Bank Negara Malaysia Menerbitkan Laporan Tahunan 2020, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2020 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Kedua 2020
Bank Negara Malaysia (Bank) hari ini menerbitkan tiga laporan, iaitu Laporan Tahunan 2020 (Annual Report 2020, AR 2020), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2020 (Economic and Monetary Review, EMR 2020) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Kedua 2020 (Financial Stability Report Second Half 2020, FSR 2H2020).
Laporan Tahunan 2020
AR 2020 memperincikan inisiatif dan usaha Bank pada tahun 2020 bagi memenuhi mandatnya untuk mengggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.
Khususnya, laporan ini memaparkan cara Bank melaksanakan pelbagai langkah yang pantas dan meluas bagi mengurangkan kejutan kepada sistem kewangan dan ekonomi yang timbul akibat pandemik. Langkah-langkah ini termasuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR), memastikan mudah tunai yang mencukupi dan keadaan pasaran yang teratur. Bank telah bekerjasama dengan industri kewangan untuk memperkenalkan langkah-langkah bantuan kepada individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang layak bagi memberikan bantuan wang tunai segera kepada isi rumah dan perniagaan. Bagi menyediakan bantuan wang tunai segera kepada PKS yang berada dalam sektor ekonomi yang terjejas teruk dan meningkatkan keupayaan inovasi PKS berteknologi tinggi, Bank menyalurkan kemudahan pembiayaan di bawah Dana BNM untuk PKS melalui institusi kewangan bagi menyokong pemulihan mereka. Laporan ini juga memberikan sorotan tentang inisiatif yang diambil untuk membentuk kapasiti dan keupayaan sektor kewangan Malaysia bagi memenuhi keperluan ekonomi yang berubah. Inisiatif ini juga termasuk usaha menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi digital serta langkah-langkah mempercepat usaha membina ekonomi yang lebih berdaya tahan terhadap iklim.
AR 2020 juga memberikan penjelasan tentang operasi dan sumber Bank yang membolehkan Bank berfungsi dengan cekap dan berkesan. Laporan ini menerangkan cara Bank mengalihkan operasinya berikutan penularan pandemik, termasuk tindakan yang diambil bagi menjaga keselamatan dan kesihatan kakitangan Bank.
Empat rencana terkandung dalam AR 2020, merangkumi topik yang menarik minat orang ramai:
- Operasi mata wang yang dijalankan oleh Bank dalam mengharungi pandemik.
- Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia.
- Mata Wang Digital Bank Pusat dalam konteks Malaysia.
- Pengurusan kewangan peribadi.
Penyata Kewangan Bank Negara Malaysia untuk Tahun 2020 yang Diaudit turut terdapat dalam laporan ini. Seperti yang diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara, kedudukan kewangan Bank Negara Malaysia kekal kukuh pada tahun 2020. Jumlah aset Bank Negara Malaysia adalah sebanyak RM488 bilion, dengan keuntungan bersih sebanyak RM10.2 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. Daripada jumlah RM10.2 bilion ini, RM6.2 bilion akan dipindahkan ke dalam Kumpulan Wang Rizab Am. Bank Negara Malaysia mengumumkan dividen sebanyak RM4 bilion kepada Kerajaan untuk tahun 2020.
Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2020
EMR 2020 merupakan penerbitan teknikal yang memberikan tumpuan pada penilaian dan unjuran ekonomi yang dibuat oleh Bank.
Momentum pemulihan ekonomi global semakin bertambah baik. Terdapat kemajuan yang cukup besar dalam usaha membendung pandemik COVID-19, yang disokong oleh pelaksanaan program pemvaksinan di banyak negara, yang meningkatkan keyakinan dan menandakan keadaan akan kembali normal secara beransur-ansur. Rangsangan dasar terus memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi. Perdagangan antarabangsa juga mencatatkan peningkatan yang ketara.
Bagi Malaysia, ekonomi dijangka pulih pada tahun 2021, dengan pertumbuhan dalam lingkungan 6.0 - 7.5%. Pertumbuhan akan disokong oleh permintaan luar negeri yang lebih kukuh serta perbelanjaan swasta dan awam yang lebih tinggi.
Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan meningkatkan keyakinan dan menyokong pemulihan ekonomi. Integrasi Malaysia dalam segmen rantaian nilai global yang pesat berkembang dan struktur perdagangan luar negeri yang pelbagai, di samping sokongan dasar yang berterusan akan menjadi faktor penting yang memacu pemulihan ekonomi pada tahun 2021.
Walaupun masih terdapat risiko bahawa pertumbuhan ini akan menjadi perlahan dengan ketara, tumpuan dasar Bank dalam tempoh yang terdekat adalah untuk memudahkan pemulihan yang cepat dan mampan serta mengurangkan kehilangan output yang berkekalan. Oleh itu, teras dasar monetari pada tahun 2021 akan kekal akomodatif bagi memastikan keadaan yang menyokong pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik dan mampan. Biarpun inflasi keseluruhan dijangka meningkat, inflasi ini akan didorong terutamanya oleh faktor-faktor penawaran. Sebaliknya, tekanan harga keseluruhan akan kekal lemah dengan inflasi teras diunjurkan antara 0.5 – 1.5%, berikutan lebihan kapasiti dalam ekonomi.
Bank akan terus menggunakan instrumen dasar yang sewajarnya. Walaupun OPR semasa berada pada paras terendah dalam sejarah, iaitu 1.75% pada masa ini, ruang dasar monetari kekal mencukupi untuk memberikan sokongan tambahan kepada ekonomi jika diperlukan. Bank akan berhati-hati bagi mengelakkan sokongan dasar monetari ditarik balik terlalu awal. Tindakan ini dilengkapi dengan ketersediaan pelbagai instrumen pengurusan mudah tunai Bank, dasar kewangan yang bersasar dan fleksibiliti pengawalseliaan. Semua ini memberikan Bank fleksibiliti yang mencukupi untuk bertindak balas terhadap risiko menggunakan alat-alat dasar yang paling sesuai.
Melangkaui impak kitaran terhadap pertumbuhan, pandemik pada dasarnya telah membentuk semula landskap ekonomi serta cara kita mengendalikan perniagaan dan urusan harian. Pandemik ini telah mempertingkatkan tumpuan terhadap aspek kritikal dasar struktur yang perlu diberikan penekanan semula dengan segera. Dari satu segi, pandemik telah mempercepat peralihan ke arah penerapan teknologi dan agenda kelestarian. Dari sudut yang lain, pandemik telah menonjolkan jurang dalam pasaran pekerja dan sistem perlindungan sosial. Sebagai sebuah negara, hal ini merupakan peluang untuk kita mempercepat pelaksanaan pembaharuan struktur jangka panjang dan beralih ke arah ekonomi yang lebih mampan, berdaya tahan dan tangkas.
EMR 2020 mengandungi empat rencana mengenai isu penting dan relevan pada tempoh pascapandemik:
- Isu struktur dalam pasaran pekerja pascapandemik.
- Inovasi ke arah pertumbuhan yang berkualiti lebih tinggi.
- Sistem perlindungan sosial di Malaysia.
- Pembelian aset oleh Bank.
Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Kedua 2020
FSR SH2020 yang diterbitkan dua kali setahun ini juga merupakan penerbitan teknikal yang memperincikan analisis Bank mengenai penilaian dan prospek risiko terhadap kestabilan kewangan.
Sistem kewangan kekal dalam kedudukan yang utuh untuk menyokong pemulihan ekonomi, dengan tahap permodalan yang kukuh bagi menyerap sebarang potensi kerugian kredit dan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi untuk memudahkan aktiviti pengantaraan kewangan. Ujian tekanan yang dikemas kini oleh Bank yang turut termasuk senario buruk hipotetikal yang mengandaikan pemulihan berbentuk L, dengan KDNK mencatatkan pertumbuhan negatif pada tahun 2021 dan kekal di bawah tahap sebelum pandemik meskipun menjelang akhir tahun 2022, mengesahkan daya tahan sistem kewangan. Sistem perbankan dan sektor insurans juga dijangka mengekalkan nisbah modal melebihi tahap minimum pengawalseliaan walaupun berdasarkan senario yang disimulasikan.
Institusi kewangan juga kekal berdaya tahan dari segi operasi dan akan terus mengambil langkah mengukuhkan lagi pengaturan tindak balas terhadap krisis dengan mengambil kira cabaran operasi yang berpunca daripada pandemik. Seterusnya, pengaturan ini akan memberikan jaminan yang lebih besar mengenai keupayaan mereka untuk mengekalkan operasi penting dan meningkatkan kecepatan institusi kewangan membuat penyesuaian kepada keadaan operasi yang berubah pada masa hadapan.
Meskipun tekanan terhadap pendapatan institusi perbankan menjadi rendah mungkin berterusan pada tahun 2021 berikutan kos kredit yang lebih tinggi, kesannya dijangka kurang teruk berbanding dengan tahun 2020. Kesan ini sebahagiannya disebabkan oleh kegiatan menyediakan peruntukan lebih awal oleh institusi perbankan. Peningkatan ekonomi dalam negeri dan global, di samping langkah sokongan yang berterusan, termasuk langkah yang sedang dilaksanakan oleh institusi perbankan untuk berbincang dan berinteraksi serta membantu peminjam yang menghadapi kesukaran, akan membantu mereka mengekalkan keupayaan membayar balik hutang selanjutnya dan menyokong pendapatan institusi perbankan. Prestasi pendapatan institusi perbankan yang kukuh dapat berfungsi untuk mengekalkan aliran kredit tanpa gangguan bagi menyokong pemulihan ekonomi. Dalam sektor insurans dan takaful, kesan daripada langkah bantuan sementara dan banjir yang berlaku baru-baru ini, terhadap tahap keuntungan penanggung insurans dan pengendali takaful juga kekal terhad setakat ini.
Lihat juga:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.