Bank Negara Malaysia Menandatangani Perjanjian Murabahah Komoditi dengan CIMB Bank Berhad, London

Embargo: Untuk siaran segera
21 Jun 2007 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pemeteraian perjanjian Murabahah Komoditi dengan CIMB Bank Berhad, London pada 20 Jun 2007.

Program Murabahah Komoditi (PMK) yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Mac tahun ini merupakan sebahagian daripada pelbagai instrumen dasarnya untuk menguruskan kecairan jangka pendek dalam pasaran kewangan Islam antara bank di Malaysia.

Murabahah Komoditi ialah produk deposit tunai berdasarkan konsep Islam, iaitu urus niaga berasaskan komoditi, yang diterima di seluruh dunia, untuk memudahkan pengurusan kecairan dan pelaburan. PMK merupakan urus niaga berasaskan komoditi yang menggunakan kontrak berasaskan minyak sawit mentah sebagai aset dasarnya. Sehingga kini, Bank Negara Malaysia telah memeterai perjanjian induk Murabahah Komoditi dengan lapan buah institusi perbankan Islam di Malaysia dan sebuah institusi perbankan Islam di Arab Saudi.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk menggalakkan inovasi produk dan juga untuk memudahkan pengurusan kecairan institusi kewangan Islam. Penyertaan institusi kewangan Islam asing akan juga memperkukuh hubungan merentas sempadan dengan peningkatan aliran pelaburan antara Malaysia dengan pusat-pusat kewangan global yang lain.


Bank Negara Malaysia
21 Jun 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?