Bank Negara Malaysia Memberikan Status "Emas" bagi Terbitan Sukuk oleh Bank Pembangunan Islam
Bank Negara Malaysia dengan sukacita memberikan status "Emas" bagi terbitan sukuk USD500 juta oleh Bank Pembangunan Islam (Islamic Development Bank, IDB) pada bulan Oktober 2010, yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada hari ini. Sukuk ini adalah sebahagian daripada Nota Jangka Sederhana Islam pelbagai mata wang yang bernilai USD3.5 bilion atau program sukuk. "Emas" merupakan nama yang diberikan oleh Malaysia bagi bon dan sukuk dalam denominasi mata wang asing yang diterbitkan dari Malaysia dalam pasaran modal global. Perkataan "Emas" berasal daripada perkataan Melayu yang melambangkan nilai sejagat dan keselamatan.
IDB ialah institusi pembangunan multilateral yang menerbitkan dan menyenaraikan program sukuk mata wang asingnya di Malaysia. Sukuk yang diterbitkan dari Malaysia mencakupi 62% daripada jumlah sukuk global yang terdapat di pasaran.
Terbitan sukuk oleh IDB ini adalah susulan satu siri terbitan instrumen pembiayaan Islam dalam mata wang asing di Malaysia selepas sukuk Petronas USD1.5 bilion, sukuk Kerajaan Malaysia USD1.25 bilion, sukuk Nomura USD100 juta dan sukuk Khazanah SGD1.5 bilion sejak tahun 2009, mencerminkan pasaran sukuk Malaysia yang kukuh dan semakin matang.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.