Bank Negara Malaysia Mengeluarkan Dua Lagi Lesen Perbankan Islam
Bank Negara Malaysia telah meluluskan permohonan-permohonan Al Rajhi Banking & Investment Corporation dan satu konsortium institusi kewangan Islam terdiri daripada Qatar Islamic Bank, RUSD Investment Bank Inc. dan Global Investment House untuk menubuhkan bank Islam di Malaysia. Bank Negara Malaysia telah mengumumkan pada bulan September 2003 bahawa lesen perbankan Islam akan dikeluarkan kepada peserta perbankan Islam asing yang layak sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempercepatkan proses liberalisasi industri perbankan Islam. Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan lesen perbankan Islam kepada Kuwait Finance House pada bulan Mei tahun ini.
Al Rajhi Banking & Investment Corporation akan menubuhkan anak syarikat milik penuh bagi menjalankan perniagaan perbankan Islam di Malaysia. Konsortium yang terdiri daripada Qatar Islamic Bank, RUSD Investment Bank Inc. dan Global Investment House akan menubuhkan sebuah bank Islam dengan Qatar Islamic Bank sebagai pemegang saham utama dengan pegangan ekuiti 70% manakala RUSD Investment Bank Inc. dan Global Investment House masing-masing memegang ekuiti sebanyak 20% dan 10%.
Dengan ini, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan tiga lesen perbankan Islam berikutan pengumuman yang dibuat pada bulan September 2003.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.