Bank Negara Malaysia Menandatangani Perjanjian Murabahah Komoditi dengan Saudi Hollandi Bank

Embargo: Untuk siaran segera
17 Mei 2007 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia mengumumkan pemeteraian perjanjian Murabahah Komoditi dengan Saudi Hollandi Bank Arab Saudi di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 16 Mei 2007. Saudi Hollandi Bank merupakan institusi perbankan Islam yang pertama di luar Malaysia menandatangani perjanjian Murabahah Komoditi dengan Bank Negara Malaysia.

Program Murabahah Komoditi (PMK) yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Mac tahun ini merupakan sebahagian daripada pelbagai instrumen dasarnya untuk menguruskan kecairan jangka pendek dalam pasaran kewangan Islam antara bank di Malaysia.

Murabahah Komoditi ialah produk deposit tunai berdasarkan konsep Islam iaitu urus niaga berasaskan komoditi, yang diterima di seluruh dunia, untuk memudahkan pengurusan kecairan dan pelaburan. PMK merupakan urus niaga berasaskan komoditi yang menggunakan kontrak berasaskan minyak sawit mentah sebagai aset dasarnya. Pada awal tahun ini, Bank Negara Malaysia telah memeterai perjanjian induk Murabahah Komoditi dengan lapan institusi perbankan Islam di Malaysia.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk menggalakkan inovasi produk dalam memudahkan pengurusan kecairan institusi kewangan Islam. Penyertaan institusi kewangan Islam asing akan terus memperkukuh hubungan merentas sempadan dan juga aliran pelaburan antara pusat-pusat kewangan Islam.


Bank Negara Malaysia
17 Mei 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?