Bank Negara Malaysia Mengeluarkan Lesen Perbankan Islam kepada Kuwait Finance House

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1200 pada Khamis, 27 Mei 2004
27 Mei 2004 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia telah meluluskan permohonan Kuwait Finance House untuk menubuhkan sebuah bank Islam di Malaysia. Ini adalah susulan kepada pengumuman pada bulan September 2003 berkenaan pengeluaran sehingga tiga lesen perbankan Islam baru kepada peserta perbankan Islam asing yang layak, sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan proses liberalisasi industri perbankan Islam. Bank Islam asing baru ini akan dilesenkan di bawah Akta Bank Islam 1983 sebagai sebuah anak syarikat milik penuh Kuwait Finance House.

Permohonan Kuwait Finance House bagi menubuhkan sebuah bank Islam sepenuhnya di Malaysia adalah yang pertama diluluskan di antara permohonan-permohonan yang diterima oleh Bank Negara Malaysia berikutan pengumuman yang dibuat pada bulan September 2003. Keputusan bagi pengeluaran lesen bank Islam berikutnya akan diumumkan setelah proses penilaian sepenuhnya selesai dilakukan.


Bank Negara Malaysia
27 Mei 2004

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?