Assistant Governor's Speech at the Bumiputera Life Insurance Agent Convention 2009 and Bumiputera Chief Agency Excellent Award Ceremony 2009 : "Creativity Drives Performance"
Hotel Legend | 1 Ogos 2009
Terlebih dahulu izinkan saya memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita bersama-sama menghadiri Konvensyen Ejen Insurans Hayat Bumiputera dan penyampaian Anugerah Cemerlang Ketua Agensi Bumiputera Tahun 2009. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada (MII) yang memberi penghormatan kepada saya untuk merasmikan Konvensyen Ejen Insurans Hayat Bumiputera bagi tahun 2009 pada pagi ini.
Jika pada tahun lepas jumlah peserta yang menghadiri konvensyen yang sama ini ialah 321 orang, pada kali ini, saya dimaklumkan bahawa bilangan tersebut telah meningkat kepada lebih 500 orang peserta. Ini menunjukkan semakin ramai dalam kalangan ejen, menaruh keyakinan yang tinggi dan serius terhadap kerjaya ini. Saya percaya bilangan peserta akan terus bertambah pada masa-masa yang akan datang.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada mereka yang berjaya terpilih menerima Anugerah Cemerlang Ketua Agensi Bumiputera 2009. Saya diberitahu bahawa upacara penganugerahan ini julung-julung kali diadakan dan sesungguhnya ia merupakan satu pengiktirafan kepada saudara saudari yang hadir. Anugerah seumpama ini haruslah dijadikan inspirasi dan dorongan kepada kita semua agar terus berusaha dengan lebih giat lagi bagi mempertingkatkan tahap khidmat yang cemerlang serta berwibawa, berintegriti dan berkualiti demi mendapat keyakinan penuh di kalangan masyarakat. Semoga kejayaan rakan-rakan kita ini akan dijadikan contoh untuk diteladani.
Pemilihan tema Konvensyen pada tahun ini, iaitu "Kreativiti Menjana Prestasi" adalah bersesuaian. Persekitaran ekonomi yang semakin mencabar dan transformasi landskap kewangan ketika ini, tidak memberi banyak pilihan kepada kita selain melakukan suatu anjakan paradigma untuk terus relevan di dalam industri insurans ini. Hanya mereka yang serba boleh, kreatif, inovatif dan serius dalam membangunkan kerjaya masing-masing sebagai ejen insurans dapat bertahan untuk melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan berkesan bagi memenuhi kehendak pengguna yang semakin sofistikated dan dinamik.
Saya ingin memulakan wacana pada pagi ini dengan menyentuh secara
ringkas cabaran persekitaran yang sedang kita hadapi rentetan kemelut kewangan global yang berpunca daripada krisis subprima. Krisis kewangan ini telah menyebabkan banyak negara-negara di dunia terjerumus ke kancah kemelesetan ekonomi yang berat dibandingkan dengan beberapa dekad yang lalu. Meskipun Malaysia tidak tergolong dalam negara-negara yang mengalami kemelesetan yang buruk, negara kita tetap menerima kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi. Untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap keutuhan sistem kewangan dalam keadaan semasa yang mendesak dan tidak menentu ini, kerajaan di seluruh dunia telah terpaksa campur tangan dengan mengambil langkah proaktif sebagai usaha mengembalikan kestabilan serta keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan di negara masing-masing. Dan kebanyakan langkah-langkah ini telah diambil oleh banyak negara-negara Asia pada tahun 1997 - 98, yang menerima kritikan yang begitu berat ketika itu.
Dalam suasana yang mencabar ini, industri insurans di negara kita terus mempamerkan kedudukan kewangan yang stabil dengan keperluan modal yang mencukupi. Industri insurans kita adalah teguh. Ini merupakan satu kejayaan kepada industri kita. Prestasi industri insurans am dan hayat memperlihatkan pertumbuhan positif dengan mencatat peningkatan pendapatan premium purata yang disatukan sebanyak 5% pada tiga tahun kebelakangan ini. Industri takaful pula mencatatkan pertumbuhan pendapatan caruman takaful am dan keluarga yang memberangsangkan sebanyak 32% dalam tempoh masa yang sama. Begitu juga, aset kumpulan wang insurans mencatat pertumbuhan sebanyak 7% untuk mencapai RM131 bilion pada akhir tahun 2008. Aset kumpulan wang insurans pada tahun lepas mencakupi 5.1% daripada jumlah aset dalam sistem kewangan Malaysia, jauh lebih tinggi daripada 2.9% yang dicapai 18 tahun yang lalu.
Cabaran yang Dihadapi oleh Industri Insurans dan Para Ejen
Berlatarkan perkembangan industri insurans yang positif ini, prospek pertumbuhan industri insurans adalah sangat cerah dengan peluang-peluang perniagaan terbentang luas kepada ejen-ejen yang berwibawa. Kadar penembusan pasaran (yang diukur dari segi polisi insurans hayat dan takaful keluarga yang berkuat kuasa terhadap jumlah penduduk), masih rendah, iaitu pada kadar 48.5% sahaja berbanding dengan negara-negara seperti Jepun dan Singapura, di mana kadar tersebut masing-masing mencecah melebihi 80%. Kadar penembusan pasaran dalam kalangan Bumiputera pula adalah yang paling rendah, iaitu kurang daripada 10%. Ini memberi gambaran kepada kita bahawa pasaran yang belum diterokai masih luas dan peluang perniagaan kepada mereka yang ingin menjadi ejen insurans adalah memberangsangkan. Statistik menunjukkan penglibatan golongan Bumiputera sebagai ejen insurans hayat masih berada pada tahap yang rendah. Sehingga Mac 2009, ejen Bumiputera hanya mencakupi 17.8% daripada jumlah keseluruhan ejen insurans hayat, iaitu seramai 13,400 orang.
Seperkara yang membanggakan kita ialah hampir separuh daripada bilangan keseluruhan ejen Bumiputera adalah berkelulusan tinggi, sekurangnya di peringkat kolej atau universiti. Tahap keilmuan yang tinggi ini harus dimanfaatkan oleh ejen sebaik yang boleh dijadikan sebagai pemangkin untuk melonjakkan prestasi ke tahap yang lebih tinggi lagi. Pengiktirafan terhadap ejen-ejen yang berjaya akan mendorong lebih ramai lagi graduan-graduan muda untuk menceburi bidang ini sebagai kerjaya masing-masing.
Kebanyakan negara di seluruh dunia sedang menghadapi perubahan demografi yang amat pesat dengan pertambahan yang ketara dalam kategori penduduk warga emas. Benua Asia mencatat pertambahan bilangan warga emas yang paling tinggi. Pada tahun 2025, dianggarkan 700 juta penduduk di Asia berusia lebih daripada 60 tahun. Kita juga tidak terkecuali dari perubahan demografi ini. Di Malaysia, jangka hayat penduduk pada masa ini ialah 71 tahun bagi lelaki dan 76 tahun bagi perempuan. Angka ini dijangka akan meningkat masing-masing kepada 75 tahun dan 79 tahun pada tahun 2020. Perubahan demografi ini mempunyai implikasi penting terutamanya ke atas pembiayaan persaraan dan penjagaan kesihatan. Dijangkakan pada masa hadapan, lebih ramai rakyat Malaysia akan memperuntukkan sebahagian besar daripada pendapatan mereka ke dalam skim persaraan swasta dan insurans perubatan. Syarikat-syarikat insurans dan wakil ejen masing-masing harus mengambil kesempatan terhadap perubahan dalam landskap insurans yang dinamik ini, di samping menggunakan pendekatan strategik bagi meraih peluang keemasan yang terdapat di dalamnya. Akan tetapi, beberapa persediaan perlu dilakukan terlebih dahulu, khususnya buat anda yang berada di dalam dewan pada pagi ini.
Dalam mengorak langkah untuk menjadi ejen yang lebih berjaya, beberapa ciri tertentu perlu diterapkan di dalam diri kita. Tahap profesionalisme yang tinggi, integriti dan etika yang baik adalah antara nilai murni yang perlu ada dalam diri setiap ejen insurans. Ini harus disulami pula dengan kompetensi lain seperti, pengetahuan yang meluas mengenai produk, keperluan pelanggan, kreativiti dan inovatif sebagai prasyarat untuk terus meningkatkan prestasi dan mutu perkhidmatan. Bagi menguasai kreativiti, seseorang tidak semestinya dilahirkan sebagai seorang yang kreatif. Sebaliknya, ia merupakan kompetensi yang boleh dikuasai melalui iltizam yang kuat. Ingin saya tekankan di sini bahawa ilmu pengetahuan merupakan tonggak utama daya kreativiti. Dengan pengetahuan yang luas mengenai produk-produk kewangan yang berada di pasaran termasuk insurans, ejen insurans yang kreatif dapat menawarkan pakej kewangan yang menyeluruh kepada pelanggan. Seseorang ejen yang bijak akan berjaya mendampingi pelanggannya melebihi satu generasi, menyediakan perkhidmatan insurans yang diperlukan oleh pelanggan berkenaan dalam kitaran hayatnya. Ejen sebagai penasihat perlindungan kewangan kepada pelanggan boleh memberi nasihat apa yang terbaik untuk diri serta keluarganya demi menjamin masa depan mereka. Sememangnya menjadi tanggungjawab setiap ejen untuk mengekalkan tanggapan positif pengguna dan masyarakat terhadap tenaga agensi dan juga industri insurans keseluruhannya supaya tidak dicemari dengan ketidakyakinan serta ketidakpercayaan.
Ejen yang kreatif juga berani menggunakan imaginasi bagi melaksanakan idea serta strategi baru di luar kebiasaan bagi mengharungi cabaran-cabaran yang mereka hadapi. Amalan lazim yang boleh mendorong kepada sikap cepat berpuas hati dengan keadaan sekeliling perlu dikikis. Dengan memiliki sifat atau budaya kreatif dan inovatif dalam mengharungi dan mengatasi cabaran, ejen insurans akan lebih mampu berdaya saing. Kejayaan industri insurans kita seharusnya tidak lagi dinilai berdasarkan pertumbuhan pendapatan premium semata-mata. Sebaliknya, ukuran kejayaan perlu juga berlandaskan keupayaan untuk memperkenalkan perubahan, idea-idea dan produk baru serta meningkatkan mutu perkhidmatan yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat.
Antara usaha yang perlu diberi tumpuan oleh saudara dan saudari sekalian dalam menjana prestasi perniagaan yang lebih berkualiti dan berdaya maju adalah seperti yang berikut:
- Terus menerokai strategi baru dalam pemasaran produk dan perkhidmatan insurans kepada pelanggan yang berdasarkan keperluan, perubahan dan perkembangan persekitaran
- Berubah mengikut peredaran masa dan menyampaikan maklumat serta nasihat secara tepat dan selaras dengan keperluan pelanggan. Sebagai langkah memastikan tahap pengetahuan dan skil para ejen sentiasa tinggi, program pembangunan profesional yang berterusan telah pun diperkenalkan;
- Teroka peluang perniagaan baru, misalnya sebagai penasihat kewangan yang mempunyai prospek perniagaan yang lebih luas. Sukacita dimaklumkan di sini bahawa mereka yang berminat untuk membuka dan memperluaskan perniagaan agensi ataupun menaik taraf perniagaan mereka sebagai penasihat kewangan boleh memohon pinjaman di bawah Skim Pembiayaan Mikro yang ditawarkan oleh institusi kewangan di Malaysia. Butiran skim dan cara memohon boleh didapati di laman web Bank Negara Malaysia; dan
- Meningkatkan lagi peluang kerjaya kepada lebih ramai Bumiputera sebagai ejen insurans memandangkan penembusan insurans di kalangan masyarakat Bumiputera yang masih rendah lagi. Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia telah memberikan kelonggaran untuk membenarkan syarikat insurans menawarkan pembiayaan tanpa faedah yang lebih tinggi kepada ejen-ejen baru. Diharap langkah ini dapat membantu menggiatkan lagi industri ini.
Di samping itu, Dana Latihan Bumiputera yang dibiayai sepenuhnya oleh industri insurans menyediakan latihan khusus untuk ejen Bumiputera bagi meningkatkan tahap profesionalisme mereka. Dalam lima tahun kebelakangan ini, sebanyak RM985,323 daripada jumlah dana tersebut telah digunakan bagi melatih lebih daripada 2,500 ejen Bumiputera insurans hayat.
Masa yang terus beredar dan teknologi yang semakin canggih telah melahirkan masyarakat pengguna yang berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang. Golongan pengguna ini adalah lebih lantang bersuara dan berani menyuarakan pendapat dan perasaan. Kini kehendak mereka semakin sofistikated dan dinamik serta sangat mengharapkan tahap ketelusan yang tinggi. Dalam hal ini, bagi membantu pengguna mendapatkan akses kepada maklumat yang mencukupi mengenai produk insurans, dan pada masa yang sama memastikan para ejen dapat menyediakan maklumat yang tepat kepada pelanggan, satu rangka kerja penzahiran telah dibangunkan dan akan dilaksanakan pada 1 Januari 2010. Ini bertujuan supaya pengguna dapat membuat keputusan yang bijak dalam pembelian sesuatu produk insurans. Ejen-ejen hendaklah bersedia menghadapi trend masa kini yang lebih menekankan pada aspek peningkatan tahap ketelusan dalam pemasaran dan jualan produk kewangan dengan menyesuaikan diri untuk berurusan dengan pengguna yang lebih berpendidikan dan sofistikated.
Saudara dan saudari sekalian, nilai ketelusan harus dititikberatkan dan dipraktiskan dalam apa jua konteks, termasuk dalam industri insurans dan takaful. Seperti yang diterangkan dalam ayat 282 dan 283 Surah al-Baqarah, ketelusan adalah penting dalam setiap urusniaga bagi memastikan semua pihak dilayan dengan adil. Ayat-ayat tersebut juga menerangkan bahawa segala tindakan yang diambil dalam sesuatu urusniaga adalah tanggungjawab semua pihak yang terlibat. Berdasarkan prinsip inilah, ketelusan telah menjadi rukun asas bagi semua urusniaga takaful yang berteraskan prinsip-prinsip Syariah. Pengendali takaful dikehendaki membuat pendedahan yang secukupnya dan menjadikan ketelusan sebagai asas untuk meningkatkan tadbir urus korporat dan melindungi kepentingan semua pihak yang berkenaan. Antara keperluan pendedahan yang penting perlu dilakukan dalam urusniaga takaful ialah segala maklumat mengenai sesuatu kontrak takaful, termasuk caj-caj dan fi wakala perlu dinyata dengan jelas dalam setiap dokumen takaful. Dalam hal ini, syarikat insurans perlu bersedia untuk menganjak ke tahap ketelusan yang sama juga.
Sesungguhnya, ejen insurans merupakan pengantara kritikal bagi membina titian antara mereka yang memerlukan perlindungan kewangan dan pihak yang menyediakan perkhidmatan tersebut. Sebagai wakil syarikat insurans, interaksi pengguna dengan ejen membentuk persepsi pengguna terhadap industri insurans. Jika pengalaman pengguna berurusan dengan ejen memuaskan, tanggapan pengguna terhadap industri insurans juga positif. Begitu juga sebaliknya. Pendek kata, tindak tanduk ejen melambangkan industri insurans itu sendiri. Iktibar yang boleh saudara dan saudari ambil daripada hakikat ini ialah, ejen sebagai pemangkin keutuhan imej industri insurans perlu sentiasa bersikap profesional, beretika mulia dan responsif terhadap kehendak pelanggan.
Isu yang kerap kali dikaitkan dengan tingkah laku ejen insurans hayat ialah amalan penggantian polisi (Replacement of policy) yang dilakukan oleh ejen yang tidak bertanggungjawab dengan memujuk pelanggan untuk bertukar polisi yang sedia ada kepada polisi baru demi untuk meraih komisen yang lebih tinggi pada tahun-tahun awal polisi berkuat kuasa. Amalan sebegini sudah tentu tidak menguntungkan pengguna dan semata-mata dilakukan untuk kepentingan ejen. Pengguna yang terlibat sudah tentu akan merasa tertipu dan dengan demikian, akan berakhirlah hubungan ejen-pelanggan yang akrab.
Seperkara lagi yang menjejaskan hubungan baik antara ejen dengan pelanggan ialah sifat tidak amanah yang melibatkan premium yang diterima daripada pelanggan tidak dihantar kepada syarikat insurans bahkan digunakan oleh ejen untuk tujuan peribadi. Sekiranya berlaku sesuatu kecelakaan/kemalangan, pelanggan sudah tentu tidak mempunyai perlindungan yang sewajarnya. Amalan-amalan tersebut bukan sahaja tidak amanah malah merupakan suatu kesalahan di sisi agama.
Kupasan Insurans dari Sudut Islam
Izinkan saya menyentuh secara ringkas mengenai sistem takaful yang wujud seiring dengan sistem insurans dalam suasana unik di Malaysia. Takaful telah dikenal pasti sebagai satu sektor yang dipromosikan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam Antarabangsa. Pihak kerajaan telah bertanggungjawab menyediakan sistem kewangan Islam sebagai sistem alternatif atau pilihan, yang dilengkapi produk-produk dan amalan-amalan yang berlandaskan kehendak Syariah. Gunakanlah peluang ini untuk membangunkan perniagaan. Seseorang ejen yang berwibawa akan berusaha memahami konsep takaful bagi memudahkannya berinteraksi secara bijak dengan pelanggan. Produk takaful sama ada takaful keluarga atau am boleh dilihat sebagai memberi pilihan kepada pengguna yang sekarang ini lebih sofistikated dari segi citarasa.
Kini bilangan pengendali takaful berjumlah lapan kesemuanya. Ini adalah suatu perkembangan yang sihat dari segi perluasan kepelbagaian produk di pasaran bagi memenuhi kepelbagaian keperluan pengguna masa kini. Ia seharusnya dilihat secara positif sebagai melengkapi sistem yang sedia ada dengan tujuan yang satu, iaitu menawarkan produk yang bersesuaian dengan kehendak pengguna yang pelbagai. Usaha kerajaan untuk membangunkan sektor takaful telah menunjukkan kejayaan yang besar. Pada tahun 1990, jumlah aset dan pendapatan caruman takaful adalah hanya masing-masing sebanyak RM28.4 juta dan RM38.2 juta sahaja. Pada bulan Mac 2009, aset dan pendapatan caruman telah meningkat dengan begitu besar sekali, masing-masing mencecah RM10.4 bilion dan RM762.2 juta.
Akhirulkalam, saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada Institut Insurans Malaysia kerana menganjurkan konvensyen seumpama ini. Tahniah juga saya ucapkan kepada semua penerima "Anugerah Cemerlang Ketua Agensi Bumiputera 2009". Saya yakin, dengan berbekalkan daya kreativiti dan inovasi yang tinggi, matlamat yang jelas dan semangat yang gigih ke arah peningkatan perniagaan agensi, saya percaya saudara dan saudari mampu untuk terus melangkah ke mercu kejayaan.
Dengan lafaz 'Bismillahirahmannirrahim', saya dengan sukacitanya merasmikan Konvensyen Ejen Insurans Hayat Bumiputera 2009.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.