Asia/Pacific Group on Money Laundering (APG) Merumuskan Mesyuarat Tahunan 2022 dengan Pengukuhan Usaha Memerangi Jenayah Kewangan Global

29 Jul 2022 Siaran Akhbar

Sebanyak lebih 370 wakil antarabangsa dari rantau Asia Pasifik dan juga seluruh dunia telah berhimpun di Kuala Lumpur minggu ini dari 24 hingga 28 Julai 2022 bagi menghadiri mesyuarat tahunan Asia/Pacific Group on Money Laundering (APG) secara hibrid.

Mesyuarat ini dirasmikan oleh Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia dan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Gabenor Marzunisham Omar daripada Bank Negara Malaysia dan Timbalan Pesuruhjaya Ian McCartney daripada Australian Federal Police. Para wakil bermesyuarat selamat empat hari dan membincangkan isu-isu penting berhubung dengan jenayah kewangan serius yang memberikan kesan pada rantau dan juga dunia.

Mesyuarat ini dihadiri oleh presiden Financial Action Task Force (FATF), Encik Raja Kumar daripada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (Ministry of Home Affairs) Singapura. Pelantikan beliau sebagai Presiden FATF pada bulan lepas akan memantapkan lagi suara rantau ini dalam usaha global untuk memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

APG merupakan organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada 41 negara dan bidang kuasa anggota di rantau Asia/Pasifik dan telah ditubuhkan pada tahun 1997 di Bangkok, Thailand. Anggotanya, termasuk Malaysia, sangat komited untuk melaksanakan standard antarabangsa terhadap jenayah kewangan serius yang memberikan kesan kepada sistem kewangan.

Pada minggu ini, APG telah mencapai beberapa hasil penting termasuk:

  • Penerapan laporan susulan penilaian bersama dan laporan tipologi;
  • Keputusan tadbir urus dan organisasi yang penting berhubung dengan masa hadapan APG;
  • Mengkaji semula haluan strategik FATF bagi pusingan penilaian peringkat negara yang seterusnya serta kesannya terhadap urusan APG; dan
  • Mesyuarat yang telah diadakan antara penyedia bantuan teknikal dengan banyak anggota APG untuk menambah baik sistem perundangan dan sistem pengawalseliaan kewangan berhubung dengan pencegahan pengubahan wang haram.

Tahun 2022 menandakan peristiwa penting APG iaitu ulang tahunnya yang ke-25. Beberapa sambutan telah diadakan sepanjang minggu bagi meraikan peristiwa ini. Sejak 25 tahun penubuhannya, APG terus berkembang dengan kukuh, mulai daripada 13 anggota pengasas kepada kini menjadi badan serantau yang merangkumi organisasi-organisasi serupa (FATF-Style Regional Body, FSRB) yang terbesar dalam rangkaian AML/CFT global.

Malaysia berbesar hati kerana telah mempengerusikan APG selama dua tahun dan khususnya pada sambutan ulang tahunnya yang ke-25. Mesyuarat Tahunan APG minggu ini menandakan tamatnya tempoh Malaysia menggalas peranan selaku Pengerusi Bersama APG. Sepanjang tempoh mempengerusikan APG secara bersama, Malaysia memuktamadkan keutamaan untuk menyokong usaha pembinaan keupayaan dalam bidang analisis data, kerjasama awam-swasta (public-private partnership, PPP) dan penyeliaan Perniagaan dan Profesion Bukan Kewangan yang Ditentukan (Designated Non-Financial Businesses and Professions, DNFBP).

Hasil yang dicapai pada minggu ini telah meletakkan APG serta negara dan bidang kuasa anggotanya pada kedudukan yang lebih baik untuk menentang jenayah kewangan serta menewaskan usaha penjenayah dan pengganas untuk menjatuhkan integriti sistem kewangan antarabangsa. APG juga mengalu-alukan Kanada yang mengambil alih kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi Bersama APG (secara giliran) yang baharu.

 

Bank Negara Malaysia
Asia/Pacific Group on Money Laundering


Bank Negara Malaysia
29 Julai 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?