Bank Negara Malaysia Melantik Dua Penolong Gabenor Baharu

Embargo: Untuk siaran segera
07 Nov 2014 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan dua Penolong Gabenor baharu iaitu Encik Shaik Abdul Rasheed bin Abdul Ghaffour dan Encik Ahmad Hizzad bin Baharuddin.

Sebagai Penolong Gabenor, Encik Shaik Abdul Rasheed bin Abdul Ghaffour akan bertanggungjawab terhadap Jabatan Pengurusan Strategik, Pusat Pembangunan Modal Insan dan Jabatan Perkhidmatan IT.

Sebelum pelantikan beliau, Encik Shaik Abdul Rasheed bin Abdul Ghaffour telah dipinjamkan ke Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebagai Alternate Executive Director bagi Malaysia dalam IMF Executive Board dari November 2012 hingga Oktober 2014. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah di beberapa jabatan di Bank Negara Malaysia termasuk di Jabatan Dasar Kewangan Pruden, Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan dan Jabatan Pembangunan Sektor Kewangan. Beliau terlibat dalam pembentukan Pelan Sektor Kewangan 2011-2020. Encik Shaik Abdul Rasheed memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) daripada Universiti Malaya.

Sebagai Penolong Gabenor, Encik Ahmad Hizzad bin Baharuddin akan terus menerajui Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) sebagai Ketua Pengarah, iaitu jawatan yang disandang beliau sejak tahun 2011. Beliau bertanggungjawab untuk mempromosikan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) yang kukuh dan berdaya tahan.

Sebelum dipinjamkan ke Labuan FSA, Encik Ahmad Hizzad pernah berkhidmat sebagai Pengarah di beberapa jabatan di Bank Negara Malaysia, termasuk Jabatan Dasar Sistem Pembayaran, Jabatan Pembangunan Sektor Kewangan dan Jabatan Perbankan Islam dan Takaful. Encik Ahmad Hizzad memperoleh ijazah Sarjana Muda Sains dalam Perniagaan daripada Eastern Illinois University, Amerika Syarikat serta mempunyai Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Saint Louis University, Amerika Syarikat.

                   
Assistant Governor                  Assistant Governor
Encik Shaik Abdul Rasheed     Encik Ahmad Hizzad
bin Abdul Ghaffour                 bin Baharuddin


Bank Negara Malaysia
07 November 2014

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?