Bank Negara Malaysia Melantik Tiga Penolong Gabenor Baru
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan tiga Penolong Gabenor baru, Dato' Mohd Nor bin Mashor, Puan Lillian Leong Bee Lian dan Encik Gopala Krishnan Sundaram, berkuat kuasa 2 Ogos 2006.
Penolong Gabenor Dato' Mohd Nor bin Mashor, yang merupakan lulusan Ekonomi daripada Universiti Malaya, memulakan kerjayanya di Bank Negara Malaysia pada 1 April 1976 dan telah berkhidmat dalam Jabatan Ekonomi, Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang dan beberapa cawangan Bank. Sebelum pelantikan ini, Penolong Gabenor Dato' Mohd Nor bin Mashor ialah Pengarah Jabatan Perkhidmatan Korporat dan Setiausaha kepada Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia. Sebagai Penolong Gabenor, beliau akan bertanggungjawab terhadap Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Perkhidmatan Korporat, Jabatan Harta dan Perkhidmatan, dan Jabatan Keselamatan, dan masih merupakan Setiausaha kepada Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia.
Penolong Gabenor Puan Lillian Leong Bee Lian, yang merupakan lulusan Ekonomi daripada Universiti Monash, mula berkhidmat dengan Bank Negara Malaysia pada 1 Oktober 1976 dan telah berkhidmat di Jabatan Pengawalan Bank dan Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan. Sebelum pelantikan sebagai Penolong Gabenor, Puan Lillian Leong Bee Lian merupakan Ketua Perwakilan di Pejabat Perwakilan London Bank Negara Malaysia . Penolong Gabenor Puan Lillian Leong Bee Lian bertanggungjawab terhadap Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan, Jabatan Pentadbiran Pertukaran Asing dan Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang.
Penolong Gabenor Encik Gopala Krishnan Sundaram, yang merupakan lulusan Undang-Undang daripada Universiti Malaya di bawah biasiswa Bank Negara Malaysia, memulakan kerjayanya di Bank Negara Malaysia pada 1 April 1982 dan telah berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Korporat dan Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan. Sebelum pelantikan ini, beliau ialah Pengarah Jabatan Undang-Undang dan telah memainkan peranan penting dalam mendraf pelbagai undang-undang termasuk Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, Akta Perbankan Luar Pesisir 1990, Akta Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan 1996, dan Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005. Beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa Undang-Undang Monetari bagi Persatuan Undang-Undang Antarabangsa. Sebagai Penolong Gabenor, Encik Gopala Krishnan Sundaram bertanggungjawab terhadap Jabatan Undang-Undang, Jabatan Perkhidmatan IT dan Jabatan Kewangan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.