Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia Perkukuh Kerjasama Strategik terhadap Pengawalan dan Penyeliaan AML/CFT dan TFS

22 Ogo 2022 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada hari ini telah menandatangani Terma Kerjasama bagi mengukuhkan lagi kerjasama pengawalan dan penyeliaan berhubung dengan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan (AML/CFT) dan Sekatan Kewangan Bersasar (Targeted Financial Sanctions, TFS).

Terma Kerjasama ini menggariskan tanggungjawab pengawalan dan penyeliaan BNM dan SSM berhubung dengan pengawalan dan penyeliaan ke atas setiausaha syarikat dan syarikat amanah. Terma ini juga akan membolehkan pendekatan yang lebih berstruktur diambil dalam usaha menilai risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (ML/TF) bagi kedua-dua sektor serta meningkatkan kapasiti keinstitusian dalam bidang-bidang ini.

Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Yunus berkata, “Perjanjian yang dimeterai pada hari ini adalah hasil kerjasama yang teguh antara BNM dengan SSM selama bertahun-tahun. BNM berbesar hati kerana dapat bekerjasama rapat dengan SSM untuk menjamin dan mengekalkan integriti sistem kewangan. Kami yakin bahawa SSM dapat melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar untuk menjalankan penyeliaan AML/CFT ke atas setiausaha syarikat dan syarikat amanah pada masa terdekat ini.”

Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, “Penting bagi setiausaha syarikat dan syarikat amanah untuk mengetahui dan memahami  peranan serta dedahan risiko berkaitan dengan ML/TF terhadap fungsi mereka. Pengetahuan dan pemahaman ini akan membentuk asas untuk mereka memahami dan memantapkan langkah pencegahan terhadap kegiatan jenayah ini. Perjanjian yang ditandatangani pada hari ini merupakan satu langkah penting ke arah mencapai matlamat tersebut."

Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Syarikat Malaysia
22 Ogos 2022


Bank Negara Malaysia
22 Ogos 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?