Bank Negara Malaysia Memperkenalkan eCCRIS

Embargo: Untuk siaran segera
19 Jan 2018 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia mengumumkan pengenalan inisiatif baharunya iaitu eCCRIS, sebuah platform dalam talian yang selamat untuk orang ramai mengakses laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System, CCRIS) masing-masing, di mana-mana sahaja mengikut kemudahan mereka. Perkhidmatan ini disediakan secara percuma dan boleh didapati di seluruh negara mulai hari ini.

Laporan CCRIS menunjukkan rekod pembiayaan dan pembayaran balik peminjam dengan institusi kewangan peserta bagi tempoh 12 bulan yang lalu. Laporan CCRIS merupakan laporan maklumat pinjaman dan tidak memberikan penilaian kedudukan kredit peminjam serta bukannya suatu bentuk senarai hitam.

eCCRIS merupakan lanjutan usaha Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia dengan menggalakkan pengurusan kewangan yang berhemat. Dengan adanya eCCRIS, orang ramai kini boleh mengakses laporan CCRIS mereka secara dalam talian melalui laman sesawang eCCRIS. eCCRIS menyediakan instrumen dalam talian yang mudah untuk pengguna memantau dan mengesahkan kedudukan kredit termasuk rekod pembayaran balik pinjaman mereka. Pengguna juga boleh memohon pengesahan data secara langsung dengan institusi kewangan peserta melalui eCCRIS bagi mengesahkan dan meminda apa-apa maklumat yang tidak tepat dalam laporan CCRIS mereka. Melalui eCCRIS, pengguna boleh memantapkan urusan kewangan mereka.

Untuk mendaftar, orang ramai hanya perlu melakukan lima langkah mudah berikut:
1.    Pergi ke mana-mana pejabat Bank Negara Malaysia atau cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh negara untuk membuat pendaftaran sekali sahaja.
2.    Di kios CCRIS, pengguna perlu mengesahkan identiti mereka dengan menggunakan MyKad, dan mendaftarkan nombor telefon bimbit mereka yang sah. Bagi perniagaan, surat kebenaran dan sijil pendaftaran syarikat diperlukan untuk individu yang dibenarkan mendaftar bagi pihak syarikat.
3.    PIN 6 digit akan dihantar kepada nombor telefon bimbit yang didaftarkan.
4.    Pengguna dikehendaki memasukkan nombor MyKad dan PIN 6 digit untuk log masuk kali pertama di https://eccris.bnm.gov.my
5.    Pengguna seterusnya dikehendaki (i) menetapkan ID pengguna dan kata laluan pilihan, (ii) memilih imej dan frasa keselamatan peribadi, dan (iii) menetapkan tiga soalan keselamatan berserta jawapan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran eCCRIS, orang ramai boleh menghubungi BNM TELELINK di 1300 88 5465.



Bank Negara Malaysia
19 Januari 2018

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?