Bank Negara Malaysia Menerbitkan "Buku Wang Saku" Dan "Buku Perancangan Dan Penyata Kewangan Keluarga" Bagi Tahun 2004
Bank Negara Malaysia menerbitkan "Buku Wang Saku" (BWS) dan "Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga" (BPPKK) bagi tahun 2004 hari ini. Kedua-dua buku tersebut merupakan terbitan siri keenam yang mana siri yang pertama telah diperkenalkan pada tahun 1999. Penerbitan kedua-dua buku ini adalah sebagai salah satu usaha yang berterusan untuk meningkatkan kesedaran umum tentang kepentingan pengurusan kewangan peribadi dan perancangan kewangan.
BWS adalah direkakan khusus untuk pelajar sekolah dan tema bagi tahun 2004 ialah “Pengurusan kewangan, kunci ke arah pelaburan yang bijak. BWS bagi tahun 2004 memaparkan ilustrasi aktiviti-aktiviti Kelab Kewangan Pelajar Sekolah (KKPS) termasuk beberapa permainan mengenai perancangan Kewangan dan pengajaran mengenai pelaburan. Aktiviti kokurikulum KKPS bersama dengan penggunaan BWS secara meluas dapat meningkatkan budaya dan tabiat pengurusan kewangan peribadi yang bijak di kalangan pelajar.
BPPKK bagi tahun 2004 pula adalah direka untuk golongan berkeluarga bagi membantu mereka menguruskan pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan pelaburan keluarga. Satu bahagian dalam buku ini memaparkan konsep “perancangan dan pembajetan” dalam menguruskan kewangan keluarga.
Kedua-dua buku kini boleh didapati di Muzium Matawang Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur; cawangan-cawangan Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu; Kedai Pos 2020 dan kedai-kedai buku terpilih. Buku-buku tersebut juga boleh didapati di bank-bank perdagangan mulai bulan Januari 2004.
BWS 2004 masih juga diilustrasikan oleh Y.Bhg. Dato’ Mohd Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Dato’ Lat. Buku-buku tersebut juga akan diedarkan ke sekolah-sekolah melalui bank-bank perdagangan, Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian Malaysia dan Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad di bawah Program Sekolah Angkat.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.