Bank Indonesia, Bank Negara Malaysia, Bangko Sentral Ng Pilipinas, Monetary Authority of Singapore dan Bank of Thailand memeterai kerjasama rangkaian pembayaran serantau
Bank Indonesia (BI), Bank Negara Malaysia (BNM), Bangko Sentral Ng Pilipinas (BSP), Monetary Authority of Singapore (MAS) dan Bank of Thailand (BOT) telah bersetuju untuk mengukuhkan dan meningkatkan kerjasama rangkaian pembayaran bagi menyokong pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, telus dan inklusif. Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding, MOU) Rangkaian Pembayaran Serantau (Regional Payment Connectivity, RPC) telah dimeterai pada 14 November 2022 di Bali, Indonesia, dalam satu acara berasingan semasa Sidang Kemuncak Pemimpin G20 dengan penyampaian ucaptama oleh Presiden Indonesia, Tuan Yang Terutama Joko Widodo.
Semasa ucapan pada majlis menandatangani MOU ini, Presiden Widodo menegaskan kepentingan kerjasama yang mantap dalam menangani cabaran global. Presiden Widodo turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kelima-lima Gabenor bank pusat atas komitmen mereka untuk mencapai kejayaan besar yang inovatif, yang akan mencepatkan lagi rangkaian pembayaran serantau.
RPC dijangka menjadi penyumbang penting dalam mempercepat pemulihan ekonomi serantau serta menggalakkan pertumbuhan yang inklusif. Pelaksanaan rangkaian pembayaran rentas sempadan ini dilihat dapat menyokong dan meningkatkan aktiviti perdagangan, pelaburan, pengukuhan kewangan, pengiriman wang, pelancongan dan kegiatan ekonomi yang lain merentas sempadan. Di samping itu, kerjasama ini juga berpotensi untuk menggalakkan ekosistem kewangan yang lebih inklusif di rantau ini. Pelaksanaan RPC ini akan memberikan manfaat khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana kerana RPC akan memudahkan penyertaan mereka ke pasaran antarabangsa. Kerjasama ini akan merangkumi beberapa modaliti, termasuk kod QR dan pembayaran pantas.
Usaha mempercepat pendigitalan ekonomi dan kewangan telah menjadi inisiatif global dengan penetapan Roadmap for Enhancing Cross-border Payments oleh G20. Inisiatif kerjasama ini juga selaras dengan agenda keutamaan Presidensi G20 Indonesia dalam bidang transformasi digital, termasuk melalui sistem pembayaran dalam era digital, dan ditunjukkan dengan jelas melalui usaha sama mempertingkatkan rangkaian pembayaran rentas sempadan antara Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand. Pada masa hadapan, inisiatif rangkaian pembayaran ini boleh diperluas untuk merangkumi negara-negara lain di rantau ini serta berpotensi melibatkan negara-negara dari rantau lain. Peristiwa penting ini juga menandakan titik permulaan bagi Indonesia sebagai Pengerusi Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) pada tahun 2023.
Kerjasama ini juga menyokong aspirasi bersama ASEAN untuk mewujudkan rangkaian sistem pembayaran serantau yang akan membolehkan pembayaran rentas sempadan yang pantas, lancar dan lebih berpatutan. Selaras dengan pendekatan pragmatik ASEAN untuk memperdalam integrasi melalui pengaturan yang bermanfaat kepada semua berdasarkan tahap kesediaan, inisiatif ini akan membina asas-asas utama untuk membolehkan penyertaan yang lebih luas dari negara ASEAN lain dalam masa terdekat, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan ekonomi serantau.
Gabenor BI, Perry Warjiyo menegaskan, “MOU ini berperanan sebagai satu pencapaian penting untuk membuka laluan bagi memacu rangkaian pembayaran rentas sempadan. Pengaturan rangkaian pembayaran dua hala sedia ada akan diperluas sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan integrasi ekonomi rantau ini. Kerjasama antara bank pusat sebegini merupakan faktor penting bagi mempercepat pemulihan ekonomi. Kami berharap negara lain akan mengikuti contoh dan kepimpinan yang baik ini dalam usaha melaksanakan rangkaian pembayaran rentas sempadan.”
Nor Shamsiah Yunus, Gabenor BNM, berkata, “Inisiatif ini menegaskan kepentingan kerjasama bank pusat dalam menyokong usaha pembangunan rangkaian pembayaran generasi baharu. Usaha untuk merealisasikan visi rangkaian pembayaran rentas sempadan ASEAN yang pantas dan cekap akan memacu cita-cita pendigitalan serta memperkukuh integrasi kewangan demi manfaat pembangunan ekonomi rantau ini.”
Ravi Menon, Pengarah Urusan MAS, berkata, “MOU ini mengukuhkan komitmen ASEAN untuk mencapai pembayaran serantau yang saling boleh kendali (interoperability) dan saling berhubung menjelang tahun 2025 bagi membolehkan pembayaran rentas sempadan yang lebih murah, lebih pantas dan lebih telus. Usaha ASEAN adalah sejajar dengan matlamat G20 untuk menangani kekangan sedia ada dalam pembayaran rentas sempadan global, mencipta peluang perniagaan baharu dan membolehkan pertumbuhan yang inklusif.”
Timbalan Gabenor BSP, Mamerto E. Tangonan yang mewakili Gabenor BSP Felipe M. Medalla, menambah, “Semakin kita menyedari tahap ekonomi kita saling bergantung, semakin giat usaha yang perlu kita laksanakan demi mencapai visi iaitu rantau ASEAN yang saling berhubung kait. MOU ini memantapkan pendekatan kerjasama dan inklusif dalam usaha mempertingkatkan pembayaran rentas sempadan di ASEAN yang seterusnya akan menghasilkan peningkatan kecekapan dan penjimatan kos dalam pelbagai transaksi kewangan dan kegiatan ekonomi antarabangsa.”
Timbalan Gabenor BOT, Ronadol Numnonda yang mewakili Gabenor BOT Sethaput Suthiwartnarueput, menegaskan, “Rantau ASEAN kini telah menjadi pusat tumpuan global bagi jalinan pembayaran rentas sempadan. Berlandaskan usaha-usaha sebelum ini, MOU ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam inisiatif ASEAN Payment Connectivity bagi menangani kekangan dalam pembayaran rentas sempadan yang telah lama wujud. MOU ini juga menggabungkan jalinan pembayaran rentas sempadan dua hala yang sedia ada antara negara ASEAN dan akan menjadi asas kerjasama pelbagai hala pada masa hadapan. Usaha mempertingkatkan rangkaian pembayaran serantau juga akan membuka laluan kepada transformasi digital ASEAN dan memperdalam integrasi kewangan di rantau ini."
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Bank Indonesia
Ketua Jabatan Komunikasi
Erwin Haryono
Pengarah Eksekutif
Tel: (+62 21) 131
E-mel: [email protected]
Bangko Sentral ng Pilipinas
Joanna Eileen M. Capones
Director, Communication Office
Tel: (+632) 8811-1277 locals 3025 / 3026
E-mel: [email protected]
Monetary Authority of Singapore
Corporate Communications Division
Bridgitte Lee
Deputy Director
Tel: +65 6229 9262
E-mel: [email protected]
Bank Indonesia
Bank Negara Malaysia
Bangko Sentral Ng Pilipinas
Monetary Authority of Singapore
Bank of Thailand
14 November 2022
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.