Bank Negara Malaysia Menerbitkan Laporan Tahunan 2024, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2024
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menerbitkan naskhah utamanya: Laporan Tahunan 2024 (LT 2024), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 (TEM 2024) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2024 (TKK ST2 2024). Laporan-laporan ini memperincikan aktiviti BNM pada tahun lepas dalam mendukung kestabilan monetari dan kewangan, serta penilaian bagi tahun 2025.
Tahun 2024 menyaksikan pertumbuhan yang menggalakkan dengan inflasi yang sederhana
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.1% pada tahun 2024 dengan inflasi sederhana sebanyak 1.8%. Ringgit mengakhiri tahun 2024 sebanyak 2.7% lebih tinggi berbanding dengan dolar AS dan 7.5% lebih tinggi berbanding dengan mata wang rakan dagangan utama Malaysia. Rencana “Membendung Inflasi, Mengurangkan Kos: Perspektif Dasar” dan “Pendorong Ringgit” boleh dibaca melalui LT 2024 untuk menyampaikan pandangan BNM berhubung dengan pelbagai penunjuk ekonomi ini.
BNM juga terus memastikan rangka kerja kawal selia yang kukuh dalam usaha menggalakkan kestabilan kewangan dan melindungi pengguna kewangan. Pada tahun 2024, sebanyak 11 dasar penting dari segi kehematan dan amalan pasaran diterbitkan untuk menyokong pembaharuan rangka kerja modal, memperkukuh piawaian pengurusan risiko serta memastikan hasil yang adil untuk pengguna kewangan.
Institusi kewangan memiliki permodalan yang kukuh dengan penampan yang teguh untuk menyokong aktiviti kewangan bagi ekonomi. Institusi kewangan juga terus mempertingkatkan usaha dalam menangani risiko berkaitan iklim serta menyokong perniagaan untuk beralih kepada operasi yang lebih lestari. Ujian tekanan terkini juga mengesahkan keupayaan industri untuk menghadapi kejutan serius dan menyokong pertumbuhan ekonomi. Baca lebih lanjut mengenai dasar BNM yang memberikan kesan terhadap institusi kewangan dalam TKK ST2 2024 menerusi rencana yang berikut:
- Pelaksanaan Pendekatan Standard untuk Risiko Kredit: Semakan Utama di bawah Basel III dan Kesan terhadap Bank-bank
- Mengendalikan Peralihan Sektor Kewangan kepada Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan
Pada tahun 2024, BNM telah menjalankan kajian separuh penggal Pelan Sektor Kewangan 2022–2026. Berlatarkan kemajuan teknologi, peralihan iklim dan anjakan demografi, BNM telah menyesuaikan strategi Pelan Tindakan dan keutamaan pembangunannya untuk kekal seiring dengan trend dan cabaran yang akan datang.
Landskap kewangan digital terus berkembang pesat. Perniagaan dan pengguna semakin terbuka untuk menerima pembayaran digital. Transaksi e-pembayaran meningkat sebanyak 19% kepada 409 transaksi per kapita, yang bermaksud sekurang-kurangnya satu e-pembayaran bagi setiap rakyat Malaysia setiap hari. Walau bagaimanapun, wang tunai tetap menjadi komponen penting dalam ekosistem pembayaran. BNM akan terus mengkaji inisiatif jangka panjang yang mampan untuk memastikan rakyat Malaysia terus mempunyai akses kepada wang tunai secara mudah dengan kos yang berpatutan.
Malaysia terus menjadi peneraju global dalam sektor kewangan Islam. Usaha utama yang dibuat termasuk mempertingkatkan jalinan rentas sempadan, menggalakkan pengiktirafan bersama Syariah, dan berkongsi pandangan dalam forum antarabangsa. Rencana “Memperdalam Pasaran Kewangan dan Pengurusan Mudah Tunai Islam”, yang boleh didapati melalui LT 2024 mengetengahkan usaha untuk membangunkan lagi pasaran kewangan Islam. Rencana “Panduan Aplikasi Hajah dan Darurah dalam Kewangan Islam” yang terdapat dalam TKK ST2 2024 menelusuri aplikasi rangka kerja tadbir urus utama bagi memperkukuh integriti dan daya tahan amalan kewangan Islam.
Demi meneruskan usaha membanteras penipuan kewangan, BNM, PayNet dan institusi kewangan melancarkan National Fraud Portal (NFP) pada bulan September 2024. NFP ialah platform bersepadu yang direka khusus untuk meningkatkan keupayaan operasi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC). Hal ini telah mengurangkan masa yang diambil oleh institusi kewangan untuk mengenal pasti transaksi penipuan yang disyaki sebanyak 75% dan meningkatkan pengenalpastian akaun keldai sebanyak 65%. Selain itu, BNM mengeluarkan dasar berhubung dengan Layanan Adil kepada Mangsa Transaksi e-Perbankan Tanpa Kebenaran pada tahun 2024, yang meletakkan tanggungjawab bersama antara pengguna dengan institusi kewangan untuk memastikan penyiasatan dan pampasan yang adil dan saksama bagi insiden penipuan. Ketahui lebih lanjut berkenaan pendekatan pelbagai cabang oleh BNM untuk membanteras penipuan dalam talian melalui Rencana “Membina Pertahanan yang Bersepadu bagi Memerangi Risiko Penipuan” dalam LT 2024.
Ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada tahun 2025, berteraskan permintaan dalam negeri
Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.5% hingga 5.5% pada tahun 2025. Pertumbuhan ini akan didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, meskipun terdapat ketidakpastian luaran yang semakin ketara yang boleh menyebabkan perkembangan eksport yang lebih sederhana.
Pada tahun 2025, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing dijangka berpurata antara 2% hingga 3.5% dan 1.5% hingga 2.5%. Inflasi dijangka menunjukkan trend menaik namun akan kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.
Keadaan monetari dan kewangan domestik akan terus menyokong keperluan pembiayaan dalam keadaan ekonomi yang berkembang dengan mampan. Permintaan kredit akan didorong oleh prospek pertumbuhan dalam negeri dan pendapatan yang positif.
Walaupun terdapat potensi risiko berikutan perkembangan luaran, pasaran kewangan Malaysia dijangka terus berdaya tahan dan berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengekalkan keadaan pasaran yang teratur.
Terdapat beberapa aspek positif untuk ekonomi Malaysia. Ketahui lebih lanjut tentang beberapa pendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam rencana yang berikut:
- Kedudukan Malaysia dalam Rantaian Nilai E&E Global dan Prospek
- Menguraikan Kitaran Pelaburan di Malaysia
Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Walaupun ketidakpastian masih wujud pada peringkat global, BNM akan terus melaksanakan mandatnya dengan penuh dedikasi dan mengukuhkan kepercayaan rakyat. Kepelbagaian struktur ekonomi negara dan dasar yang meluas menyediakan daya tahan dan ketangkasan untuk mengharungi rintangan ini. Kami yakin ekonomi Malaysia akan kekal pada landasan pertumbuhan yang stabil dengan tekanan inflasi kekal terkawal secara keseluruhan. Dengan jangkaan keadaan dalam negeri yang menggalakkan, Malaysia harus meneruskan usaha pembaharuan struktur yang penting demi memastikan pertumbuhan yang mampan bagi tahun-tahun mendatang.”
Seperti yang diaudit dan diperakui oleh Ketua Audit Negara, kedudukan kewangan BNM kekal kukuh pada tahun 2024. Aset BNM berjumlah RM621.54 bilion pada 31 Disember 2024. Keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM13.16 bilion dicatatkan bagi tahun kewangan 2024 dan RM7.91 bilion telah dipindahkan ke dalam Rizab Risiko BNM. BNM telah mengisytiharkan dividen sebanyak RM5.25 bilion kepada Kerajaan bagi tahun kewangan 2024.
LT 2024, TEM 2024 dan TKK ST2 2024 juga mengandungi rencana lain berhubung dengan topik yang terkini dan penting:
- Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan 2024
- Berada Di Tempat Pemandu: Penambahbaikan Amalan Berkaitan Penyelesaian Tuntutan Motor
- Penilaian Risiko Negara Malaysia yang Kelima Mengenai Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2023
- Menjamin Akses yang Berterusan untuk Perlindungan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan
- Mengemudi Masa Depan Aset Digital
- Pemacu Akaun Semasa Imbangan Pembayaran Malaysia Selepas COVID-19
- Kejutan Penawaran dan Implikasi Terhadap Dasar Monetari
Untuk membaca semua penerbitan ini, sila layari bnm.gov.my/AR2024.
Lihat juga:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.

