Bank Negara Malaysia Menerbitkan Laporan Tahunan 2022, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menerbitkan Laporan Tahunan 2022 (Annual Report 2022, AR 2022), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 (Economic and Monetary Review 2022, EMR 2022) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022 (Financial Stability Review for Second Half 2022, FSR 2H2022).
Laporan Tahunan 2022
AR 2022 memperincikan inisiatif utama BNM pada tahun 2022 dalam melaksanakan mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. AR 2022 juga membentangkan laporan tentang operasi dan sumber yang membolehkan BNM berfungsi dengan cekap dan berkesan.
Sorotan AR 2022:
- Pembinaan ekosistem yang mantap yang memupuk inovasi, persaingan dan kedinamikan dalam sektor kewangan terus menjadi keutamaan BNM. Strategi penting dalam keutamaan ini adalah untuk memudahkan kemasukan peserta baharu yang mendahulukan digital (new digital-first players).
- BNM terus mengadakan kerjasama yang rapat dengan rakan industri untuk mengurangkan halangan kepada penggunaan e-pembayaran dan menggalakkan penggunaan e-pembayaran secara bertanggungjawab dan selamat termasuk melalui kempen e-Duit. BNM turut meningkatkan usaha untuk mewujudkan jalinan pembayaran merentas sempadan dengan Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand bagi membolehkan perkhidmatan pembayaran rentas sempadan yang lebih mudah, selamat dan lebih murah.
- BNM mempelopori kadar penanda aras berasaskan transaksi Islam mengikut International Principles for Financial Benchmarks. Kadar Semalaman Islam Malaysia (Malaysia Islamic Overnight Rate, MYOR-i) yang diperkenalkan ini akan menggalakkan inovasi produk kewangan Islam yang lebih meluas dan meningkatkan ketelusan harga bagi kontrak kewangan Islam. Selain itu, BNM dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menubuhkan Majlis Kepimpinan MIFC (MIFC Leadership Council) untuk memajukan lagi agenda kewangan Islam Malaysia dan menyediakan kepimpinan industri yang lebih besar.
- BNM akan terus bekerjasama dengan Kerajaan dan industri kewangan untuk meningkatkan usaha memerangi penipuan kewangan dalam talian, meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pencegahan penipuan dan memastikan ancaman siber diuruskan dengan berkesan. BNM juga mengukuhkan lagi kerjasama merentas sempadan bagi menambah baik usaha mengesan, menjejak dan mendapatkan semula dana mangsa melalui Financial Intelligence Consultative Group yang terdiri daripada 12 negara anggota.
- BNM telah mencapai kemajuan yang besar sepanjang tahun 2022 untuk menangani risiko berkaitan iklim. Tumpuan telah diberikan terhadap usaha memperkukuh daya tahan sektor kewangan terhadap iklim, mempertingkatkan sokongan pembiayaan dan perlindungan untuk perniagaan bagi mengurangkan jejak karbon mereka serta memajukan penyelidikan untuk memahami dengan lebih baik cara iklim dan alam semula jadi berinteraksi dengan sistem kewangan dan ekonomi.
AR 2022 memaparkan 11 rencana meliputi topik yang menarik minat orang ramai:
- Kadar Pertukaran Ringgit dan Ekonomi Malaysia;
- Inflasi: Dua tahun selepas pandemik;
- Memandu ke Masa Hadapan - Tuntutan Motor Digital;
- Memupuk Jalinan Antarabangsa dalam Kalangan Lembaga Syariah Pusat bagi Kewangan Islam;
- Majlis Kepimpinan MIFC: Mempergiat Kepimpinan Industri;
- Memperkasakan Komuniti Melalui Perkhidmatan Kewangan Digital;
- Jalinan Pembayaran Rentas Sempadan – Projek Nexus dan Usaha ke Arah Pendekatan Pelbagai Hala;
- Pemalsuan Wang Kertas di Malaysia: Trend, Cabaran dan Strategi;
- Mengukur Kemajuan ke Arah Ekonomi Rendah Karbon;
- Kehilangan Biodiversiti: Kesan terhadap Ekonomi dan Kestabilan Kewangan; dan
- Jom Berdigital dengan Yakin
AR 2022 juga berkongsi maklumat tentang Penyata Kewangan BNM yang Diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. Kedudukan kewangan BNM kekal stabil pada tahun 2022 seperti yang diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara. Jumlah aset BNM adalah sebanyak RM619.0 bilion setakat 31 Disember 2022. Keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM7.0 bilion dicatatkan bagi tahun kewangan itu dan daripada jumlah ini, sebanyak RM4.2 bilion telah dipindahkan ke dalam Rizab Risiko BNM. BNM telah mengumumkan dividen sebanyak RM2.8 bilion kepada Kerajaan untuk tahun kewangan 2022.
Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022
Tinjauan Ekonomi dan Monetari memaparkan penilaian dan unjuran ekonomi oleh BNM.
Sorotan EMR 2022:
- Pada tahun 2023, persekitaran ekonomi global dijangka kekal mencabar dan tidak menentu. Turut dalam jangkaan ialah pertumbuhan yang lebih perlahan dan dasar monetari yang lebih ketat dalam ekonomi utama, serta aktiviti perdagangan global yang lembap.
- Meskipun terdapat rintangan global, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.0% hingga 5.0% pada tahun 2023, disokong oleh permintaan dalam negeri yang teguh. Keadaan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik, pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun yang berterusan dan aktiviti pelancongan yang lebih tinggi dijangka menyokong penggunaan swasta dan pertumbuhan pelaburan.
- Inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjurkan berpurata antara 2.8% hingga 3.8% pada tahun 2023. Inflasi dijangka menjadi sederhana, didorong oleh harga komoditi utama yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, prospek inflasi pada tahun 2023 kekal cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi. Risiko peningkatan inflasi termasuk konflik geopolitik yang semakin meruncing lantas mengakibatkan harga komoditi yang lebih tinggi, keadaan cuaca yang melampau, permintaan dari China yang lebih kukuh daripada jangkaan dan kos input yang lebih tinggi disebabkan oleh perkembangan kadar pertukaran.
- Sistem perbankan domestik yang berdaya tahan dan kehadiran pelabur institusi domestik terus menyokong aktiviti pengantaraan kewangan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
- Dasar monetari akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pada masa yang sama memastikan persekitaran harga yang stabil.
EMR 2022 turut memaparkan tiga rencana yang meliputi isu-isu struktur yang penting untuk pembangunan jangka panjang ekonomi dan rakyat Malaysia:
- Membina Semula Simpanan Persaraan dan Jaringan Keselamatan Kewangan di Malaysia;
- Pendekatan Analisis untuk Menilai Keadaan Pasaran Pekerja dan Implikasi kepada Dasar Monetari; dan
- Mengemudi Peralihan Ekonomi Malaysia ke Arah Masa Hadapan Bebas Karbon
Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022
Tinjauan Kestabilan Kewangan merupakan penerbitan secara dwitahunan yang memperincikan penilaian risiko dan prospek kestabilan kewangan domestik oleh BNM.
Sorotan FSR 2H2022:
- Keadaan pasaran kekal teratur meskipun terdapat volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan domestik. Pembukaan semula kebanyakan sektor ekonomi dan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik telah menyokong keupayaan membayar balik hutang oleh perniagaan dan isi rumah, dengan bahagian pinjaman di bawah bantuan bayaran balik pinjaman terus menurun.
- Amalan pengurusan risiko yang mantap oleh institusi kewangan bersama-sama dengan penampan modal dan penampan mudah tunai yang kukuh akan terus memelihara kestabilan kewangan domestik. Ujian tekanan terkini yang dijalankan oleh BNM mengesahkan daya tahan institusi kewangan terhadap kerugian yang tidak dijangka akibat kejutan makroekonomi dan kewangan yang teruk. Faktor ini menjamin keupayaan institusi kewangan untuk terus menyokong keperluan pembiayaan dan perlindungan isi rumah dan perniagaan apabila kegiatan ekonomi bersambung semula.
- Daya tahan operasi dan siber terus menjadi keutamaan penting BNM dan institusi kewangan berikutan peningkatan pendigitalan dan penggunaan teknologi dalam kewangan. BNM juga akan terus bekerjasama dengan institusi kewangan untuk mengukuhkan lagi amalan pengurusan risiko iklim dan menyokong akses yang lebih luas kepada kewangan peralihan (transition finance).
FSR 2H2022 memaparkan empat rencana:
- Kecerdasan Buatan dalam Sistem Kewangan Malaysia: Peluang, Risiko, dan Langkah Seterusnya;
- Pengurusan Aliran Kepincangan dalam Pasaran Komoditi yang Mempengaruhi Aplikasi Tawarruq dalam Sistem Perbankan Islam;
- Perkembangan Terkini Pasaran dan Pengawalseliaan dalam Bidang Aset Digital; dan
- Perkembangan Pelaksanaan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-based Taxonomy, CCPT) dalam Sektor Kewangan
Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Yunus berkata, "Meskipun berdepan dengan rintangan, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada tahun ini dan tidak akan menghadapi kemelesetan. Sistem kewangan Malaysia akan terus menjadi sumber utama kekukuhan ekonomi negara bagi menyokong keperluan pembiayaan untuk transformasi Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, bernilai tambah tinggi dan rendah karbon. Pembaharuan struktur kekal penting, namun pembaharuan penting yang disusun atur dengan teliti adalah mustahak untuk menghasilkan pertumbuhan yang mampan dan kestabilan harga, serta pada masa yang sama meminimumkan kos sementara (transitory cost)."
Untuk butiran lanjut mengenai laporan-laporan ini, sila lawati bnm.gov.my/AR2022
Lihat juga:
- Sorotan Penting EMR 2022
- Sorotan Penting FSR 2H2022
- Slaid Sidang Akhbar
- Transkrip Sidang Akbar
- Video Sidang Akhbar
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.