Bank Negara Malaysia Mengeluarkan Lesen Baharu
Berikutan pengumuman tentang liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan pada 27 April 2009, Bank Negara Malaysia mendapati institusi-institusi kewangan telah menunjukkan minat yang memberangsangkan untuk beroperasi di Malaysia. Sehubungan dengan itu, Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa berdasarkan pada Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, lima lesen perbankan perdagangan akan dikeluarkan kepada lima anak syarikat milik penuh institusi perbankan berikut:
- BNP Paribas SA, Perancis;
- Mizuho Corporate Bank, Jepun;
- National Bank of Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu;
- PT Bank Mandiri (Persero) Tbk., Indonesia; dan
- Sumitomo Mitsui Banking Corporation, Jepun.
Dalam membuat penilaian terhadap permohonan yang diterima, Bank Negara Malaysia telah mengambil kira kekukuhan kedudukan kewangan, rekod prestasi, kepakaran, pelan perniagaan dan jangkaan sumbangan pemohon terhadap pembangunan sektor kewangan di Malaysia. Oleh itu, bank-bank perdagangan baharu ini dijangka menambahkan lagi kepelbagaian industri perkhidmatan kewangan Malaysia, menyokong bidang pertumbuhan baharu termasuk teknologi hijau dan membantu dalam transformasi ekonomi Malaysia ke arah mencapai status ekonomi bernilai tambah dan berpendapatan tinggi. Dengan adanya bank-bank tersebut, hubungan antarabangsa Malaysia akan dikukuhkan lagi melalui aliran perdagangan antarabangsa dan pelaburan antara Malaysia dengan negara-negara lain.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.