Anugerah Biasiswa Dan Geran Penyelidikan Syariah
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan penawaran Anugerah Biasiswa Syariah dan Geran Penyelidikan Syariah, yang dibiayai oleh endowmen Dana Cendekiawan Syariah dalam Kewangan Islam. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Bank Negara Malaysia dalam meningkatkan bilangan sumber kepakaran, pengetahuan dan penyelidikan dalam bidang Syariah berkaitan perbankan Islam, takaful dan pasaran modal Islam.
Anugerah Biasiswa Syariah
Anugerah Biasiswa Syariah ini terbuka kepada individu yang berkelayakan, dari dalam dan luar negara, untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Lanjutan dalam bidang Syariah berkaitan fiqh muamalat di universiti-universiti yang diiktiraf. Ia juga terbuka kepada individu yang ingin memperoleh Profesional Kewangan Islam Bertauliah (CIFP) yang ditawarkan oleh Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF). Matlamat biasiswa ini adalah untuk meningkatkan bilangan cendekiawan Syariah yang dilengkapi dengan ilmu dan mempunyai kepakaran dalam kedua-dua bidang, iaitu Syariah dan kewangan Islam.
Geran Penyelidikan Syariah
Geran ini ditawarkan kepada organisasi-organisasi penyelidikan dan institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara untuk membuat penyelidikan dalam bidang Syariah berkaitan kewangan Islam takaful dan pasaran modal Islam. Matlamat geran ini adalah untuk mempergiatkan aktiviti penyelidikan, mewujudkan pandangan dan perspektif baru serta menggalakkan idea-idea dan penyelesaian yang inovatif terhadap isu-isu kontemporari dalam industri perkhidmatan kewangan Islam.
Biasiswa dan geran ini dibiayai daripada hasil yang dijana melalui endowmen Dana Cendekiawan Syariah dalam Kewangan Islam sebanyak RM200 juta yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2006. Borang permohonan dan syarat-syarat kelayakan bagi biasiswa dan geran ini boleh diperoleh di laman web Bank Negara Malaysia ().
Semua permohonan Anugerah Biasiswa Syariah 2006 mesti diterima oleh Bank Negara Malaysia selewat-lewatnya pada 30 November 2006 dan bagi Geran Penyelidikan Syariah selewat-lewatnya pada 29 Disember 2006.
Lihat juga:
Anugerah Biasiswa Syariah
Geran Penyelidikan Syariah
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.