Anugerah Diraja Malaysia Terima Pencalonan Global
Anugerah Diraja Malaysia bagi Kewangan Islam (Anugerah Diraja) telah menerima 32 penyertaan dari seluruh dunia. Pencalonan ditutup pada 1 Jun 2012.
Senarai calon, yang terdiri daripada mereka yang berpengaruh dalam industri kewangan Islam dengan latar belakang yang berbeza, datang dari pelbagai rantau di seluruh dunia iaitu Timur Tengah, Eropah, Afrika, Amerika Utara dan rantau Asia Pasifik, menggambarkan kecapaian global dan penerimaan terhadap kewangan Islam pada masa kini. Pencalonan tersebut turut menggambarkan kepelbagaian pihak yang berkepentingan dalam kewangan Islam termasuk pakar Syariah, ahli akademik, penggiat pasaran, institusi kewangan, institusi penyelidikan, agensi kerajaan dan NGO.
Satu juri antarabangsa bebas yang dianggotai tujuh orang ahli dan dipengerusikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia, Tun Musa Hitam, akan memilih pemenang Anugerah Diraja tersebut.
Kriteria pemilihan Anugerah Diraja itu meliputi kedua-dua aspek kualitatif dan kuantitatif bagi menilai sumbangan dan pencapaian cemerlang calon dalam kewangan Islam global. Ini termasuklah kerja-kerja pembaharuan dan perintisan dalam bidang kewangan, kepimpinan yang luar biasa, penggunaan dan pengiktirafan sumbangan mereka dalam industri, dan inspirasi dan pengaruh mereka terhadap perkembangan dan pembangunan masa hadapan.
Duli yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Malaysia akan menyampaikan anugerah tersebut kepada pemenang 2012 di Majlis Makan Malam Diraja yang akan diadakan pada 19 September 2012 di Kuala Lumpur, sempena dengan Forum Kewangan Islam Global (GIFF) Ke-3, iaitu satu acara peringkat tinggi yang bermatlamat untuk mewujudkan perhubungan dan transaksi rentas sempadan yang lebih besar dalam kewangan Islam.
Anugerah diraja itu telah dilancarkan pada tahun 2010 sebagai satu anugerah dwitahunan anjuran Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai menyokong inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC). Anugerah Diraja itu menumpukan kepada rekod pencapaian dan sumbangan cemerlang individu terhadap pembangunan global kewangan Islam.
Penerima pertama Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam tersebut pada tahun 2010 ialah Shaikh Saleh Abdullah Kamel dari Arab Saudi yang kerja-kerjanya sepanjang empat dekad telah menyumbang kepada penggunaan global kewangan Islam dan impaknya terhadap kewangan, ekonomi dan sosial terus kekal di seluruh dunia.
Pemenang Anugerah Diraja bagi kewangan Islam akan menjadi model contoh bagi memberikan inspirasi kepada orang lain untuk menyumbang ke arah kemajuan industri. Untuk maklumat lanjut mengenai Anugerah Diraja, sila layari www.mifc.com/award
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Bagi pihak Inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC)
Pihak Media boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di talian 03-62048595 (Anita Harben), 03-62048305 (Lau Mei San), atau faks: 03-62015078 atau e-mel: [email protected].
Mengenai MIFC
Inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) telah dilancarkan pada tahun 2006 untuk membangunkan Malaysia sebagai hab antarabangsa kewangan Islam; tempat perjumpaan untuk mereka yang mempunyai lebihan dana dan untuk mereka yang mahu mengumpulkan dana, dari mana-mana tempat di dunia. Malaysia juga menjadi pusat penggerak inovasi dan kepimpinan pemikiran dalam kewangan Islam.
Inisiatif MIFC mengandungi rangkaian komuniti pengawal selia sektor kewangan negara ini, termasuk Bank Negara Malaysia (Bank Pusat Malaysia), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan dan Bursa Malaysia (Bursa Malaysia Kuala Lumpur), kementerian dan agensi kerajaan, serta penggiat industri daripada perbankan, takaful, takaful semula, institusi pasaran modal, institusi pembangunan modal insan dan syarikat perkhidmatan sokongan profesional yang menyertai dan bekerjasama dalam kewangan Islam.
Malaysia mengalu-alukan penggiat industri menjalankan perniagaan antarabangsa dalam kewangan Islam sambil menikmati persekitaran urus niaga yang sangat kondusif. Sebagai destinasi pelaburan kewangan, Malaysia menawarkan platform dan pintu bagi peluang pelaburan global patuh Syariah melalui inisiatif MIFC. Malaysia mempunyai banyak institusi kewangan antarabangsa yang menawarkan kepakaran meluas dan pelbagai jenis produk dalam kewangan Islam. Terdapat perkaitan perniagaan yang penting dalam setiap segmen industri kewangan patuh Syariah, dengan peluang yang amat menarik untuk institusi, mereka yang berbakat dalam bidang tersebut, pelabur dan penerbit sekuriti global.
Jawatankuasa Eksekutif MIFC (ExCo) terdiri daripada kumpulan pegawai peringkat tinggi daripada kementerian dan agensi utama kerajaan; pengawal selia kewangan dan pasaran serta institusi kewangan. Ia bertujuan untuk menyelaras hala tuju dan pelaksanaan inisiatif MIFC dengan cekap dan berkesan.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif MIFC, sila layari www.mifc.com.
Mengenai Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia (BNM) ditubuhkan pada tahun 1959, bawah Akta Bank Pusat Malaysia 1958 (perundangan baru digubal pada tahun 2009). Bank pusat tersebut dipertanggungjawabkan bagi menjaga kestabilan monetari dan kewangan dan melakukan pemantauan ke atas sistem pembayaran di negara ini.
Sehingga kini, BNM telah memberikan sumbangan penting kepada pembangunan sektor kewangan yang menyeluruh, cekap dan cergas, yang berupaya memenuhi keperluan sofistikated pengguna dan perniagaan yang semakin meningkat. Sektor kewangan Malaysia kini merangkumi kedua-dua perkhidmatan kewangan konvensional dan Islam.
Berfokus kepada kewangan Islam yang mana Malaysia mempunyai satu sistem kewangan Islam komprehensif yang telah dibangunkan dengan baik dan semakin bertaraf antarabangsa. Dalam sistem kewangan ini, BNM meluluskan lesen bagi penubuhan Bank Islam Antarabangsa dan Pengusaha Takaful Antarabangsa, serta memfokuskan kepada pembinaan institusi termasuk penubuhan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah bagi Kewangan Islam Antarabangsa (ISRA) dalam menggalakkan latihan, pendidikan dan penyelidikan bagi memajukan pembangunan bakat dalam industri perkhidmatan kewangan Islam. Dalam pada itu, Majlis Penasihat Syariah BNM memastikan penggunaan prinsip-prinsip Syariah ke atas perkhidmatan kewangan Islam oleh penyedia di bawah bidang kuasa BNM dan bertindak sebagai penasihat kepada BNM mengenai perkara-perkara berkaitan Syariah bagi perkhidmatan berkenaan.
Layari www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.
Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), yang ditubuhkan bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, adalah sebuah badan statutori yang melapor kepada Menteri Kewangan Malaysia.
SC mempunyai tanggungjawab secara langsung bagi menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran has termasuk bursa dan rumah penjelasan, serta orang yang dilesenkan bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Fungsi ini diperkukuh dengan matlamat utama untuk melindungi pelabur. SC juga bertanggungjawab menggalakkan dan membangunkan pasaran sekuriti dan derivatif di Malaysia.
SC mempelopori pembangunan pasaran Islam Malaysia (ICM) dengan menubuhkan Majlis Penasihat Syariah (MPS) bagi memberikan nasihat terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan aktiviti dan produk pasaran modal Islam. Sehingga kini, SC telah membina kerangka kerja yang komprehensif dan mudah cara bagi dana Islam dan pengurusan kekayaan. Selain itu, SC juga memacu inovasi produk dalam sektor ekuiti dan sukuk Islam (bon Islam); di samping menggalakkan pendidikan, latihan, perundingan dan penyelidikan bagi ICM.
Layari www.sc.com.my untuk maklumat lanjut.
Lihat juga: Profil Juri [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.