Kewangan Sosial

Kewangan sosial dijangka menjadi penggerak kepada pembangunan sosial di Malaysia, sebagai pelengkap kepada kewangan sektor awam dan penyelesaian kewangan yang berasaskan pertimbangan komersial untuk menggalakkan daya tahan sosial yang lebih kukuh. Kualiti unik kewangan sosial iaitu:

(i) fleksibiliti instrumen pembiayaan;

(ii) penggabungan latihan berstruktur dalam pengurusan perniagaan dan kewangan; dan

(iii) penerapan mekanisme pemantauan impak

boleh memajukan rangkuman kewangan sambil menangani kekangan yang lazimnya dikaitkan dengan kewangan tradisional.

Inisiatif berkaitan: iTEKAD | myWakaf

intro-agro

iTEKAD ialah program penaung pembiayaan sosial yang dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia, bertujuan untuk membantu usahawan berpendapatan rendah dan segmen rentan bagi menaik taraf status sosioekonomi mereka. Setiap program iTEKAD dikelola oleh institusi kewangan dengan kerjasama rakan pelaksana. Program ini memanfaatkan instrumen kewangan sosial seperti dana daripada tanggungjawab sosial korporat, zakat, derma, pelaburan impak bagi membolehkan penerima manfaat menjana sumber pendapatan yang mampan serta meningkatkan daya tahan kewangan mereka.

Untuk maklumat lanjut berkenaan sub‑program di bawah inisiatif iTEKAD, sila kunjungi laman sesawang berikut:

itekad-entrep--bm

iTEKAD Keusahawanan membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan keupayaan perniagaan melalui sokongan modal permulaan, latihan berstruktur dan akses kepada pembiayaan mikro

itekad-protect--bm

iTEKAD Perlindungan menyediakan perlindungan kewangan kepada usahawan mikro berpendapatan rendah dan perniagaan mereka daripada risiko

itekad-employ--bm

iTEKAD Kerjaya menyokong individu daripada komuniti rentan melalui latihan pembinaan kapasiti yang berstruktur, sokongan kebolehpasaran pekerjaan serta panduan pengurusan kewangan

Geran iTEKAD

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, geran sebanyak RM35 juta akan diperuntukan bagi ketiga-tiga sub-program iTEKAD untuk tujuan 1) modal permulaan usahawan mikro iTEKAD; 2) menyokong program perlindungan mampu milik bagi segmen sasaran dan 3) mengalakkan kebolehpasaran pekerjaan serta mobiliti ke atas (upward mobility) komuniti rentan

Geran ini akan dipandankan dengan dana kewangan sosial seperti derma, zakat dan dana daripada tanggungjawab sosial korporat. Dana kewangan sosial ini boleh dijana sama ada daripada sumber dana dalaman institusi kewangan atau melalui sumbangan daripada rakan-rakan pelaksana dan pihak luaran yang lain.


Soalan Lazim iTEKAD

Maklumat Umum

1. Berapa lamakah inisiatif iTEKAD akan terus dilaksanakan? Adakah inisiatif ini hanya untuk jangka pendek?

iTEKAD merupakan satu inisiatif jangka panjang yang mampan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Jangkauan program ini juga akan diperluaskan kepada kumpulan sasaran yang lebih besar. Hal ini boleh dicapai melalui kerjasama erat yang melibatkan rangkaian rakan pelaksana yang lebih luas dan mampu menambah kapasiti pelaksanaan program di seluruh negara.

2. Adakah iTEKAD hanya disasarkan kepada peserta-peserta beragama Islam sahaja?

Tidak. iTEKAD terbuka kepada semua rakyat Malaysia, bergantung pada pogram yang ditawarkan. Contohnya, program iTEKAD yang dibiayai oleh dana kewangan sosial yang neutral seperti dana daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) boleh ditawarkan kepada semua golongan usahawan tanpa mengira latar belakang atau agama.

3. Bolehkah individu yang berminat untuk menyertai program iTEKAD memohon terus dari institusi kewangan peserta iTEKAD, seperti membuka akaun bank atau memohon pembiayaan daripada bank.

Kebanyakan program iTEKAD setakat ini ditawarkan secara tertutup (closed-door). Institusi kewangan yang menyertai iTEKAD serta rakan pelaksana akan mengenal pasti dan menilai peserta yang layak. Seiring dengan peluasan program iTEKAD, dijangkakan akan terdapat lebih banyak peluang untuk pemilihan peserta dibuka dengan lebih meluas pada masa akan datang, termasuk melalui permohonan secara walk‑in.

Jalinan Kerjasama

4. Adakah semua program kewangan sosial perlu dijenamakan sebagai iTEKAD?

Tidak, institusi kewangan boleh menjalankan program kewangan sosial mereka sendiri di samping iTEKAD. Walau bagaimanapun, Bank Negara Malaysia menggalakkan lebih banyak institusi kewangan memperkenalkan program kewangan sosial yang boleh diiktiraf di bawah jenama iTEKAD. Sebagai institusi kewangan peserta iTEKAD, mereka akan menerima pelbagai kelebihan. Antaranya termasuk jemputan ke majlis jalinan kerjasama dengan rakan pelaksana sedia ada dan baharu, kesedaran meluas berkenaan usaha institusi kewangan serta peluang untuk memohon geran yang diperuntukkan oleh Kerajaan.

5. Adakah iTEKAD hanya dikelola oleh institusi kewangan Islam?

Tidak. Program iTEKAD terbuka kepada semua institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

6. Siapakah pihak yang boleh bekerjasama dengan institusi kewangan peserta dalam melaksanakan program iTEKAD?

iTEKAD adalah program yang sangat fleksibel dimana institusi kewangan peserta iTEKAD boleh bekerjasama dengan pelbagai rakan pelaksana seperti syarikat korporat, universiti- universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Agama Islam Negeri bagi program sedia ada dan juga program baharu. Ruang kerjasama ini termasuklah penentuan kandungan program, mod dan kaedah penyampaian, penyediaan dana, pelaksanaan latihan berstruktur, pemilihan peserta, dan sebagainya.

7. Bolehkah institusi kewangan menyelaras lebih daripada satu program iTEKAD dan bekerjasama dengan lebih daripada satu rakan pelaksana?

Ya. Institusi kewangan yang menyertai iTEKAD boleh mendaftarkan pelbagai program di bawah payung iTEKAD dan bekerjasama dengan lebih daripada satu rakan pelaksana pada sesuatu masa.

8. . Bolehkah rakan pelaksana terlibat dalam menentukan segmen sasaran program?

Boleh. Kebanyakan segmen sasaran dalam program iTEKAD yang dikelolakan oleh institusi kewangan peserta iTEKAD, ditentukan bersama dengan rakan-rakan pelaksana.

9. Bolehkah rakan pelaksana menfaatkan program mereka sendiri (yang sedia ada) untuk program-program iTEKAD yang baharu dengan kerjasama institusi kewangan peserta iTEKAD?

Boleh. Hal ini tertakluk pada perbincangan dengan institusi kewangan peserta yang terlibat, terutamanya bagi kohort atau kumpulan peserta baharu. iTEKAD bertujuan membantu segmen masyarakat yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan (unserved) dan segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan (underserved), khususnya kumpulan usahawan mikro berpendapatan rendah.

10. Adakah rakan pelaksana perlu mendapatkan kelulusan BNM untuk menjalankan program iTEKAD?

Tidak. Rakan pelaksana tidak perlu memohon kelulusan daripada Bank Negara Malaysia. Sebaliknya, institusi kewangan peserta yang perlu memaklumkan kepada Bank Negara Malaysia mengenai kerjasama yang dijalinkan untuk melaksanakan program iTEKAD.

11. Sebagai rakan pelaksana, bagaimanakah saya boleh mendapat akses kepada geran iTEKAD yang diperuntukan oleh Kerajaan?

Geran kerajaan hanya boleh dimohon oleh institusi kewangan peserta yang terlibat untuk mengelolakan program-program iTEKAD. Jumlah geran yang dimohon mestilah dipadankan sekurang-kurangnya setara dengan jumlah dana kewangan sosial. Dana kewangan sosial ini termasuklah sumbangan institusi kewangan peserta dan rakan pelaksana program iTEKAD tersebut.

12. Saya mempunyai dana (seperti dana zakat, zakat wakalah, dana daripada tangungjwab sosial korporat dan lain-lain). Bolehkah saya salurkan dana ini kepada iTEKAD?

Ya, sumbangan tersebut boleh disalurkan kepada institusi kewangan peserta untuk melaksanakan program-program iTEKAD. Sila hubungi institusi kewangan peserta yang berkenaan untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyaluran dana bagi program iTEKAD.


myWakaf

myWakaf ialah inisiatif dana wakaf yang ditubuhkan secara bersama oleh enam bank Islam di bawah Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia, AIBIM). Bagi menggalakkan ketelusan dan memudahkan orang ramai untuk menyumbangkan wakaf tunai, myWakaf menyediakan platform digital yang menyenaraikan pengumpulan dana untuk projek sosioekonomi yang khusus. Dana itu kemudiannya disalurkan ke dalam projek pemerkasaan ekonomi, penjagaan kesihatan serta pendidikan, seperti yang dikenal pasti oleh institusi kewangan peserta dan Majlis Agama Islam Negeri.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman sesawang myWakaf


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?