Bank Negara Malaysia dan Bank of Thailand Memperkukuh Usaha Sama untuk Meningkatkan Daya Tahan Siber

10 Apr 2025 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding, MoU) untuk memperkukuh usaha kerjasama dalam keselamatan siber dan perlindungan daripada penipuan digital. Inisiatif ini juga menggalakkan hubungan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua bank pusat yang membolehkan perkongsian maklumat, bina upaya dan pertukaran amalan terbaik yang lebih berkesan.

MoU ini ditandatangani oleh Gabenor BNM, Dato' Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Gabenor BOT, Tuan Yang Terutama Dr. Sethaput Suthiwartnarueput.

MoU ini menegaskan komitmen BNM dan BOT untuk meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber dan memperkukuh pertahanan siber industri kewangan kedua-dua negara.

Gabenor BNM Dato' Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “BNM terus komited untuk meningkatkan daya tahan institusi kewangan negara dan memantapkan perlindungan pengguna kewangan terhadap ancaman siber semasa dan yang baru muncul. Usaha sama dengan Bank of Thailand ini akan memperdalam kerjasama kami berhubung dengan keselamatan siber dan pembanterasan penipuan digital.”

Gabenor BOT Tuan Yang Terutama Sethaput Suthiwartnarueput pula berkata, “MoU ini mencerminkan komitmen BOT untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi memperkukuh keselamatan siber dan memerangi penipuan digital. Kerjasama erat dan perkongsian pengetahuan adalah sangat penting untuk menangani ancaman siber yang semakin canggih. Melalui usaha sama ini, matlamat kami adalah untuk meningkatkan lagi daya tahan dan keselamatan sistem kewangan demi manfaat pengguna di kedua-dua negara.”

Bank Negara Malaysia
Bank of Thailand

10 April 2025


Bank Negara Malaysia
10 April 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?