Bank Negara Malaysia dan Bank Dunia Mengumumkan Inisiatif untuk Mendorong Sektor Kewangan Menyokong Hasil Positif bagi Alam Semula Jadi
- Panduan penilaian risiko kewangan untuk institusi kewangan dan perniagaan di Malaysia menilai risiko dan impak berkaitan alam semula jadi
- Penggemblengan modal swasta untuk penyelesaian berasaskan alam semula jadi
Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Dunia mengumumkan dua inisiatif penting untuk mendorong sektor kewangan menyokong hasil positif bagi alam semula jadi. Pengumuman itu dibuat pada COP28[1] bersempena dengan Hari Kewangan di Pavilion Malaysia di Dubai.
Inisiatif-inisiatif ini akan memudahkan pertimbangan berkaitan dengan alam semula jadi diterapkan ke dalam proses membuat keputusan dan pada masa yang sama menyokong aliran kewangan ke arah penyelesaian berasaskan alam semula jadi. Inisiatif ini merupakan susulan kepada saranan yang dikemukakan dalam laporan ‘An Exploration of Nature-related Financial Risks in Malaysia’ yang diterbitkan pada tahun 2022.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, "Kerjasama yang diumumkan pada hari ini ialah satu bentuk pengiktirafan terhadap kesan risiko berkaitan alam semula jadi pada negara berkepelbagaian biologi yang tiada tandingannya seperti Malaysia. Kerjasama yang dimeterai pada hari ini akan memberikan keselarasan yang lebih baik antara aliran kewangan dengan hasil yang positif."
Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Ndiame Diop berkata, “Melalui kerjasama ini, Malaysia menyasarkan untuk membangunkan langkah-langkah yang mantap bagi meningkatkan kewangan berkaitan alam semula jadi, lantas mempamerkan contoh yang baik kepada negara lain yang menghadapi kesukaran menangani risiko ekonomi dan kewangan berkaitan alam semula jadi.”
Panduan penilaian risiko kewangan berkaitan alam semula jadi untuk institusi kewangan dan perniagaan Malaysia
Panduan penilaian risiko akan dibangunkan melalui rundingan dengan Sekretariat Taskforce on Nature-related Financial Disclosures (TNFD). Matlamat inisiatif ini adalah untuk menyokong institusi kewangan dan perniagaan Malaysia dalam usaha mengenal pasti dan menilai kebergantungan, impak risiko dan peluang yang berkaitan dengan alam semula jadi bagi sesebuah organisasi. Panduan ini akan berdasarkan pendekatan bersepadu yang dibangunkan oleh TNFD untuk mengenal pasti dan menilai isu berkaitan alam semula jadi yang dikenali sebagai pendekatan LEAP[2].
Rundingan ini akan diadakan apabila BNM menjadi ahli TNFD Forum, iaitu kumpulan perundingan global pelbagai disiplin yang selari dengan misi dan prinsip TNFD.
Penggemblengan modal swasta untuk penyelesaian berasaskan alam semula jadi
BNM dan Bank Dunia akan memudahkan pembangunan instrumen kewangan yang inovatif bagi menyokong pelaburan swasta terhadap alam semula jadi. Hal ini termasuk menyediakan peraturan yang diperlukan bagi menyokong hasil yang positif bagi alam semula jadi dan merintis struktur kewangan baharu.
[1] Persidangan Kumpulan Rangka Kerja Konvensyen Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu ke-28
[2] Pendekatan LEAP (Locate, Evaluate, Assess, Prepare) ialah proses bersepadu yang dibangunkan oleh TNFD bagi membantu organisasi mengenal pasti dan menilai impak, kebergantungan, risiko dan peluang berkaitan alam semula jadi walaupun tanpa penzahiran rasmi (https://tnfd.global/publication/additional-guidance-on-assessment-of-nature-related-issues-the-leap-approach/)
Bank Negara Malaysia
03 Disember 2023
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.