Anugerah Diraja Kewangan Islam Mempelawa Pencalonan Peringkat Global dan Memperkenalkan Dua Anugerah Baharu

Anugerah Diraja Kewangan Islam
Undangan untuk pencalonan peringkat global bagi Anugerah Diraja Kewangan Islam diumumkan hari ini. Anugerah yang berprestij tersebut mengiktiraf individu cemerlang dan terbilang yang telah memberikan sumbangan besar terhadap kemajuan industri perkhidmatan kewangan Islam. Inisiatif Anugerah Diraja ini merupakan anjuran bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Tujuh juri bebas antarabangsa yang dipengerusikan oleh mantan Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia, Tun Musa Hitam, akan memilih individu yang layak menerima Anugerah Diraja yang ke-enam itu. Salah satu kriteria utama pemilihan Anugerah Diraja tersebut ialah sumbangan berbentuk rintis dan inovatif individu berkenaan terhadap kewangan Islam. Calon berkenaan juga perlu memiliki ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang dan mendapat pengiktirafan yang meluas dalam industri perkhidmatan kewangan Islam.
Sempena Anugerah Diraja tersebut, Jawatankuasa Penganjur dengan sukacitanya mengumumkan penambahan dua anugerah baharu, iaitu Anugerah Pemimpin Baharu dan Anugerah Cabaran Berimpak.
Anugerah Pemimpin Baharu mengiktiraf dan meraikan bakat muda antarabangsa yang telah memberikan sumbangan penting terhadap kemajuan idea-idea inovatif dalam kewangan Islam. Anugerah ini terbuka kepada individu yang berusia 40 tahun ke bawah, yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya selama lima tahun dalam bidang kewangan Islam yang menjadi kepakaran mereka.
Anugerah Cabaran Berimpak pula bertujuan memberikan pengiktirafan yang lebih besar terhadap penyelesaian digital dan inovatif berdasarkan prinsip kewangan Islam atau penggerak kewangan Islam. Bidang-bidang ini berupaya meningkatkan daya tahan ekonomi dan sosial masyarakat yang terjejas dari segi kewangan di seluruh dunia. Anugerah Cabaran Berimpak yang diadakan buat julung-julung kali ini dianjurkan dengan kerjasama The World Bank Group Inclusive Growth and Sustainable Finance Hub di Malaysia sebagai rakan teknikal dan disokong oleh Malaysia Digital Economy Corporation.
Maklumat lanjut mengenai semua kategori di atas, termasuk pencalonan peringkat global dan permohonan untuk menyertai Anugerah Cabaran Berimpak boleh didapati dalam talian melalui http://www.theroyalaward.com. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila ajukan kepada [email protected].
Tarikh tutup bagi semua pencalonan dan permohonon untuk menyertai Anugerah Cabaran Berimpak adalah pada 25 Mac 2022.
BANK NEGARA MALAYSIA & SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

NOTA KEPADA EDITOR
Mengenai Pasaran Kewangan Islam Malaysia
Sejak lebih 30 tahun lalu, Malaysia telah membangunkan pasaran kewangan Islam yang menyeluruh dan canggih. Pasaran tersebut mempunyai pengawalseliaan, pengawasan, rangka kerja Syariah dan perundangan yang mantap, pasaran utama yang luas dan pasaran sekunder sukuk yang aktif. Selain itu, pasaran ini mempunyai pelbagai peserta dan kumpulan bakat dengan keupayaan global dan mempunyai kesalinghubungan dengan urusan perniagaan di serata dunia, inovasi produk sertasistem penyelesaian dan penjelasan pelbagai mata wang yang cekap dan luas. Pasaran kewangan Malaysia membuka peluang kepada penggiat industri global dan peserta pasaran untuk bekerjasama dan meraih manfaat bersama daripada persekitaran perniagaan yang sangat kondusif terhadap inovasi, kepakaran dan proses urus niaga.
Pasaran kami merupakan sebuah ekosistem kewangan dan persekitaran perniagaan Islam menyeluruh bagi infrastruktur, inovasi, kepakaran and proses urus niaga yang dikendalikan oleh Komuniti Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre, MIFC). Komuniti MIFC terdiri daripada institusi kewangan, firma profesional, pengawal selia dan agensi kerajaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai pasaran kewangan Islam Malaysia, sila layari www.mifc.com, ikuti kami di @MalaysiaIF dan muat turn aplikasi MYIF melalui Apple Store dan Google Play.
Mengenai Bank Negara Malaysia
Matlamat utama Bank Negara Malaysia (BNM) adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari serta kestabilan kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan. Bagi mencapai matlamat ini, BNM memainkan peranan penting dalam membangunkan sistem kewangan konvensional dan sistem kewangan Islam kerana sistem kewangan yang dibangunkan dengan baik akan menyumbang kepada daya tahan Malaysia. Selama bertahun-tahun, BNM juga telah menerajui usaha mempromosikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bnm.gov.my.
Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), iaitu sebuah badan berkanun yang terletak di bawah Kementerian Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati melalui laman sesawang menerusi www.sc.com.my. Ikuti SC melalui Twitter menerusi @SecComMy untuk mendapatkan perkembangan terkini.
Mengenai The World Bank Group Inclusive Growth and Sustainable Finance Hub di Malaysia
The World Bank Group Inclusive Growth and Sustainable Finance Hub (Hub) di Malaysia merupakan kerjasama antara Malaysia dengan Bank Dunia. Hub ini berhubung rapat dengan rakan setara di dalam dan luar negara dengan menjalankan kerja-kerja analisis, khidmat nasihat dan penyelidikan bagi menyokong pertumbuhan inklusif, menggalakkan kewangan lestari dan kewangan inklusif serta memantapkan tadbir urus yang baik. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.wbg.org/my atau www.facebook.com/worldbankmalaysia.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.