Bank Negara Malaysia Mengeluarkan Reka Bentuk Baharu bagi Wang Kertas RM50 untuk Memperingati Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan Malaysia
Bank Negara Malaysia mengumumkan pada hari ini pengeluaran reka bentuk baharu bagi wang kertas RM50 untuk memperingati Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan Malaysia. Reka bentuk baharu wang kertas RM50 ini merupakan denominasi yang pertama reka bentuk baharu dalam Siri Keempat wang kertas mata wang Malaysia yang akan menggantikan siri sedia ada secara berperingkat-peringkat.
Reka Bentuk Baharu Wang Kertas RM50
Reka bentuk baharu wang kertas RM50 ini mengekalkan warna utama hijau-biru. Tema utama reka bentuk ini ialah Misi Nasional yang teras pertamanya ialah meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara, yang menggambarkan transformasi ekonomi Malaysia kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi dalam sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan ekonomi negara.
Bagi bahagian hadapan wang kertas RM50 baharu ini, potret intaglio Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, dikekalkan pada sebelah kanan dan bunga kebangsaan, bunga raya, pada bahagian tengah. Corak reka bentuk daripada tenunan songket pada bahagian latar dan bahagian tepi wang kertas menggambarkan kraf tangan tekstil dan sulaman tradisional rakyat Malaysia.
Pada bahagian belakang bagi 50 juta keping wang kertas RM50 baharu ini yang pertama, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, digambarkan dalam perisytiharan bersejarah kemerdekaan Malaya dan logo Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-50.
Ciri-ciri Keselamatan
Ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada wang kertas RM50 dalam Siri Keempat adalah seperti yang berikut:
- Potret Tera Air dapat dikenal pasti melalui pancaran imej warna yang lebih terang atau gelap berbanding dengan warna kertas di sekitarnya. Potret tera air ini yang memberi kesan tiga dimensi kelihatan tanpa garis-garis yang jelas. Di bahagian bawah tera air ini dapat dilihat dengan jelas angka 50.
- Benang Keselamatan terbenam di dalam kertas dan kelihatan seperti garis putus-putus berwarna perak pada permukaan sebelah belakang wang kertas. Apabila wang kertas ini dilihat pada cahaya, ia akan kelihatan seperti garis lurus kehitam-hitaman dengan teks yang berulang BNM RM50 dapat dilihat dengan terang. Apabila dilihat di bawah cahaya ultra ungu, benang keselamatan ini akan bertukar warna dikenali sebagai "kesan pelangi".
- Huruf Mikro "BNM RM50" yang dapat dilihat di bawah kanta pembesar.
- Unsur Cahaya Pendarfluor Limunan boleh dilihat melalui pelbagai elemen reka bentuk latar pada bahagian hadapan dan belakang wang kertas dan akan berpendarfluor (berkilau) dengan warna yang berbeza-beza apabila dilihat di bawah cahaya ultra ungu.
- Tanda Pandang Telus apabila wang kertas ini dilihat pada cahaya, reka bentuk grafik songket pada bahagian hadapan wang kertas akan kelihatan selari dengan reka bentuk grafik songket yang sama pada bahagian belakang.
- Imej Pendam Pelbagai Warna denominasi 50 dapat dilihat apabila wang kertas disengetkan sedikit dan akan bertukar warna apabila kedudukan wang kertas tersebut dipusingkan.
- Jalur Holografik memaparkan denominasi 50 dan bunga raya, dengan warna yang belau dan kesan struktur yang pusam.
- Imej tersembunyi dengan kesan moiré yang beberapa bahagian tertentu reka bentuk wang kertas ini akan kelihatan berubah apabila disalin.
Orang ramai dinasihatkan supaya memberi perhatian kepada ciri-ciri keselamatan dan reka bentuk wang kertas RM50 baharu ini seperti yang dinyatakan di atas. Siri ketiga wang kertas RM50 sedia ada akan terus sah diperlakukan.
Jualan Wang Kertas RM50 dalam Pembungkusan Khas
Wang kertas RM50 baharu ini dalam pembungkusan khas boleh didapati oleh orang ramai. Harga jualan bagi satu set ialah RM60. Sebanyak dua puluh ribu (20,000) set akan dijual mulai hari Rabu, 26 Disember 2007 di Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia dan di cawangan Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching. Penjualan akan berdasarkan siapa dulu dia dapat dan akan dihadkan kepada satu set setiap orang.
Wang kertas RM50 baharu ini tanpa pembungkusan khas akan disediakan melalui bank–bank perdagangan mulai 30 Januari 2008.
Sila klik di sini untuk melihat rekabentuk wang kertas RM50 baharu.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.