Bank Negara Malaysia Meluluskan Dua Lesen Takaful Semula

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1700 pada Isnin, 18 September 2006
18 Sep 2006 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan bahawa permohonan untuk menubuhkan syarikat takaful semula yang pertama di bawah Akta Takaful 1984 oleh Munich Re dan MNRB Holdings Berhad bagi mengendalikan perniagaan takaful semula am dan keluarga dalam industri takaful domestik telah diluluskan. Munich Re merupakan salah satu daripada syarikat insurans semula terbesar dengan perniagaannya di seluruh dunia meliputi lebih daripada 60 buah negara. MNRB Holdings Bhd ialah syarikat induk Malaysian Reinsurance Berhad, sebuah syarikat insurans semula nasional yang menjalankan perniagaan insurans semula. Inisiatif ini ialah salah satu daripada langkah berterusan oleh Bank Negara Malaysia untuk membangunkan infrastruktur institusi bagi menyokong pembangunan industri takaful. Sektor takaful berkembang pada kadar 25% setahun sejak lima tahun yang lepas dan jumlah aset industri bernilai RM6.5 bilion. Penubuhan syarikat takaful semula ini juga akan mempromosikan Malaysia sebagai pusat perniagaan takaful semula dalam mata wang antarabangsa, iaitu salah satu daripada langkah yang diambil untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa.


Bank Negara Malaysia
18 September 2006

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?