Assistant Governor Dr. Awang Adek's Speech at the Seminar on the Use of the National Language in the Financial Services Industry
Kuala Lumpur | 9 September 1999
Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang menjemput saya untuk memberi ucapan di majlis pada hari ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan disini, bagi pihak Bank Negara Malaysia, untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada penganjur bersama, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Insurans Malaysia, di atas usaha mereka menganjurkan seminar penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Industri Kewangan, dalam rangka Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta 1996-2000 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.
Seperti yang kita semua maklum, kedaulatan Bahasa kebangsaan telah lama termaktub dalam Perlembagaan Negara. Tetapi, kedaulatan yang benar-benar bermakna hanya lahir apabila Bahasa Kebangsaan digunakan dengan meluas oleh semua lapisan masyarakat dalam segala macam kegiatan di negara ini. Inilah cabaran yang perlu disahut oleh semua pihak, semestinya oleh pihak Kerajaan, dan diharap turut didokongi oleh sektor swasta. Sahutan kepada seruan atau cabaran ini hanya akan berjaya sekiranya pengakuan dan komitmen diikuti dengan perancangan stratejik yang dapat diterjemahkan kepada kenyataan. Kemuncaknya ialah untuk mencapai matlamat dasar Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa utama digunakan di Malaysia, dalam segenap aspek, dan mampu pula menjurus Malaysia ke arah sebuah negara maju dalam alaf baru, yang mempunyai jatidiri sendiri.
Sementara Bahasa Melayu didaulatkan sebagai Bahasa Kebangsaan, Kerajaan juga telah menyokong gagasan penggunaan dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris, memandangkan Bahasa Inggeris memainkan peranan penting dalam perhubungan ekonomi dan politik dunia. Ini merupakan satu strategi yang pragmatis untuk meluas dan meningkatkan kualiti penggunaan Bahasa Kebangsaan, tanpa menjejaskan kemampuan mengguna bahasa Inggeris dalam urusan-urusan tertentu, seperti yang diperuntukan dalam Akta Bahasa kebangsaan 1963/67.
Sehubungan dengan gagasan penggunaan dwibahasa, Bank Negara Malaysia sangat-sangat menghargai kerjasama rapat yang wujud diantara Dewan Bahasa dan industri kewangan untuk mempertingkatkan lagi penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam industri kewangan. Beberapa projek penting telah dan sedang dijalankan. Saya difahamkan bahawa sejumlah 29,000 istilah kewangan, yang merangkumi bidang pelaburan, insurans, perbankan dan pasaran modal, sedang diselaraskan dan dijangka siap sepenuhnya dipertengahan tahun depan. Pada masa yang sama, usahagigih juga sedang dijalankan untuk menterjemah borang-borang dan dokumen kewangan ke dalam Bahasa kebangsaan. Kesemuanya terdapat 90 borang dan dokumen kegunaan bank, 84 untuk syarikat kewangan dan 34 untuk syarikat insurans. Borang-borang dan dokumen untuk syarikat insurans telah selesai diterjemahkan dan polisi insurans dalam Bahasa Kebangsaan juga telah disempurnakan dan dilancar pada hari ini.
Saya yakin dengan projek-projek penterjemahan yang dijalankan berserta dengan dasar dan iltizam yang mendalam untuk melihat penggunaan Bahasa Kebangsaan yang lebih meluas dalam sektor kewangan, kejayaan kelak akan menjadi lebih terserlah untuk meletakkan sektor kewangan lebih setanding dengan sektor-sektor lain di negara ini dalam penggunaan Bahasa Kebangsaan.
Bank Negara Malaysia tetap prihatin dengan matlamat Dasar Bahasa Kebangsaan, dan akan terus berusaha bersama industri kewangan untuk mempastikan penggunaan Bahasa Kebangsaan terus berkembang dimasa-masa hadapan. Kita tidak mahu melihat nanti wujudnya segolongan masyarakat Malaysia yang tidak dapat memperolehi perkhidmatan kewangan yang mencukupi dan berpatutan, semata-mata kerana masalah Bahasa pengantar. Setelah lebih 40 tahun negara kita Merdeka, soal bahasa sebagai satu halangan dalam urusan harian seharusnya tidak timbul sama sekali. Dengan kata lain, setiap pelanggan yang berurusan dengan institusi kewangan sepatutnya merasa selesa untuk membuat urusan dalam Bahasa kebangsaan sekiranya ia memilih untuk berbuat demikian, dan keselesaan yang sama sepatutnya juga dirasakan oleh kakitangan institusi kewangan yang terbabit. Ini seharusnya menjadi matlamat dan wawasan kita bersama dalam industri kewangan, khususnya sistem perbankan.
Sememangnya diakui, pada masa kini, masih banyak lagi ruang untuk kita mempertingkatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam sektor kewangan. Kekurangan di masa lepas sudah tentu disebabkan oleh berbagai faktor termasuk faktor sejarah, dimana pengelibatan orang-orang Melayu dan golongan Bumiputera dalam sektor kewangan dimasa lepas adalah agak kurang.
Seperti yang kita semua maklum, Institusi perbankan mula wujud di tanah air sewaktu negara berada dibawah penjajahan. Ianya bermula dengan penubuhan Chartered Mercantile Bank pada tahun 1859. Oleh kerana bank-bank pada zaman sebelum merdeka dikuasai oleh bank-bank milik asing, maka bahasa utama yang digunakan adalah bahasa Inggeris. Perkembangan bank tempatan bermula dengan tertubuhnya Kwong Yik (Selangor) Banking Corporation pada tahun 1913 oleh pedagang-pedagang berketurunan Cina. Selepas itu, beberapa buah bank lagi berjaya ditubuhkan oleh pedagang-pedagang Cina tempatan untuk memenuhi keperluan masyarakat pedagang pada masa tersebut. Dalam suasana yang sedemikian, Bahasa Melayu sudah tentu tidak digunakan sebagai bahasa komunikasi di institusi-institusi perbankan tempatan.
Apabila negara mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1957 dan Bank Negara Tanah Melayu ditubuhkan pada tahun 1959, barulah bank-bank milik tempatan berkembang pesat dan penggunaan bahasa Melayu mula mendapat perhatian. Namun begitu, bahasa Melayu tetap menghadapi persaingan sengit daripada bahasa Inggeris yang merupakan bahasa kewangan dan perdagangan dunia sehingga hari ini.
Walau apapun, liku-liku sejarah tidak boleh dijadikan alasan untuk kita memandang ringan terhadap usaha memperluaskan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam sektor kewangan. Sejak tahun 1959 lagi, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan Laporan Tahunan dan Laporan Suku Tahunan dalam bahasa Melayu (selain daripada dalam bahasa Inggeris) buat rujukan golongan yang lebih cenderung membaca dalam bahasa Melayu. Apabila Bank Negara Malaysia mengambil alih pengawalseliaan sektor insurans pada tahun 1988, Laporan Tahunan Insurans telahpun dikeluarkan dalam dwibahasa dan amalan tersebut diteruskan sehingga hari ini. Selain daripada mendaulatkan bahasa Melayu, secara tidak langsung, usaha ini sedikit sebanyak telah menyangkal pendapat sesetengah pihak yang meragui keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan dan kewangan, dan pendapat bahawa istilah-istilah bahasa Melayu dalam bidang ekonomi dan kewangan adalah kurang lengkap dan serba berkurangan. Usaha Bank Negara ini adalah sebagai sokongan terhadap usaha-usaha pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang telah banyak menerbitkan buku-buku dan kamus-kamus dalam bidang perdagangan dan kewangan buat rujukan umum.
Sejak tahun 1996, berbagai usaha telah dipertingkatkan ke arah penggunaan Bahasa Kebangsaan. Sejak tahun itu, Bank Negara Malaysia mula menggunakan bahasa Kebangsaan dengan meluas dalam urusan surat-menyuratnya, melainkan dalam urusan dengan rakyat asing di luar negara. Bahkan surat-surat yang diterima dalam bahasa Inggeris sering juga dibalas dalam bahasa Melayu. Ini telah memberi kesan positif apabila kebanyakan institusi perbankan dan pihak-pihak lain turut menggunakan bahasa kebangsaan dengan lebih meluas dalam urusan surat-menyurat dengan Bank Negara Malaysia.
Sesungguhnya, Bank Negara Malaysia adalah komited untuk melihat penggunaan bahasa kebangsaan berkembang pesat di kesemua institusi perbankan, dan telahpun mengeluarkan surat pekeliling kepada institusi-institusi kewangan pada tahun 1996 untuk menggalakkan penggunaan bahasa Kebangsaan oleh industri kewangan. Bank Negara Malaysia berbangga melihat kebanyakan institusi kewangan telah berjaya mempertingkatkan penggunaan bahasa kebangsaan, di samping bahasa lain, di dalam aspek dokumentasi yang melibatkan pelanggan, seperti borang-borang dan dokumen kewangan. Bank Negara juga telah meminta institusi kewangan termasuk insurans, berkomunikasi secara bertulis dengan pelanggan yang menggunakan bahasa kebangsaan, dalam bahasa yang sama.
Bank Negara Malaysia ingin mengucapkan tahniah diatas kesungguhan industri insurans, khusunya Institut Insurans Malaysia, yang telah berjaya melaksanakan beberapa kegiatan penting ke arah peningkatan penggunaan bahasa kebangsaan. Antaranya adalah seperti berikut:-
-
Mengadakan halaman Web bagi Direktori Ansuran Bahasa Indonesia (dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia), serta menyediakan Panduan Insurans Motor Interaktif dan Glosari Insurans.
-
Menjalankan kursus dan seminar dalam bahasa kebangsaan, seperti (i) Kursus Pemasaran Insurans Hayat dan (ii) Sijil Insurans Persendirian serta diploma Pemasaran insurans. Selain daripada itu, sejak bulan Oktober 1997 hingga sekarang, tidak kurang daripada 16 seminar berkaitan dengan urusan insurans dan dua seminar khusus mengenai penggunaan bahasa kebangsaan telah diadakan. Institut Insurans Malaysia juga telah mengeluarkan 4 buku teks untuk peperiksaan insurans dalam bahasa kebangsaan.
Pada masa yang sama, industri insurans secara keseluruhan telah berupaya menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan surat-menyurat dengan orang ramai. Surat-menyurat yang diterima dalam bahasa kebangsaan sudah tentu dibalas dalam bahasa kebangsaan. Sijil-sijil, polisi-polisi insurans, borang-borang cadangan dan tuntutan, serta dokumen-dokumen lain yang sering digunakan telah selesai dicetak dalam bahasa Kebangsaan, dan versi ini telahpun diberi keutamaan. Penggunaan bahasa kebangsaan pada dokumen yang tidak standard dan kontrak polisi yang kompleks pula, boleh dibuat berdasarkan kepada kehendak dan pilihan pelanggan sama ada untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan atau Inggeris.
Justeru itu, saya ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas dayausaha industri insurans. Semoga usaha seumpama ini akan berterusan dan meningkat dari semasa ke semasa, dan dapat pula mendorong institusi-institusi lain dalam sektor kewangan untuk menempa kejayaan yang sama.
Bersempena kemunculan alaf baru, usaha ke arah menggalakkan penggunaan Bahasa Kebangsaan di institusi-institusi kewangan tempatan harus diperhebatkan lagi. Pihak Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Syarikat-syarikat Kewangan Malaysia (AFCM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), serta lain-lain badan yang berkaitan, adalah digesa supaya memainkan peranan yang lebih aktif bagi menggalakkan ahli masing-masing untuk mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan. Pihak pengurusan semua institusi perbankan dan syarikat kewangan pula patut menjadi contoh kepada kakitangan bawahan mereka, di samping memberi galakan yang sewajarnya bagi memastikan supaya bahasa kebangsaan digunakan secara lebih meluas di institusi masing-masing. Tegasnya, semua pihak perlu menghayati matlamat pelaksanaan bahasa kebangsaan secara lebih mendalam, bagi memastikan hasrat memperluaskan penggunaan bahasa Kebangsaan di institusi-institusi kewangan dapat direalisasikan dengan lebih cepat serta lebih berkesan.
Bank Negara Malaysia akan terus meneliti dan memantau perkembangan dan pencapaian institusi-institusi perbankan dan syarikat-syarikat insurans dalam penggunaan Bahasa Kebangsaan di masa akan datang. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat termasuk Dewan Bahasa kerana berjaya menjalankan kaji selidik yang komprehensif mengenai status penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor kewangan pada tahun 1995, yang mana telah banyak memberi maklumbalas berguna kepada Bank Negara. Saya berharap usaha murni ini dapat diteruskan pada masa hadapan supaya kemajuan sektor kewangan dalam penggunaan bahasa kebangsaan dapat dinilai dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Semoga dengan usaha dan kerjasama semua pihak, pelaksanaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan harian institusi-institusi perbankan akan menjadi lebih bermakna, sekaligus menapati citarasa pengguna dan memenuhi matlamat Dasar Negara.
Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya mengelolakan Seminar Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Industri Perkhidmatan Kewangan pada hari ini.
Bank Negara Malaysia
9 September 1999
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.