Bank Negara Malaysia and Securities Commission Malaysia Sign MOU to Enhance Joint Regulatory Oversight

Embargo: Untuk siaran segera
30 Okt 2012 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini.  MoU ini terus mengukuhkan MoU terdahulu yang ditandatangani oleh Bank Negara Malaysia dan SC pada tahun 2002 dan 2007.  Ia mengambil kira perubahan landskap kewangan dan rejim pengawalseliaan antarabangsa yang baharu.
 
MoU ini menggariskan skop kolaborasi dan kerjasama yang lebih luas antara Bank Negara Malaysia dengan SC, dengan tumpuan kepada bidang kepentingan bersama yang utama bagi memelihara kestabilan sektor kewangan dan pasaran modal.  Dengan termeterainya MoU ini, matlamat untuk berkolaborasi, bekerjasama dan berkongsi maklumat akan ditingkatkan bagi membolehkan kedua-dua agensi pengawalseliaan ini menjalankan mandat mereka dengan berkesan. 
 
Di bawah MoU ini, bidang yang dirangkumi termasuklah perumusan perundangan dan dasar, pengawalan dan penyeliaan entiti di bawah kawal selia bersama Bank Negara Malaysia  dan SC, penyeliaan sistem pembayaran, pengiktirafan bersama perancang dan penasihat kewangan dan cara penyiasatan dan tindakan penguatkuasaan.
 
MoU yang dipertingkat ini merintis jalan ke arah kesinambungan kerjasama dan perkongsian maklumat antara Bank Negara Malaysia dengan SC dalam bidang penting yang berkaitan untuk menangani ancaman terhadap kestabilan kewangan dan risiko sistemik termasuk penyeliaan kumpulan kewangan, pengurusan krisis kewangan, penyeliaan pasaran wang dan pasaran derivatif, pembanterasan ancaman yang berkaitan dengan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan serta penyeliaan juruaudit institusi kewangan.
 
MoU ini ditandatangani oleh Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia dan Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC, selepas mesyuarat Dua hala antara Bank Negara Malaysia  dengan SC di bangunan Suruhanjaya Sekuriti di Bukit Kiara.  Majlis penandatanganan ini disaksikan oleh pihak pengurusan kanan Bank Negara Malaysia  dan SC.
 
BANK NEGARA MALAYSIA
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Bank Negara Malaysia
30 Oktober 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?