Pada 5 Februari 1996, BNM memperkenalkan wang kertas RM2, yang merupakan nilai mata wang pertama daripada siri reka bentuk baharu mata wang Malaysia yang bertemakan Wawasan 2020. Paparan perkembangan dan pencapaian pesat ekonomi Malaysia digunakan buat kali pertama dalam wang kertas siri ini. Berikut ialah keluaran jenis nilai yang lain:

Denominasi Mata Wang

Tarikh Pengeluaran

RM10

19 Januari 1998

RM50

20 Julai 1998

RM100

26 Oktober 1998

RM5

27 September 1999

RM1

8 November 2000

Beberapa ciri keselamatan diperkenalkan pada wang kertas siri ini. Antaranya ialah benang keselamatan berwarna pelangi dengan cetakan ‘BNM’ dan jenis nilai masing-masing pada wang kertas tersebut, di samping potret tera air tiga dimensi. Selain itu, wang kertas siri ini mempunyai ciri antisalinan pendua yang dikenali sebagai PEAK (Printed and Embossed Anticopy Key), benang serat serta nombor siri novel yang dicetak secara melintang di bahagian atas sebelah kiri dalam dakwat magnetik pendarfluor hitam dan secara menegak di sebelah kanan dalam dakwat pendarfluor merah. Wang kertas RM10, RM50 dan RM100 pula mempunyai ciri tambahan, iaitu jalur holografi ubahan optik yang dikenali sebagai LEAD (Long-lasting Economical Anticopy Device).

Wang kertas siri ini telah ditandatangani oleh tiga Gabenor BNM yang berlainan, iaitu, Tan Sri Ahmad Mohd Don (berkhidmat 1994-1998), Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman (1998-2000), dan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (2000-2016).



Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?