Aliran kewangan yang tidak direkodkan masih terlebih catat

Embargo: Untuk siaran segera
16 Dis 2013 Siaran Akhbar

Laporan terkini oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan asing telah membangkitkan isu aliran keluar kewangan haram yang besar dari negara-negara sedang membangun. Penggunaan metodologi yang sama terus menghasilkan anggaran yang ketara terlebih catat bagi aliran keluar kewangan yang tidak direkodkan.
 
Laporan itu memperakui bahawa penggunaan hab eksport semula (re-export hubs) menyebabkan anggaran trade mispricing terlebih catat. Walau bagaimanapun, anggaran yang tidak memasukkan eksport semula melalui Hong Kong (the “Hong Kong” effect) adalah tidak signifikan bagi Malaysia kerana perdagangan Malaysia dengan Singapura untuk eksport semula adalah lebih daripada tiga kali saiz perdagangan Malaysia dengan Hong Kong.  Jika eksport semula melalui Singapura ke 10 rakan perdagangan Malaysia yang utama dimasukkan, ini akan mengurangkan trade mispricing  Malaysia kira-kira 70%.
 
Laporan itu juga menganggarkan sebanyak 20% daripada aliran keluar haram merupakan pindahan perolehan yang tidak direkodkan melalui saluran tidak rasmi. Bagi ekonomi yang sangat terbuka seperti Malaysia dengan jumlah perdagangan barangan dan perkhidmatan pada 162% daripada KDNK, pengumpulan perangkaan kesilapan dan ketinggalan (Errors and Omissions, E&O) dalam imbangan pembayaran (balance of payments, BoP)  cenderung berlaku. Yang penting, tidak keseluruhan anggaran E&O disebabkan oleh aktiviti haram dan perangkaan rentas sempadan Malaysia telah secara konsisten memenuhi semua piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. E&O dan BoP, khususnya, berpurata pada 2% daripada jumlah dagangan, jauh lebih rendah daripada tanda aras sebanyak 5% yang ditetapkan oleh IMF.    
 
 
Langkah yang Diambil Memberikan Hasil Positif
 
Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk mencegah aktiviti haram bagi mengurangkan aliran kewangan seperti ini. Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan siaran akhbar pada 1 Mac 2013 yang memberikan makluman terkini berhubung dengan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi Peringkat Tinggi (Pasukan Petugas). Langkah-langkah ini termasuk mengukuhkan rangka kerja pengawalseliaan, memperhebat usaha penguatkuasaan dan mempertingkat mekanisme pengawasan. Langkah-langkah ini telah memberikan hasil positif dan akan terus diperhebat.
 
Pada masa hadapan, isu trade mispricing akan diatasi dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menghendaki pelaporan nilai ditambah pada pelbagai peringkat pengeluaran.
 
Menyedari kepentingan menangani aliran kewangan yang berkaitan dengan aktiviti luar aturan (irregular activities), usaha berterusan yang konkrit dan bersepadu antara agensi penguatkuasaan termasuk agensi merentas sempadan akan terus dilaksanakan bagi memastikan sistem kewangan Malaysia berintegriti dan stabil.  


Bank Negara Malaysia
16 Disember 2013

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?