iTEKAD Perlindungan

iTEKAD Perlindungan: Memperkukuh Kesejahteraan Kewangan melalui Perlindungan Inklusif
iTEKAD Perlindungan merupakan program perlindungan mampu milik kepada usahawan mikro dan pekerja gig daripada kejadian luar jangkaan seperti penyakit atau kehilangan pendapatan. Program ini disokong melalui penggabungan pelbagai sumber pembiayaan untuk menyediakan perlindungan mampu milik, di samping menyokong usaha dalam membina kestabilan dan daya tahan jangka panjang.

Untuk maklumat lanjut mengenai konsep takaful sosial, sila rujuk Laporan Tahunan 2025, Bab 1.4 – Mempromosikan Sistem Kewangan Islam yang Progresif dan Inklusif
Pengendali takaful / syarikat insurans yang menyertai iTEKAD Perlindungan
Great Eastern Takaful Berhad

Nama Program | MikroSayang Plan A |
Manfaat | Manfaat kemasukan ke hospital (hospital awam): RM50 sehari, sehingga maksimum 14 hari Kematian akibat kemalangan: RM5,000 |
Tawaran dipertingkat | Pendidikan tentang literasi kewangan, dengan penekanan kepada perlindungan, dilengkapi latihan komprehensif yang disediakan oleh Agrobank |
Segmen sasaran | Usahawan mikro |
Rakan pelaksana | Agrobank |
Soalan Lazim iTEKAD Perlindungan
Maklumat Umum
1. Berapa lamakah tempoh perlindungan yang ditawarkan?
Tempoh perlindungan di bawah Perlindungan Tenang lazimnya adalah selama satu (1) tahun. Walau bagaimanapun, tempoh perlindungan mungkin berbeza bergantung kepada produk yang ditawarkan. Peserta dinasihatkan untuk mendapatkan pengesahan lanjut daripada syarikat insurans atau pengendali takaful yang terlibat bagi mengetahui tempoh perlindungan yang tepat.
2. Adakah saya perlu menjadi peserta program iTEKAD Keusahawanan untuk menyertai program ini?
Tidak. Anda tidak perlu menjadi peserta iTEKAD keusahawanan untuk menyertai iTEKAD Perlindungan. Penyertaan adalah terbuka kepada individu yang tergolong dalam segmen sasaran, termasuk: (a) perusahaan mikro atau usahawan mikro, termasuk tetapi tidak terhad kepada peserta program iTEKAD; (b) petugas penghantaran barangan; atau (c) peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
3. Adakah iTEKAD Perlindungan hanya ditujukan kepada peserta beragama Islam?
Tidak. iTEKAD Perlindungan terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang memenuhi kriteria segmen sasaran. Sebagai contoh, program dibiayai menggunakan sumber pembiayaan sosial yang neutral seperti dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), program tersebut boleh ditawarkan tanpa mengira agama atau kepercayaan.
Tuntutan
1. Bagaimana cara untuk membuat tuntutan?
Hanya dalam 3 langkah mudah, anda boleh mengemukakan tuntutan anda:
Lengkapkan borang tuntutan
Kumpulkan semua dokumen sokongan yang diperlukan
Serahkan borang tuntutan bersama dokumen sokongan
Anda boleh merujuk kepada panduan tuntutan oleh syarikat insurans/ pengendali takaful untuk tuntutan masing-masing. Anda juga boleh menghubungi Pegawai Khidmat Pelanggan mereka jika memerlukan bantuan lanjut.
2. Bilakah penerima manfaat perlu memaklumkan syarikat insurans atau pengendali takaful mengenai tuntutan yang ingin dibuat?
Penerima manfaat perlu memaklumkan dan mengemukakan tuntutan secepat mungkin selepas kejadian berlaku, bagi memastikan proses tuntutan dapat dijalankan tanpa sebarang kelewatan.
3. Berapa lamakah tempoh pemprosesan tuntutan?
Setelah semua dokumen yang diperlukan diterima:
Tuntutan kematian lazimnya diproses dalam tempoh lima (5) hari bekerja
Tuntutan selain kematian lazimnya diproses dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja.
4. Bagaimanakah penerima manfaat boleh menyemak status tuntutan atau mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keputusan tuntutan?
Penerima manfaat boleh menyemak status tuntutan atau mendapatkan penjelasan dengan cara berikut:
Hubungi Perkhidmatan Pelanggan syarikat insurans atau pengendali takaful;
Hantar emel kepada syarikat insurans atau pengendali takaful; atau
Kunjungi cawangan terdekat syarikat insurans atau pengendali takaful.
Proses tuntutan yang dinyatakan di atas adalah panduan umum sahaja. Untuk maklumat terperinci, sila rujuk terma dan syarat polisi atau sijil perlindungan, atau layari laman web rasmi syarikat insurans atau pengendali takaful berkaitan.
Kolaborasi
1. Adakah semua program pembiayaan sosial atau produk insurans dan takaful perlu menggunakan nama iTEKAD Perlindungan?
Tidak. Syarikat insurans/ pengendali takaful boleh meneruskan program pembiayaan sosial masing‑masing di luar iTEKAD Perlindungan. Walau bagaimanapun, syarikat insurans/ pengendali takaful digalakkan untuk melaksanakan program di bawah jenama iTEKAD Perlindungan. Melalui penyertaan ini, pengendali berpotensi memperoleh manfaat seperti: Jemputan ke sesi jaringan dengan bakal rakan strategik; Peningkatan keterlihatan (visibility) inisiatif yang dijalankan; dan Peluang untuk mengakses geran kerajaan, tertakluk kepada kelayakan.
2. Adakah iTEKAD Perlindungan hanya ditawarkan oleh pengendali takaful?
Tidak. iTEKAD Perlindungan boleh ditawarkan oleh syarikat insurans/ pengendali takaful yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.
3. Bolehkah rakan pelaksana membantu menentukan kumpulan sasaran bagi sesuatu program?
Ya. Kumpulan sasaran bagi setiap program iTEKAD Perlindungan boleh ditentukan secara bersama oleh syarikat insurans/ pengendali takaful yang terlibat serta rakan pelaksana masing‑masing.
4. Bolehkah rakan pelaksana membantu dalam penganjuran atau pelaksanaan program baharu?
Ya. iTEKAD Perlindungan direka bentuk untuk bersifat fleksibel. Syarikat insurans / pengendali takaful digalakkan untuk bekerjasama dengan rakan strategik seperti syarikat korporat, institusi kewangan lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Agama Islam Negeri. Kerjasama ini boleh meliputi aspek seperti reka bentuk program, kaedah penyampaian, pembiayaan, latihan atau pengenalpastian peserta yang bersesuaian.
5. Saya merupakan rakan pelaksana. Bagaimanakah cara untuk mengakses geran kerajaan?
Permohonan geran kerajaan boleh dibuat melalui syarikat insurans/ pengendali takaful yang mengambil bahagian dalam program iTEKAD Perlindungan. Jumlah geran yang diluluskan hendaklah dipadankan dengan pembiayaan sosial, termasuk sumbangan daripada pengendali serta rakan pelaksana di bawah program iTEKAD Perlindungan yang berkaitan.
6. Saya mempunyai sumber dana (contohnya zakat, wakalah zakat, dana CSR, sumbangan dan sebagainya). Bagaimanakah saya boleh menyumbang kepada iTEKAD Perlindungan?
Anda boleh menyalurkan dana melalui pengendali insurans atau takaful yang mengambil bahagian untuk digunakan dalam program iTEKAD Perlindungan. Sila hubungi pengendali yang berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kaedah penyaluran sumbangan.
7. Bagaimanakah syarikat insurans/ pengendali takaful boleh menyatakan minat untuk menyertai iTEKAD Perlindungan?
Syarikat insurans / pengendali takaful berlesen yang berminat boleh menghubungi kami melalui emel di [email protected] bagi membincangkan keperluan operasi serta potensi pengaturan program.
8. Adakah produk yang ditawarkan di bawah iTEKAD Perlindungan perlu merupakan produk Perlindungan Tenang?
Ya. Semua produk yang ditawarkan di bawah program iTEKAD Perlindungan hendaklah merupakan produk Perlindungan Tenang, selaras dengan keperluan yang ditetapkan dalam Dokumen Dasar Perlindungan Tenang.
9. Bolehkah kami memohon geran iTEKAD Perlindungan menggunakan produk Perlindungan Tenang yang sedia ada?
Ya. Permohonan geran iTEKAD Perlindungan boleh dibuat menggunakan produk Perlindungan Tenang yang sedia ada, tertakluk kepada pematuhan terhadap keperluan minimum yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.
10. Adakah terdapat ciri atau manfaat produk khusus yang diteliti oleh Bank di bawah iTEKAD Perlindungan?
Ya. Produk di bawah iTEKAD Perlindungan hendaklah menyediakan manfaat yang membantu menangani keperluan serta risiko segera yang dihadapi oleh segmen sasaran, termasuk: – Bantuan kewangan kecemasan; – Manfaat kemasukan ke hospital; dan – Elaun pemulihan pascabencana. Bagi produk keluarga, perlindungan yang ditawarkan hendaklah melebihi manfaat asas, seperti kematian atau hilang upaya kekal keseluruhan.
11. Bolehkah tawaran dipertingkatkan di bawah iTEKAD Perlindungan diambil kira sebagai manfaat insurans atau takaful di bawah prinsip “Good Value”?
Ya, tetapi hanya dalam keadaan tertentu. Tawaran dipertingkatkan boleh diiktiraf di bawah prinsip “Good Value” sekiranya ia memenuhi takrif “perkhidmatan nilai tambah” sebagaimana yang diperuntukkan dalam Dokumen Dasar Perlindungan Tenang.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.


