Akta Sistem Pembayaran 2003

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1800 pada Khamis, 16 Oktober 2003
16 Okt 2003 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa satu Akta baru, Akta Sistem Pembayaran 2003 (Akta), akan berkuatkuasa pada 1 November 2003. Akta ini menyediakan kerangka perundangan bagi memastikan sistem pembayaran yang stabil dan efisien serta mengekalkan tahap keyakinan orang ramai terhadap sistem pembayaran. Pengenalan Akta ini adalah selaras dengan saranan Pelan Induk Sektor Kewangan, iaitu untuk mengadakan kerangka perundangan yang fleksibel, proaktif dan efektif bagi mengawalselia sistem pembayaran serta meningkatkan tahap kecekapan sistem tersebut.

Akta ini mengandungi peruntukan-peruntukan yang membolehkan Bank Pusat melaksanakan aktiviti-aktiviti pengawalseliaan secara efektif bagi mencapai objektif polisinya di dalam sistem pembayaran, yakni memastikan sistem pembayaran sentiasa berada dalam keadaan yang efisien dan selamat, serta kepentingan orang awam sentiasa terjaga.

Akta ini mengandungi keperluan undang-undang bagi pengendali sistem pembayaran dan pengeluar instrumen pembayaran yang ditetapkan. Dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta ini, Bank Pusat akan bermatlamat untuk mencapai keseimbangan di antara mempromosikan keselamatan serta kecekapan dan juga inovasi serta kehematan. Seseorang pengendali sistem pembayaran dikehendaki mengemukakan dokumen-dokumen kepada Bank Pusat dan dibenarkan memulakan operasi selepas menerima pemberitahuan bertulis daripada Bank Pusat. Pemberitahuan bertulis yang diberikan bukanlah merupakan satu kelulusan. Hanya pengeluaran instrumen pembayaran yang ditetapkan di bawah Akta ini memerlukan kelulusan daripada Bank Pusat. Ini berlainan daripada cara pentadbiran undang-undang sebelum ini, yang mengkehendaki sesiapa yang ingin mengendalikan sistem pemindahan dana secara elektronik perlu mendapatkan kelulusan daripada Bank Pusat terlebih dahulu.

Akta ini memberi kuasa kepada Bank Pusat untuk menetapkan sistem-sistem pembayaran yang mempunyai implikasi sistemik untuk pengawalseliaan yang lebih ketat. Pengendali-pengendali sistem pembayaran yang ditetapkan dikehendaki untuk memastikan adanya sistem tadbir urus korporat yang baik dan tatacara pengurusan operasi yang mencukupi disediakan, bagi memastikan kelancaran fungsi sistem pembayaran tersebut. Pengarah dan ketua pegawai eksekutif pengendali sistem pembayaran yang ditetapkan perlu memenuhi kategori yang ditetapkan sebelum dilantik.

Bank Pusat juga mempunyai kuasa untuk menetapkan suatu instrumen pembayaran sebagai instrumen pembayaran yang ditetapkan sekiranya instrumen pembayaran tersebut akan digunakan secara meluas, atau ianya adalah perlu untuk melindungi kepentingan orang awam. Pengeluar instrumen pembayaran yang ditetapkan dikehendaki memastikan adanya sistem tadbir-urus korporat yang baik dan tatacara pengurusan operasi yang mencukupi disediakan, bagi memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan instrumen pembayaran tersebut. Pengeluar suatu instrumen pembayaran yang ditetapkan juga harus menyediakan langkah-langkah bagi memastikan kehematan pengurusan ke atas dana yang dikutip daripada pengguna dan memastikan dana tersebut adalah mencukupi untuk membayar balik pengguna.

Peruntukan-peruntukan yang berkaitan telah disediakan di dalam Akta ini bagi memastikan segala bayaran yang dibuat menerusi sistem pembayaran yang ditetapkan adalah muktamad dan tidak boleh dibatalkan. Sistem penyelesaian masa nyata, Real-time Electronic Transfer of Funds and Securities (RENTAS) dan sistem penjelasan cek, Sistem Penjelasan Imej Cek Kebangsaan (SPICK), adalah dianggap sebagai sistem pembayaran yang ditetapkan untuk mencapai kemuktamadan dalam pembayaran dan pengaturan neting di bawah Akta ini.

Dalam memantau aktiviti-aktiviti pengendali sistem pembayaran dan pengeluar instrumen pembayaran, Bank Pusat boleh meminta mana-mana pengendali sistem pembayaran dan pengeluar instrumen pembayaran untuk mengemukakan dokumen dan maklumat berkenaan sistem atau instrumen pembayarannya.

Walaupun Akta ini membenarkan sistem dan instrumen pembayaran diperkenalkan di pasaran dengan cepat, Bank Pusat mempunyai kuasa untuk melarang mana-mana operasi sistem pembayaran atau pengeluaran instrumen pembayaran yang dikenalpasti dapat mengancam kebolehpercayaan, kestabilan, kecekapan dan kelancaran operasi sistem pembayaran tersebut, atau larangan perlu dibuat atas sebab kepentingan orang awam.

Dengan berkuatkuasanya Akta Sistem Pembayaran 2003 ini, pengendali sistem pembayaran dan pengeluar instrumen pembayaran yang ditetapkan yang telah mendapat kelulusan di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (ABIK), akan dianggap telah mendapat kelulusan di bawah Akta ini.


Bank Negara Malaysia
16 Oktober 2003

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?