Bank Negara Malaysia dan Bank of Mauritius Menandatangani MoU untuk Menggalakkan Kerjasama dalam Usaha Bina Upaya

Embargo: Untuk siaran segera
19 Okt 2010 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia dan Bank of Mauritius menandatangani Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding, MoU) pada 7 Oktober 2010 untuk mewujudkan rangka kerja usaha sama bagi meningkatkan kerjasama dalam usaha bina upaya dan pembangunan modal insan industri perkhidmatan kewangan, termasuk sektor perkhidmatan kewangan Islam. MoU tersebut telah ditandatangani oleh Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, dan Tuan Yang Terutama Rundheersing Bheenick, Gabenor Bank of Mauritius, semasa Mesyuarat Tahunan IMF/Bank Dunia 2010 di Washington D.C.

Menyedari potensi pertumbuhan kewangan Islam dan peranan utama Malaysia sebagai pusat kewangan Islam, MoU ini akan merintis jalan ke arah kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dengan Mauritius dalam pembangunan tenaga mahir, kepakaran, hubungan perniagaan dan sokongan infrastruktur dalam kewangan Islam.


Bank Negara Malaysia
19 Oktober 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?