Alami Sendiri Pengalaman Pembelajaran yang Menakjubkan di Pameran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia pada Hari Muzium Antarabangsa 2010

Embargo: Untuk siaran segera
12 Mei 2010 Siaran Akhbar

Anda sekeluarga pasti akan menikmati pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan di pameran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia pada Hari Muzium Antarabangsa tahun ini, yang dianjurkan oleh Muzium Sabah, Kota Kinabalu, Sabah. Acara yang akan diadakan di Muzium Sabah akan berlangsung dari 18 hingga 20 Mei 2010.

Sejak tahun 1977 lagi, muzium-muzium di seluruh dunia telah menyambut Hari Muzium Antarabangsa pada atau sekitar 18 Mei dengan beberapa tujuan: untuk menggalakkan orang ramai untuk menjadikan muzium sebagai saluran pembelajaran tak formal dan meningkatkan kepekaan mereka akan peranan muzium sebagai pemelihara warisan dan kebudayaan negara dan juga memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali muzium dengan lebih dekat di samping mempererat rangkaian hubungan sesama muzium. Muzium-muzium di Malaysia mula menyertai sambutan ini pada tahun 1997.

Di pameran Galeri Bank Negara Malaysia yang interaktif, para pengunjung akan dapat mengetahui dengan lebih mendalam peranan Bank Negara Malaysia dalam kehidupan semua rakyat Malaysia.

Aktiviti yang dianjurkan secara percuma oleh Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia termasuk:

  • Bengkel Black on white, iaitu bengkel mengenai penggunaan arang sebagai medium seni oleh Encik Ahmad Zakii Anwar, seniman yang terkenal di peringkat antarabangsa kerana hasil kerja seninya yang mengagumkan dengan menggunakan arang. Bengkel amali ini pasti akan dihargai pelajar dan pencinta seni. Ia terhad kepada 30 peserta sahaja dan peralatan seni disediakan (18 Mei)
  • The art of looking after art. Ketahui tentang cara untuk memulihara hasil kerja seni anda dan ambil peluang ini untuk bertanya kepada pakar pemuliharaan mengenai cara pemuliharaan artifak dan hasil kerja seni anda (19 Mei)
  • Ceramah Know your Central Bank & Currency yang akan membicarakan tentang:

    - Bank Negara Malaysia: Kenali Bank Negara Malaysia dan peranannya - Mata Wang Malaysia: Cara untuk mengetahui sama ada wang anda tulen atau tidak (18, 19 dan 20 Mei)

  • Seminar Teaching outside the box, iaitu seminar tentang muzium sebagai wahana pembelajaran luar kelas yang pasti menarik minat ibu bapa, pendidik dan juga mereka yang di dalam profesion perguruan (20 Mei)
  • Permainan Si Kijang's Adventure dan aktiviti Make your own money box untuk kanak-kanak berumur antara 7 hingga 11 tahun (20 Mei)

Kami di Bank Negara Malaysia sedang menanti akan pembukaan Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia pada awal tahun 2011. Muzium ini akan mempunyai enam galeri, iaitu Galeri Kanak-kanak, Galeri Bank Negara Malaysia, Galeri Ekonomi, Galeri Kewangan Islam, Galeri Numismatik dan Galeri Seni yang akan mempamerkan pelbagai bahan pameran yang pasti menarik minat dan mengagumkan para pengunjungnya.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Shafira Dalina Kamarudzaman di 019-220 5375 atau layari www.museum.bnm.gov.my


Bank Negara Malaysia
12 Mei 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?