenakan ke atas orang yang diluluskan termasuk keperluan modal minimum, kewajipan orang bertanggungjawab utama perniagaan dan keperluan kesesuaian pemegang saham untuk:

i. memastikan orang yang diluluskan diurus secara prudent dan profesional; dan

ii. mencegah sebarang potensi konflik kepentingan dalam pengendalian perniagaan serta memastikan sebarang nasihat atau syor yang diberikan kepada pengguna kewangan adalah saksama dan munasabah.

Kelulusan yang diberikan kepada seseorang yang diluluskan untuk menjalankan perniagaannya secara amnya sah antara satu hingga tiga tahun, dan selepas itu orang yang diluluskan tersebut mesti mengemukakan permohonan untuk memperbaharui kelulusannya dua bulan sebelum tamat tempoh kelulusan sedia ada.

Bagi penilai kerugian di bawah rejim pendaftaran, peraturan yang dikenakan adalah terutamanya mengenai kriteria kelayakan untuk memenuhi syarat pendaftaran. Ini termasuk kelayakan minimum dan keperluan minimum bagi pelantikan pemegang saham, pengarah dan pengurusan kanan, serta keperluan modal minimum. Setelah didaftarkan, penilai kerugian dibenarkan menjalankan perniagaan penilaian secara berterusan. Sepanjang tempoh perniagaannya, penilai kerugian juga dikehendaki mematuhi keperluan mengenai amalan penyelesaian tuntutan sebagaimana yang ditetapkan oleh Bank.

Untuk mengukuhkan keperluan kawal selia Bank, pendekatan penyeliaan Bank menumpukan kepada memelihara tahap integriti, kecekapan dan profesionalisme yang tinggi dalam kalangan perantara. Selama ini, penyeliaan perantara telah menumpukan terutamanya kepada pemantauan di luar tapak (off-site) terhadap petunjuk-petunjuk yang berkaitan bagi memastikan modal minimum, serta keperluan kesesuaian dan kewibawaan dan kelayakan (fit and proper), dipatuhi sewajarnya. Berbanding pendekatan penyeliaan terhadap orang yang diluluskan, orang yang didaftarkan tertakluk kepada pendekatan penyeliaan yang lebih "ringan" (light touch). Ini memandangkan sifat perniagaan penilai kerugian yang tidak melibatkan pengendalian wang pelanggan.

Maklumat lanjut mengenai prosedur permohonan bagi pihak yang berminat untuk memohon kelulusan atau pendaftaran sebagai perantara disediakan dalam bahagian di bawah.

Permohonan bagi Perantara

(i) Penasihat Kewangan (FA)

(ii) Penilai Kerugian (Adjusters)

(iii) Broker Insurans dan Takaful (ITB)

(iv) Broker Marin, Penerbangan dan Transit (MAT)

Menggalakkan keupayaan kewangan pengguna

Bank, bersama-sama rakan pintarnya, telah melaksanakan Program Pendidikan Pengguna (CEP) yang menyediakan pengguna akses kepada maklumat mengenai produk dan perkhidmatan kewangan serta pengurusan wang. CEP juga bertujuan untuk melengkapkan pengguna dengan pengetahuan yang mencukupi bagi memahami risiko dan tanggungjawab yang terlibat untuk membuat keputusan kewangan yang bermaklumat. Kehadiran pengguna yang lebih yakin, bertanggungjawab dan bijak kewangan akan menggalakkan persaingan yang lebih besar dan seterusnya kecekapan serta inovasi pasaran. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif pendidikan kewangan yang dilaksanakan oleh Bank, sila lawati bahagian "Maklumat Pelanggan" di laman web Bank.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?