Bank Negara Malaysia Melantik Dua Penolong Gabenor Baharu

Embargo: Untuk siaran segera
26 Apr 2018 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan dua Penolong Gabenor baharu iaitu Encik Nazrul Hisyam Mohd Noh dan Encik Tan Nyat Chuan, berkuat kuasa pada 1 Mei 2018.

Sebagai Penolong Gabenor, Encik Nazrul Hisyam akan memegang peranan selaku Ketua Staf dan Setiausaha kepada Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia serta bertanggungjawab terhadap Pejabat Gabenor, Jabatan Komunikasi Strategik dan Jabatan Pengurusan Strategik.

Sebelum pelantikan beliau sebagai Ketua Staf pada tahun 2016, Encik Nazrul Hisyam telah berkhidmat di Bank Negara Malaysia selama hampir 20 tahun dan memegang pelbagai peranan, yang terakhir ialah sebagai Pengarah, Jabatan Antarabangsa. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas di Cagamas Berhad. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda Ekonomi daripada University of Cambridge, United Kingdom.

Penolong Gabenor Encik Tan Nyat Chuan akan bertanggungjawab terhadap hal-hal sistem pembayaran.  Tanggungjawab utama beliau adalah untuk memastikan sistem penjelasan, penyelesaian dan pembayaran negara akan terus dilaksanakan secara mantap, selamat dan cekap.  Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas di Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. dan juga salah seorang ahli Jawatankuasa Kestabilan Kewangan dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko Bank Negara Malaysia.

Encik Tan Nyat Chuan mempunyai pengalaman kerja selama lebih 30 tahun di Bank Negara Malaysia dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah, Jabatan Audit Dalam. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Manchester Business School, United Kingdom dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada University of Iowa, Amerika Syarikat.

Penolong Gabenor Encik Nazrul Hisyam

 

 Penolong Gabenor Encik Tan Nyat Chuan

 

Bank Negara Malaysia
26 April 2018

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?