Bank Negara Malaysia dan Central Bank of the United Arab Emirates meningkatkan kerjasama bagi mengeratkan hubungan sektor kewangan
Bank Negara Malaysia hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Central Bank of the United Arab Emirates dalam satu acara berasingan semasa Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa/Bank Dunia di Washington D.C. MoU ini ditandatangani oleh Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia dan Tuan Yang Terutama Sultan bin Nasser Al Suwaidi, Gabenor Central Bank of the United Arab Emirates.
MoU ini menyediakan rangka kerja pengukuhan kerjasama dua hala dengan Central Bank of the United Arab Emirates bagi meningkatkan hubungan perkhidmatan kewangan antara kedua-dua negara, termasuk dalam bidang kewangan Islam. Ini bagi menyokong dan terus mengeratkan jalinan hubungan kewangan dan ekonomi antara Malaysia dengan Emiriah Arab Bersatu.
Semasa mengulas mengenai MoU ini, Gabenor Zeti berkata, "Memorandum Persefahaman ini menyediakan saluran selanjutnya bagi kedua-dua bank pusat ini untuk bekerjasama dalam bidang yang akan mengeratkan hubungan kewangan dan ekonomi. Saya mengalu-alukan kerjasama dan usaha sama dengan Central Bank of the United Arab Emirates bagi memperkukuh hubungan sektor kewangan kedua-dua negara."

Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia dan
Tuan Yang Terutama Sultan bin Nasser Al Suwaidi, Gabenor Central Bank of the United Arab Emirates
menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Washington D.C.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.