Bank Negara Malaysia Menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Perdagangan dan Pelaburan UK untuk Menggalakkan Saling Kerjasama dalam Kewangan Islam

Embargo: Untuk siaran segera
25 Feb 2009 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perdagangan dan Pelaburan UK (UK Trade and Investment, UKTI) bagi mewujudkan rangka kerja usaha sama untuk menggalakkan saling kerjasama dalam bidang kewangan Islam. MoU ini ditandatangani oleh Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor, Bank Negara Malaysia dengan Sir Andrew Cahn, Ketua Pegawai Eksekutif UKTI di London.

MoU ini akan merintis jalan bagi kedua-dua negara mengukuhkan kerjasama dalam membangunkan tenaga kerja mahir dan kepakaran, perhubungan perniagaan dan sokongan infrastruktur dalam kewangan Islam. Inisiatif strategik ini akan memudahkan pertukaran sumber dalam pembangunan modal insan dan menggalakkan pengiktirafan bersama piawaian dalam urus niaga kewangan Islam.

Dalam konteks perkembangan global semasa kewangan Islam, inisiatif ini akan menyumbang ke arah peningkatan pemahaman dan kesedaran mengenai kewangan Islam. Penandatanganan MoU ini menggambarkan komitmen negara untuk terus membangunkan industri kewangan Islam di United Kingdom (UK) dan Malaysia.

Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, "MoU ini menandakan wujudnya rakan kongsi usaha sama antara dua negara dalam bidang kewangan Islam dan berpotensi mengukuhkan kesalinghubungan antara pusat kewangan utama kewangan Islam dalam sistem kewangan antarabangsa."

Sir Andrew Cahn menegaskan bahawa "memandangkan semakin sukar memperoleh mudah tunai konvensional, syarikat-syarikat sedang berusaha mendapatkan pilihan kewangan alternatif, lantas ini membantu kewangan Islam berkembang dalam arus perdana pasaran kewangan antarabangsa. Meskipun tidak bermula di UK, kewangan Islam telah mendapat sambutan yang menggalakkan di UK dan kerjasama dengan Malaysia akan memantapkan kedudukan global kami sebagai pusat kewangan Islam yang cemerlang di negara barat."


Bank Negara Malaysia
25 Februari 2009

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?