Akta Bank Negara Malaysia 2009 Mula Berkuat Kuasa Hari Ini
Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Akta) telah mula berkuat kuasa hari ini. Dengan berkuat kuasanya Akta ini, Akta Bank Negara Malaysia 1958 dimansuhkan dan tidak lagi terpakai. Akta ini akan membolehkan Bank mengurus risiko dan cabaran yang bakal muncul dengan lebih berkesan dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya sebagai bank pusat negara.
Akta ini memberikan mandat yang lebih jelas kepada Bank dan memberikan kuasa dan instrumen yang perlu untuk mencapai mandat ini. Akta ini juga menyediakan rangka kerja tadbir urus yang lebih kukuh, yang memperuntukkan tahap kebertanggungjawaban dan ketelusan yang tinggi. Selain itu, Akta ini menginstitusikan amalan baik yang telah diamalkan pada dekad ini yang terbukti penting dalam mempertingkatkan fungsi dan keberkesanan Bank.
Matlamat utama Bank adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Matlamat utama dasar monetari adalah untuk mengekalkan kestabilan harga dan pada masa yang sama memberikan sokongan yang sewajarnya kepada perkembangan ekonomi. Akta ini menetapkan bahawa dasar monetari akan dirumuskan secara autonomi oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) dan akan dilaksanakan secara berkesan oleh Bank. Perlindungan yang sewajarnya telah dimasukkan ke dalam Akta yang meliputi keanggotaan MPC, rangka kerja untuk membuat keputusan dan keperluan ketelusan, penzahiran dan kebertanggungjawaban.
Persekitaran ekonomi dan kewangan yang lebih bersepadu dan lebih global telah memberikan cabaran baharu kepada Bank dalam melaksanakan peranannya untuk memelihara kestabilan kewangan. Dalam penyediaan Akta baharu ini, banyak pengajaran diperoleh daripada krisis kewangan global baru-baru ini dalam rangka kerja pengawalseliaan, pengawasan dan pengurusan krisis kewangan serta keperluan terhadap penyelarasan yang berkesan bukan saja merentas sektor tetapi juga merentas sempadan.
Kuasa yang khusus bagi kestabilan kewangan berhemat makro, yang pada kelazimannya bukan merupakan ciri biasa dalam perundangan tradisional perbankan pusat, kini telah dimasukkan dalam Akta. Peruntukan ini, antara lainnya, menyokong peningkatan pengawasan, jangkauan pengawalseliaan, pengawasan pasaran wang dan pertukaran asing, penyelarasan dengan badan pengawal selia lain, termasuk pencegahan, pengurusan dan penyelesaian krisis merentas sempadan.
Selaras dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, Akta ini memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada sistem kewangan Islam di Malaysia. Akta ini juga telah mempertingkatkan peranan Majlis Penasihat Syariah berkaitan Kewangan Islam bagi memudahkan penerapan perundangan Islam yang konsisten dalam hal-hal berkaitan dengan kewangan Islam.
Peranan dan tanggungjawab bank pusat serta kesan dasar dan tindakannya terhadap sistem ekonomi dan kewangan memerlukan rangka kerja tadbir urus yang amat teguh. Peranan Lembaga Pengarah telah dipertingkatkan dalam perundangan baharu ini. Lembaga Pengarah akan terus mengawasi pengurusan Bank Negara Malaysia dan akan menilai prestasi Bank. Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga, Jawatankuasa Audit Lembaga dan Jawatankuasa Risiko Lembaga telah ditubuhkan bagi membantu Lembaga Pengarah menjalankan tanggungjawab pengawasan ini.
Akta ini akan menyediakan asas perundangan yang kukuh untuk Bank Negara Malaysia melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya dengan berkesan dalam menangani cabaran semasa dan pada masa hadapan bagi mencapai kestabilan monetari dan kewangan untuk pembangunan keseluruhan sistem kewangan yang menyokong kemajuan ekonomi yang mampan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.